Saturday, 13 April 2013

PRU-13 - apa kedudukan Rais Yatim?

"Brother Syed, ex-boss you bertanding lagi?" Orang yang dimaksudkannya ialah Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Itulah persoalan yang ditujukan kepada saya oleh seorang sahabat. Walaupun saya dah lama bersara, tetapi masih ada yang menyangka saya ada saluran maklumat berkaitan mantan bos saya itu. Jawabnya 'tidak'.

Sama ada dia bertanding lagi, berundur secara sukarela atau digugurkan oleh presiden UMNO merangkap pengerusi BN, Datuk Seri Muhammad Najib Abdul Razak, bukan urusan saya. Namun begitu, saya mampu memberi pendapat 'sekupang dua' berhubung perkara tersebut. 

Saya berkhidmat dengan Dr Rais hampir lima tahun selaku setiausaha akhbar di Jabatan Perdana Menteri dan buat seketika di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Jadi, sedikit sebanyak saya tahu latar belakang dan pendirian politiknya serta 'peranan' isteri beliau dalam sepak terajang politik dan kerjayanya. 

Dr Rais kini berusia 71 tahun dan telah mencurah khidmat bakti di bawah pentadbiran lima orang Perdana Menteri, almarhum Tun Abdul Razak, almarhum Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib.

Kerjaya politiknya bermula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (1974-76), Timbalan Menteri Undang-Undang (1976-77), Timbalan Menteri Dalam Negeri (1977-78), Menteri Besar Negeri Sembilan (1978-82),  Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Menteri Penerangan (1984-86) dan Menteri Luar Negeri (1987). 

Beliau digugurkan daripada Kabinet Dr Mahathir ekoran daripada tindakannya memihak kepada kumpulan penentang Mahathir yang diketuai oleh 'gandingan tidak serasi' Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam.  Pasukan yang dikenali sebagai "Team B" dalam pertarungan merebut kepimpinan UMNO itu kemudian 'membakar jambatan' dan membentuk apa yang dikenali sebagai Parti Melayu Semangat  1946 atau Semangat 46.

Pada pilihan raya November 1999, Dr Mahathir memilih beliau untuk bertanding semula bagi kerusi Parlimen Jelebu dan berikutan kemenangannya, dia dilantik sebagai Menteri,  Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Ini berikutan pembubaran Semangat 46 dan kemasukan semula ahali-ahlinya ke dalam UMNO.

Tidak dapat dinafikan yang Dr Rais Yatim seorang yang banyak pengalaman dan antara tokoh UMNO yang 'pintar'. Oleh itu, saya yakin dia akan membuat keputusan yang 'pintar' bagi membolehkan ketuanya, Datuk Seri Najib, mudah membuat pilihan.

Dr Rais seharusnya mengikut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya seperti  Syed Hamid Albar,  Rafidah Aziz,  Tajol Rosli dan  Dr Ng Yen Yen. Semua mereka lebih muda daripada Dr Rais dan berpendirian 'realistik' dengan memberi peluang kepada calon yang lebih muda mewakili parti pada PRU-13 ini. Mereka sedar yang mereka tidak dapat 'menongkat dunia'.

Jawaban saya kepada persoalan sahabat berkenaan adalah seperti berikut:

"Orang semenda, di tempat semenda,
Jika cerdik, teman berunding;
Jika bodoh disuruh arah.
Tinggi banir tempat berlindung,
Rimbun dahan tempat bernaung.
Orang semenda pergi kerana suruh,
Berhenti kerana tegah".  






  


Tuesday, 9 April 2013

PRU-13 - Penamaan Calon dan Hari Mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Sabtu 20 April  sebagai hari penamaan calon dan Ahad 5 Mei  sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

PRU-13 dijangka sebagai pilihan raya umum paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional (BN). 

BN pimpinan Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak mendapat sokongan kuat media arus perdana termasuk semua stesen televisyen.  Pakatan Rakyat (PR) pula mendapat sokongan sebilangan besar media alternatif atau meia sosial.

Jumlah keseluruhan yang layak mengundi ialah seramai 13, 268, 002 orang.

SELAMAT MENGUNDI (Bukan Buang Undi).