Saya kembali menulis dan tidak pula menyangka bahawa perkara pertama yang disentuh adalah mengenai pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, untuk mengundur diri atau melepaskan jawatan Kabinetnya.
Bagi saya ia amat melucukan jika kita sedar kenapa Shahrizat memilih tanggal 8 April untuk 'bersara' dari jawatan Kabinet yang disandangnya melalui pintu Dewan Negara, atau kata orang melalui 'pintu belakang'.
Kenapa 8 April dan tidak sekarang atau lebih awal lagi jika benar Shahrizat seorang anggota pentadbiran yang bertanggungjawab?
Sebagai Ahli Dewan Negara atau Senator, Shahrizat boleh berkhidmat selama dua penggal sahaja, atau selama enam tahun, itupun jika pelantikannya itu dilanjutkan setelah menamatkan penggal pertama selama tiga tahun. Tempoh penggal pertamanya tamat pada 8 April dan kerana itulah dia memilih tanggal tersebut untuk 'bersara'.
Orang ramai boleh mengandaikan bahawa PM Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memperakukan lanjutan perkhidmatan Shahrizat selama satu penggal lagi dan dia boleh terus kekal sebagai anggota Kabinet. Itu hanyalah satu andaian kerana kita yakin dan percaya Najib tidak akan bertindak demikian memandangkan isu skandal 'cowgate' dan kedatangan pilihan raya umum yang disebut-sebut akan diadakan Mei atau Jun depan.
Jika tempoh perkhidmatan Shahrizat sebagai Senator tidak disambung, maka kedudukannya sebagai anggota Kabinet gugur secara automatik, ini bermakna Shahrizat tidak boleh memegang jawatan menteri. Oleh itu, pengundurannya pada tanggal 8 April adalah sesuatu yang kena dilakukan bukan atas pilihan sendiri.
Seperti biasa, pengumuman Shahrizat disambut baik oleh Najib dan beberapa orang anggota Kabinet. Semuanya adalah lakonan atau sandiwara politik yang tidak lebih daripada tayangan filem P. Ramlee yang beratus kali diulang tayang oleh Astro, Media Prima dan RTM.
Sekurang-kurangnya, filem P.Ramlee masih diminati ramai dan orang tidak jemu menontonnya, tidak seperti sandiwara politik yang membuatkan orang ramai meluat dan marah.
Sekurang-kurangnya, filem P.Ramlee masih diminati ramai dan orang tidak jemu menontonnya, tidak seperti sandiwara politik yang membuatkan orang ramai meluat dan marah.