Monday, 5 December 2011

Mana lebih penting - calon atau parti boleh menang?

Setelah berakhirnya perhimpunan agung UMNO, orang kebanyakan  terutama 'orang UMNO' masih memperkatakan mengenai pilihan raya umum ke-13 dan soal 'calon boleh menang' yang seharusnya diutamakan oleh parti.

Soal sama ada bila PRU-13 akan didakan bukan menjadi tajuk perbincangan utama tetapi soal calon parti yang boleh menang atau berdaya menang.

Bermacam andaian dan pendapat dibuat oleh sama ada pemerhati politik dari dunia akademik yang tidak semestinya pakar dan pengamat tidak profesional di warung-warung kopi dan gerai rakyat bawahan yang tidak pernah atau amat jarang menjejak kaki ke "Coffee House" hotel berbintang-bintang yang sering dijadikan tempat  melepak 'orang UMNO' bergelar, berjawatan  dan berpangkat.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan yang juga mantan menteri kabinet, Tan Sri Anuar Musa yang saya dapati jauh lebih tepat dan kena dengan keberadaan politik semasa.

Anuar berpendapat bahawa soal calon boleh menang tidak dapat menjamin atau gerenti boleh menang sekiranya parti, iaitu UMNO, tidak diterima dan tidak boleh menang. Oleh itu, yang lebih penting ialah soal parti boleh menang, bukan calon boleh menang.

UMNO sepatutnya meninjau suasana dan penerimaan rakyat akar umbi sama ada mereka menerima kehadiran parti itu atau tidak, UMNO harus sedar bahawa bukan semua orang Melayu adalah 'orang UMNO" dan bukan semua 'orang UMNO' akan mengundi calon UMNO atas sebab-sebab tertentu termasuk soal calon.

UMNO juga harus sedar bahawa rakan-rakan kongsinya dalam Baisan Nasional,  MCA, MIC dan Gerakan, belum tentu dapat menarik sokongan pengundi Cina dan India untuk menyokong calon BN dari UMNO. UMNO mesti sedar bahawa ia amat memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu untuk menang dan inilah salah satu fakta yang perlu ditangani segera jika parti itu ingin menang.

Jika dilihat pada senarai wakil rakyat UMNO yang berkhidmat sekarang, saya berani menyatakan bahawa lebih separuh daripada mereka bukan calon yang berdaya menang termasuk sebilangan besar anggota Kabinet.

Oleh itu, UMNO mesti serius mencari calon-calon 'muka baru' yang tidak semestinya dari kalangan 'orang muda' dari sama ada Pemuda atau Putri UMNO. Calon 'muka baru' berada di mana-mana sahaja termasuk di kalangan pengkhidmat awam, sektor korporat dan golongan profesional yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Beranikah UMNO memilih mereka untuk bertanding pada PRU-13 dan mahukah 'orang UMNO' yang menerajui bahagian-bahagian parti menerimanya?

Budaya UMNO selama ini yang mengutamakan calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian - sama ada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan, bendahari dan AJK - mesti diubah dan pemilihan calon seharusnya dibuat secara menyeluruh. Calon tidak semestinya menjadi ahli di bahagian berkenaan tetapi anak tempatan yang bermastautin di tempat lain. Sebagai contoh, calon yang dipilih untuk bertanding di Titiwangsa mungkin anak Kampung Baru yang menetap di Johor.  Yang penting calon itu diterima dan boleh menang, asalkan UMNO boleh menang.

Masalah yang lazim menghantui UMNO ialah kepimpinan bahagian berkenaan yang terlalu mengidam untuk menjadi calon tetapi apabila tidak dipilih, dia enggan bekerjasama atau memberi sokongan sepenuhnya kepada calon yang dipilih.

Dalam hubungan ini, kenyataan Anuar Musa bahawa yang penting ialah  parti boleh menang, bukan calon boleh menang mesti diutamakan.  Jika parti boleh menang, soal calon tidak menjadi masalah tetapi jika calon dikatakan boleh menang tetapi parti ditolak rakyat, maka ia adalah satu masalah besar.

Seperti yang disebut oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka yang sudah lama menjadi wakil rakyat mesti undur untuk memberi peluang kepada muka baru yang boleh menang dan saya ingin menambah mereka yang  menjadi 'beban' kepada parti seharusnya sedar dan undur.

Contoh yang dapat saya berikan ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dia kini lebih merupakan 'beban' kepada UMNO dan dia harus sedar akan keadaan itu dan tidak semata-mata 'menyerah' kedudukannya kepada presiden parti untuk membuat keputusan. Mentimun dan pisau berada di tangan Shahrizat, bukan di tangan orang lain.

Kepada 'orang UMNO' yang berada dalam kedudukan sedemikian, mereka harus sedar bahawa hari sudah terang dan mereka tidak perlu lagi bersuluh.


  

 

Wednesday, 30 November 2011

UMNO dan masa depannya

Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur sekarang dikatakan yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 yang diramal diadakan sebelum sambutan tahun baru Cina.

Perwakilan dan pemerhati parti dari seluruh negara kecuali Sarawak, seperti lazimnya, menyambut baik saranan dan nasihat presiden parti terutama yang bersangkut paut dengan pemilihan calon pilihan raya akan datang.

Semuanya berjanji akan patuh menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih oleh kepimpinan parti. Itulah gambaran yang dilakarkan oleh media terutama media yang dikawal atau dikuasai  Umno.

Namun demikian, kita percaya bukan semua ahli yang secara jujur dan ikhlas menyokong apa yang dinyatakan oleh presiden parti, terutamanya mereka yang bercita-cita dan mengharapkan untuk dipilih sebagai calon.

Presiden dan timbalan presiden UMNO mengakui bahawa pilihan raya umum ke-13 bukanlah sesuatu yang mudah dan disifatkan oleh orang nombor dua dalam parti itu sebagai 'ibu segala pilihan raya'. Ini bermakna UMNO sedar bahawa bukan senang bagi parti itu dan rakan-rakan kongsinya dalam Barisan Nasional (BN) untuk menang. 

UMNO sendiri sedar bahawa parti itu mesti meletakkan calon yang boleh menang, iaitu calon yang boleh diterima oleh rakyat dan ia tidak semestinya calon yang dipilih dari kalngan pemimpin peringkat bahagian. Calon yang boleh menang mungkin berada di luar bahagian berkenaan atau ahli biasa yang tidak menetap di kawasan yang ditandinginya.  

Persoalannya, mahukah kepimpinan peringkat bahagian menerima calon berkenaan kerana selama ini, UMNO mengamalkan cara pemilihan calon yang bersandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Inilah cabaran yang mesti dilalui oleh parti kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

UMNO sedar bahawa parti itu menghadapi berbagai masalah,  kesulitan dan dugaan di kalangan ahlinya sendiri selain menghadapi cabran hebat parti lawan terutama PAS. UMNO telah melalui penyusunan dan perubahan sejak parti itu diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk terus kekal relevan dalam arena politik Melayu.

Perubahan yang dilakukan didorong oleh keperluan semasa tetapi ia belum mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup parti terutama di kalangan generasi muda yang mepunyai selera dan naluri kehidupan yang jauh berbeza dengan golongan dewasa. Di sinilah letakn ya kelemahan utama UMNO berbanding dengan parti-parti lawan.

Banyak isu dan kejadian yang membabitkan tokoh-tokoh UMNO sama ada secara langsung atau tidak dilihat sebagai barah yang sedikit demi sedikit memusnahkan kepercayaan. Isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kehidupan mewah, kedudukan dan pangkat tidak terlepas daripada perhatian rakyat.

Perkara ini berlaku kerana di kalangan kepimpinan UMNO semua peringkat, ada diantaranya yang tidak menyedari akan tangungjawab, tidak mengutamakan kepentingan parti dan ahli-ahlinya kecuali kepentingan diri sendiri. 

Seperti yang ditegaskan oleh presiden UMNO,  pemimpin dan ahli parti kena berubah, jika tidak mereka akan diubah. Perubahan pasti akan berlaku pada pilihan raya umum ke-13 sekiranya UMNO salah pilih calon dan apa yang dapat dikatakan ialah hampir separuh daripada wakil rakyatnya yang ada mesti diubah untuk mengelak parti itu rebah.