Nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh dipermain-mainkan. Inilah yang dapat dikatakan apabila membaca ulasan ahli politik Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang merujuk kepada insiden pencerobohan warga asing di Lahad Datu, Sabah.
Dua orang anggota VAT 69 Polis Diraja Malaysia hilang nyawa kerana bertugas mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu. Adakah ini satu sandiwara seperti yang dinyatakan oleh naib presiden PKR itu?
Apakah jadahnya bagi Tian Chua untuk menyatakan peristiwa yang berlaku di Lahad Datu itu sebagai sesuatu yang didalangi kerajaan atau UMNO semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada perkara yang tidak munasabah?
Apakah Tian Chua akan tetap menuduh ianya satu sandiwara setelah melihat nasib malang yang menimpa keluarga dua orang anggota VAT 69 itu? Di mana letaknya kewarasan Tian Chua dan apakah jawaban yang boleh diberikannya kepada anak-anak yang dengan sekelip mata menjadi anak yatim itu?
Apa yang berlaku di Lahad Datu bukan soal politik, bukan soal pilihan raya dan bukan soal sesiapapun yang cuba nak alih perhatian daripada satu perkara kepada perkara lain. Ia adalah soal kedaulatan, soal maruah dan soal keselamatan negara.
Benar, kerajaan lambat bertindak dan sempadan laut negara antara Sabah dan selatan Filipina begitu mudah dibolosi dan tindakan segera mesti diambil untuk memperbetulkannya.
Rakyat, khususnya di Sabah, sudah pasti kurang senang melihat gerombolan orang asing bersenjata api termasuk 'mortar' atau meriam katak dengan mudah memasuki negeri di bawah bayu itu dan menduduki sebuah perkampungan.
Sepatutnya kerajaan melalui agensi keselamatan segera bertindak sama ada mengusir atau menghapuskan ancaman bersenjata itu bukan 'berunding' sedangkan kedaulatan negara dicerobohi.
Ia adalah sesuatu yang amat serius dan bukan satu sandiwara.
Kerajaan, khususnya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn dan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku kerana nyawa dua orang anggota keselamatan menjadi korban semata-mata kerana sikap berlembut yang diamil oleh kerajaan.
Tian Chua pula harus diambil tindakan kerana melempar tuduhan bahawa apa yang berlaku adalah satu sandiwara.