Monday, 18 February 2013

PRU-13 - BN tiada kelebihan?

Menurut Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcede), Barisan Nasional (BN) tiada kelebihan yang boleh memberi sumbangan besar kepada kemenangannya pada pilihan raya umum ke-13 dalam sebulan dua ini.

Bagi saya, ia bukan satu maklumat yang memeranjatkan. Perdana Menteri merangkap pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat perkiraan yang kurang tepat apabila dia menangguh pilihan raya sehingga menghampiri tarikh luput.

Antara alasan yang diberi oleh pengarah Umcede, Mohamad Redzuan Othman, BN tidak lagi mampu melakukan persempadanan semula kawasn pilihan raya untuk memberi kelebihan kepadanya selain faktor pilihan raya mengejut yang sudah berlalu.

Kita tidak tahu sebab musebab kepada Najib tidak berani menghadapi pilihan raya lebih awal sedangkan ia memberi sedikit kelebihan kepada BN. Mungkin Najib dikelilingi para penasihat yang kurang bijak atau mereka tidak menyokongnya 100 peratus.

Saya kurang yakin dengan ramalan beberapa orang pmimpin UMNO/BN yang menyatakan bahawa parti itu mampu memperolehi lebih banyak kerusi - ada yang sebut 145. Saya berpendapat BN tidak mampu berbuat demikian.  Sukar bagi BN  untuk  mencapai kelebihan dua pertiga.

Pada PRU-13 ini, BN tidak boleh terlalu bergantung kepada Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua 'bank simpanan tetap' itu tidak dapat membantu seperti yang diharapkan. Parti lawan telahpun bertapak dan mendapat sokongan di wilayah Malaysia Timur itu.

Saturday, 16 February 2013

PRU-13 - BN sukar tawan Pulau Pinang

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin begitu yakin yang BN akan dapat menerajui  kembali pentadbirn Negeri Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan diadakan bulan depan.

Kedua-dua pemimpin tertinggi BN itu menyatakan keyakinan masing-masing berasaskan maklum balas parti-parti komponen terutama GERAKAN dan MCA serta agensi 'risikan politik' seperti JASA dan Jabatan Penerangan. Yang pasti, maklum balas itu semestinya 'positif' untuk melegakan kedua-dua pemimpin  walaupun pada hakikatnya sukar bagi BN untuk kembali berkuasa di Pulau Pinang.

Kehadiran khalayak pada satu-satu majlis tidak semestinya boleh diterjemahkan kepada undi untuk BN. Orang ramai hadir pada sambutan tahun baru Cina di padang Sekolah Tinggi Han Chiang yang dihadiri PM Najib bukan kerana mereka sokong BN, tetapi nak tonton persembahan 'rapper' Korea Selatan PSY yang terkenal dengan Gangnam Stylenya itu. Ramai yang pulang selepas persembahan PSY sementara tindak balas kepada pertanyaan PM Najib sama ada mereka bersedia untuk BN jelas menunjukkan bahawa sebilangan besar hadirin menolak BN.

PM Najib sudah tentu sedar akan kedudukan BN di Pulau Pinang. Kita tahu bahawa pihak Cawangan Khas PDRM dan pihak Risikan Tentera memberi laporan 'sebenar' kepadanya yang tidak sama dengan laporan JASA, umpamanya. Maklum balas yang diberikan adalah negatif - BN tidak dapat menawan semula Pulau Pinang. 

GERAKAN, MCA dan MIC akan terus berkubur dan hanya UMNO yang mampu menambah kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 11 kepada 14 tetapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan. DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dan ini bermakna PR akan menguasai 26 kerusi.  Sekali lagi, parti-parti komponen BN yang mewakili pengundi bukan Melayu gagal meraih sokongan pengundi.

Apa yang akan berlaku di Pulau Pinang ialah pengundi bukan Melayu menolak BN manakala pengundi di kawasan majoriti Melayu akan terus memberi sokongan kepada BN melalui calon-calon daripada UMNO.  Parti komponen BN itu berkemungkinan besar dapat menawan semula DUN Batu Maung di bahagian pulau yang kini diwakili PKR manakala di Seberang Perai UMNO mampu menang di hampir semua kerusi yang ditandingi.

Apa yang mungkin berlaku pada PRU-13  dapat 'dibayangkan'  daripada keputusan PRU-12 dimana PR memperolehi 58.9 peratus undi popular berbanding dengan 27.5 peratus oleh BN. Pecahan undi popular bagi parti-parti gabungan PR dan BN adalah seperti berikut:- DAP - 32.2%, PKR - 20.4%, PAS - 6.2%, UMNO - 17.3%, GERAKAN - 13.1%, MCA - 9.2% dan MIC - 0.1%.

PR menguasai 29 kerusi DUN iaitu DAP - 19, PKR - 9 dan PAS- 1 manakala BN menang di 11 kerusi DUN, semuanya oleh calon UMNO. Pada PRU-12, BN menguasai 38 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang.

Bagi kerusi Dewan Rakyat, BN hanya mampu bertahan di Kepala Batas (Tun Abdullah Ahmad - UMNO) dan Tasek Gelugor (Tan Sri Noor Mohamad Yakcop - UMNO) manakala PR menang di 11  kerusi Parlimen dengan meraih 69.2% undi popular berbanding dengan 15.4% untuk BN.

Pada PRU-13 ini, Tun Abdullah telahpun menyatakan yang beliau tidak akan bertanding untuk mempertahan kerusi Kepala Batas dan ini seharusnya diberi perhatian serius oleh pucuk pimpinan BN kerana jika silap memilih calon, kerusi Kepala Batas akan beralih tangan kepada PR. Calon yang hendak dipilih tidak semestinya yang menuduki saf kepimpinan bahagian tetapi seorang yang bukan sahaja kelihatan amanah dan bersih, tetapi yang dapat diterima rakyat dan dia tidak semestinya 'orang Kepala Batas' atau ahli UMNO bahagian berkenaan.

Selain itu, BN - melalui  GERAKAN, MCA dan MIC - akan mendapati sukar untuk memenangi atau mendapat sokongan pengundi bagi kerusi-kerusi Parlimen yang kini dikuasai DAP,  khususnya,  seperti Tanjong, Jelutong, Bukit Bendera, Bukit Gelugor, Bagan dan Bukit Mertajam tetapi mampu memberi sedikit tentangan bagi kerusi-kerusi Bayan Baru, Balik Pulau, Batu Kawan dan Nibong Tebal. UMNO dijangka ditentang hebat di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan sudah tentu Permatang Pauh, kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi bukan mustahil untuk menang. 

Hasil daripada dapatan dan sedikit analisa yang dibuat, saya dapat rumuskan yang PR akan terus mentadbir Pulau Pinang dan menguasai jumlah besar kerusi Parlimen pada PRU-13 ini. Walau apapun, semuanya terletak ditangan pengundi, sama ada menyokong BN atau terus memberi mandat kepada PR.