Friday 24 April 2009

Zaid sambut cabaran Rais untuk berdebat

Mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menerima cabaran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr Rais Yatim untuk berdebat.

Zaid berkata dia sanggup pada bila-bila masa dan di mana sahaja untuk berdebat dengan Rais tetapi Rais mestilah menyatakan secara spesifik perkara yang hendak diperdebatkan.

Zaid, yang juga seorang peguam dan sahabat Rais, berkata debat itu, jika diadakan, seharusnyalah disiarkan secara langsung oleh RTM, stesen tv yang dikuasai kerajaan.

Rais kurang senang dengan kenyataan-kenyataan Zaid yang menghentam dan mengkritik bosnya, DS Najib Tun Razak terutama melalui media asing. Zaid adalah antara tokoh politik dan sosial yang menjadi pilihan media asing untuk ditemuramah.

Mantan pengerusi firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim and Co (ZICO), Zaid sering mengunjungi JPM dan turut ke pejabat Rais yang ketika itu menteri di JPM. Rais juga pernah menghadiri dan berucap pada majlis-majlis yang dianjurkan oleh ZICO.

Kita berharap debat terbuka antara Rais dan Zaid akan menjadi kenyataan dan orang ramai seharusnya diberi peluang menonton perdebatan antara dua tokoh undang-undang itu melalui siaran langsung RTM.

Selaku menteri yang mengawal selia Jabatan Penyiaran, sudah tentu tiada masalah bagi Rais untuk mengarahkan RTM berbuat demikian.

Thursday 23 April 2009

Media asing nak guling Najib?

Saya terperanjat membaca laporan Bernama dari Melaka yang mengutip Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dr Rais Yatim kononnya wujud "usaha" untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri.

Ini perkara serius dan tidak boleh dipermain-mainkan oleh sesiapapun. Kenyataan sedemikian adalah berbahaya dan tidak wajar didedahkan kepada khalayak tanpa sebarang bukti. Jika ia satu andaian, ia tidak boleh di dedahkan kerana kesannya amat mendalam.

Menurut Bernama, menteri berkenaan berkata tohmahan media asing adalah satu "grand design" untuk menjatuhkan Najib.

Berasaskan laporan itu, kita boleh mengandaikan bahawa media asing cukup berpengaruh sehingga mampu menjatuhkan seorang perdana menteri di sebuah negara yang merdeka. Tetapi, saya berpendapat tidak. Bukan media asing yang boleh berbuat demikian tetapi musuh-musuh Najib dalam partinya sendiri.

Mungkin ada musuh dalam selimut.