Saya menerima pertanyaan kenapa blog ini 'senyap', ada masalah? Tiada masalah. Saya 'bercuti' kerana sibuk sedikit berkaitan urusan keluarga dan akan kembali menulis dalam beberapa hari lagi.
Wednesday, 29 February 2012
Ma'af tiada penulisan buat sementara waktu.
Monday, 20 February 2012
Debat MCA-DAP bangkitkan persoalan hukum Hudud
Debat antara presiden MCA, parti gabungan Barisan Nasional, dan setiausaha-agung DAP, parti perkongsian Pakatan Rakyat, tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh selain membangkitkan isu-isu yang merupakan perbalahan politik di kalangan masyarakat Cina.
Debat yang dilangsungkan dalam bahasa Mandarin itu tidak mampu diikuti secara langsung atau sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham sama sekali bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan Republik Rakyat China dan bukan bahasa 'rasmi' di Malaysia.
Mungkin menyedari bahawa perdebatan mereka tidak mendapat liputan seluas-luasnya, maka SU Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta diadakan debat kedua sama ada dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan Malaysia atau bahasa Inggeris.
Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek yang terkenal dengan rakaman 'CD' tertentu, harus sedar bahawa selaku pemimpin politik peringkat kebangsaan, mereka sepatut dan semestinya mengutamakan bahasa kebangsaan.
Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hanya mampu mengikuti laporan media berkaitan perdebatan yang dikatakan tidak menepati tajuk sepenuhnya itu. Oleh itu, ulasan yang mampu saya lakukan juga terbatas kepada topik tertentu. Saya memilih topik hukum Hudud yang dibangkitkan oleh Soi Lek.
Apabila memperkatakan hukum Hudud, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak tahu atau samar-samar mengenainya tetapi sejumlah besar umat Islam pun keliru. Oleh kerana itu, apabila disebut hukum Hudud maka timbul bantahan dan tentangan termasuk oleh pemimpin-pemimpin politik, sama ada yang membentuk kerajaan peringkat negeri mahupun pusat atau yang bergelar pembangkang.
Soi Lek menjadikan hukum Hudud peluru hidupnya untuk memusnahkan hujah Guan Eng. Sedikit sebanyak dia berjaya kerana Guan Eng gagal menyahut cabaran tersebut. Mungkin Guan Eng terbayang akan wajah pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata "langkah mayat saya dahulu" jika hendak melaksanakan hukum Hudud. Kita tidak tahu selama mana hayat Karpal Singh untuk membolehkan mayatnya dilangkahi.
Perlu diingatkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu, pelaksanaan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi Kerajaan Persekutuan tidak memberi kebenaran. Inilah kenyataan yang mesti diketahui.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata perbezaan pandangan antara PAS dengan DAP dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Namun begitu, sehingga sekarang Kerajaan Negeri Kelantan tidak dapat melaksana hukum Hudud.
Saya ingin merujuk kepada Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."
Walaupun Malaysia mengamalkan dwi-sistem kehakiman, iaitu undang-undang lazim dan undang-undang Syariah, tafsiran dibuat bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, ia hanya meliputi atau berkuatkuasa ke atas umat Islam. Pada hakikatnya, ia meliputi persoalan undang-undang keluarga seperti pernikahan, pewarisan harta dan isu murtad. Walaupun ada negeri yang memperuntukkan kesalahan jenayah Syariah, ia terbatas kepada hukuman denda yang tidak melebihi RM5,000.00 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.
Kita sedar bahawa mencuri, merompak, membunuh, berzina, rogol dan sumbang mahram, sebagai contoh, adalah antara kesalahan mengikut undang-undang Islam, tetapi, semuanya jelas berada di bawah kuasa undang-undang lazim (kuasa Kerajaan Persekutun). Oleh itu, ia tidak boleh dilaksana diperingkat negeri melalui undang-undang yang berlawanan.
Ini kerana semuanya termasuk dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code, iaitu undang-undang kesalahan jenayah utama yang mengandungi tidak kurang daripada 511 seksyen meliputi banyak kesalahan jenayah yang boleh dijatuh hukum oleh mahkamah.
Selain Kanun Keseksaan, terdapat undang-undang khusus dan tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Senjata Api (hukuman lebih berat) 1971, untuk memperluas kawalan dan penguatkuasaan ke atas kes-kes jenayah tertentu.
Oleh itu, hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam senarai kesalahan jenayah Syariah di bawah hukum Hudud, sudahpun berada dalam senarai di bawah Kanun Keseksaan. Ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri dan ia hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan suara majoriti dua-pertiga ahli Dewan Rakyat.
Jika Pakatan Rakyat berhasrat untuk melaksanakan hukum Hudud, ia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya dengan majoriti melebihi dua-pertiga.
Persoalan yang harus difikirkan oleh PAS terutamanya, mahukah DAP ataupun PKR menyokong pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat jika Pakatan menguasai Parlimen? Tanpa sokongan DAP dan PKR, sudah tentu sukar bagi PAS untuk melaksana hukum Hudud.
Saya tidak yakin DAP mahupun PKR akan menyokong PAS dalam isu hukum Hudud.
Subscribe to:
Posts (Atom)