Kebelakangan ini ada saja cerita dan berita yang bersangkut-paut dengan Raja atau kerabat penghuni Istana. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ini adalah sesuatu yang biasa kerana penghuni Istana adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kelakuan baik dan buruk, dosa dan pahala.
Institusi Raja Melayu di Tanah Melayu telah diselamatkan daripada diturunkan taraf dan kedudukan oleh kebangkitan rakyat biasa, khususnya orang Melayu apabila pihak British nak tubuh Malayan Union. Jika orang Melayu tidak bangkit mempertahan Raja Melayu, sudah pasti taraf dan kedudukan penghuni istana tidak seperti yang ada sekarang.
Cadangan penubuhan Malayan Union disifatlkan sebagai satu 'malapetaka' kerana ia akan mengubah bentuk pentadbiran dan membuka taraf kerakyatan yang sama kepada semua penduduk Tanah Melayu dan menghapus kedaulatan Raja dan taraf Malaya sebagai negeri di bawah naungan kepada taraf tanah jajahan takluk British.
Mungkin kerana terhutang budi kepada jasa dan pengorbanan orang Melayu, maka pihak Istana memberi sokongan kuat kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan seterusnya menjadi sejarah penting dalam perhubungan antara pihak istana dengan politik.
Banyak hal dan perlakuan yang dilalui oleh kedua-dua pihak, bak kata orang ada naik dan turunnya tetapi walau apapun, orang Melayu masih mahu mempertahan dan mengekal institusi raja, terutama melalui kuasa politik.
Hubungan antara pentadbir dan Istana berjalan lancar di bawah pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman, Almarhum Tun Razak dan Almarhum Tun Hussein Onn tetapi tidak semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Mungkin kedudukan tiga Perdana Menteri awal yang begitu rapat dengan Istana menjadi tali pengikat keakraban antara mereka dengan pihak Istana, Almarhum Tunku juga dari Istana manakala Tun Razak dan Tun Hussein berasal dari golongan bangsawan yang ada hubungan rapat dengan Istana, Tun Mahathir pula tidak sedemikian.
Dua krisis besar melibatkan pentadbiran Dr Mahathir dan pihak Istana berlaku yang mengakibatkan pindaan Perlembagaan dibuat. Namun, begitu Pentadbiran Mahathir masih mempertahan dan mengekalkan institusi Raja Melayu. Walaupun Mahathir mendapat sokongan padu daripada partinya, UMNO, dan majoriti orang Melayu semasa menghadapi krisis tersebut, dia tetap mahu mengekalkan institusi Raja Melayu atas kepentingan-kepentingan tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan.
Mahathir sedar bahawa kewujudan Institusi Raja-Raja Melayu penting dalam pentadbiran negara dan walaupun mereka, iaitu Raja-Raja Melayu, tiada kuasa mentadbir, kedudukan mereka tetap diperlukan dalam urusan dan hal ehwal berkaitan agama Islam dan adat resam orang Melayu.
Pendek kata, pihak pentadbiran yang mewakili institusi politik dan Raja-Raja Melayu, saling perlu dan memerlukan. Tetapi, sesuatu perlu dibuat untuk memastikan undang-undang dan Perlembagaan dipatuhi dan dihormati oleh pihak Istana. Raja atau kerabat mereka tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati kerana mereka tidak seharusnya berada di atas undang-undang.
Untuk itu, satu usul dibentang dan diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 10 Disember 1992.
Usul itu dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, YAB Abdul Ghafar Baba (Almarhum Tun Ghafar Baba).
Antara lain, Almarhum berkata kerajaan ingin menegaskan pendiriannya mahukan institusi Raja Berperlembagaan dikekalkan. Walau bagaimanapun, Kerjaan mempunyai tangungjawab sepenuhnya bagi menegur dan memperbetulkan apa-apa jua kesilapan yang didapati telah dilakukan oleh mana-mana Raja-Raja Melayu.
Beliau seterusnya berkata tindakan itu dibuat dengan ikhlas dan bertujuan untuk mempertahan dan mengekalkan institusi beraja sebelum rakyat jelata sendiri bertindak liar terhadap Raja-Raja yang mungkin tidak boleh dikawal lagi pada akhirnya.
"Malaysia mengamalkan pemerintahan bercorak demokrasi yang membawa erti bahawa kekuasaan dalam negeri ini adalah terletak di tangan rakyat. Kewujudan Parlimen dan institusi beraja adalah dengan kehendak rakyat sendiri. Tidak salah apabila dikatakan bahawa yang dikatakan berdaulat itu ialah rakyat jelata sendiri bukan Raja-Raja. Hakikat yang sebenar ialah tidak ada raja jika tidak ada rakyat," tegas beliau yang mendapat tepukan tanda sokongan para Ahli Dewan Rakyat.
Apa yang dilalui selama ini seharusnya dijadikan iktibar oleh semua - Istana, Pentadbiran dan rakyat jelata walaupun atas kesedaran tiada sesuatu yang kekal. Semuanya saling perlu dan memerlukan.
SELAMAT MENYAMBUT DAN MENUNAIKAN IBADAH PUASA. SEMOGA IBADAH KITA DITERIMA ALLAH.