Friday 10 July 2009

Pak Lah jelas kenapa dia tenang menerima kritikan

UMNO Bahagian Cheras pimpinan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengadakan satu majlis khas meraikan mantan Perdana Menteri/Presiden UMNO Tun Abdullah Ahmad bertemakan "Sejunjung Kasih Setulus Ingatan" di Hotel Nikko, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 10 Julai.

Majlis makan malam itu dihadiri oleh ahli-ahli UMNO Bahagian Cheras dan wakil parti-parti komponen BN Cheras dan jemputan khas termasuk Timbalan Menteri di JPM Senator Dr Marshitah Ibrahim dan suami.

Pada majlis itu, Syed Ali menegaskan bahawa walaupun beliau pernah "menegur" Pak Lah semasa masih menjadi PM dan Presiden UMNO, ia tidak bermakna bahawa jasa dan sumbangan mantan PM itu harus dilupakan. Dia berbuat demikian kerana sayangkan parti dan sayangkan Pak Lah.


Seperti Syed Ali, sayapun pernah berbuat demikian kerana kritikan itu ditujukan kepadanya atas sifatnya sebagai PM dan bukan kerana soal peribadi. Atas sifatnya sebagai seorang insan, saya tetap menghormatinya kerana disitulah Pak Lah wujud sebagai seorang yang berhemah tinggi, bersopan santun dan baik hati. Kita seharusnya boleh membezakan antara kedua-dua sifat itu - pemimpin dan manusia biasa.

Pada majlis itu, Pak Lah berkata dia tidak menyimpan sebarang perasaan dendam atau marah kepada sesiapapun yang pernah menegur atau mengkritiknya. Kritikan dan perbezaan pendapat adalah sebahagian daripada amalan demokrasi. Dia tidak berkecil hati atau tersinggung kerana itu adalah kebebasan untuk memberi pandangan asalkan tidak berbentuk memaki hamun atau menghina.

Perbuatan bersifat maki hamun dan menghina bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran agama Islam, katanya.

Pak Lah menegaskan seseorang pemimpin mestilah sanggup menerima kritikan dan teguran termasuk daripada ahli partinya sendiri.

Sempena majlis itu, sebuah buku khas dilancarkan sebagai kenang-kenangan hubungan antara Pak Lah dengan UMNO Bahagian Cheras.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kesilapan fakta dalam catatan riwayat hidup Pak Lah. Kesilapan paling jelas ialah tempat kelahiran Pak Lah. Banyak pihak termasuk media masih beranggapan bahawa Pak Lah dilahirkan di Kepala Batas, Seberang Perai.

Sebenarnya, Pak Lah dilahirkan di Kampung Perlis, Bayan Lepas dan rumah kelahiran Pak Lah masih wujud di kampung tersebut dan kini dihuni oleh sepupunya. Kampung Perlis, Bayan Lepas adalah kampung ibu dan nenek Pak Lah manakala Kepala Batas adalah kampung bapa dan datuknya.

Thursday 2 July 2009

Penduduk Kampung Buah Pala tuntut kesaksamaan


Satu isu besar yang menghantui pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang ialah kedudukan sebidang tanah yang bernilai tinggi di mukim Gelugor yang dikenali sebagai Kampung Buah Pala. Pakatan Rakyat mewarisi masalah itu daripada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan mantan Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Khoon.

Perkampungan terakhir orang Tamil di Pulau Pinang itu dikelilingi oleh bangunan dan taman perumahan yang pada satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada ladang atau estet milik keluarga Brown.

Kampung Buah Pala diberi nama sempena ladang pokok pala yang diusahakan oleh David Brown, seorang ahli perniagaan yang kaya yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa pentadbiran EIC (East India Company) yang diketuai oleh Francis Light.

Brown membuka ladang yang dikenali sebagai Gelugor Estate atau Periya Thottam kepada orang Tamil, iaitu ladang rempah ratus yang menghasilkan buah pala, cengkih dan lada hitam.

Selain Gelugor Estate, David Brown turut memiliki dua ladang yang tidak kurang luasnya itu Sungai Nibong dan Sungai Dua Estate (Sinna Thottam).

Turut memiliki ladang dan hartanah yang besar pada ketika itu ialah Francis Light sendiri dan James Scott.

Orang Inggeris menguasai hampir 75 peratus tanah di Pulau Pinang yang bermula dari puasat bandar hinggalah ke Sungai Nibong dan Ayer Itam.

Untuk mendapatkan tenaga kerja di ladang dan juga untuk kerja-kerja binaan jalan dan sebagainya, pihak Inggeris membawa masuk pekerja dari India terutamanya banduan. Bermula pada tahun 1790 rakyat India, kebanyaknnya negeri Tamil, berhijrah ke Pulau Pinang.

David Brown turut tidak ketinggalan membawa masuk pekerja dari India untuk bekerja di ladang rempah ratusnya. Tidak seperti tenaga kerja yang pulang ke India selepas mengumpul wang secukupnya, pekerja Brown memilih untuk menetap dan berkeluarga di ladang tempat mereka bekerja.

Apabila David Brown meninggal dunia pada tahun 1825 (iaitu 184 tahun lalu), pentadbiran ladangnya diambil alih oleh anak dan seterusnya oleh waris beliau yang lain. Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, keluarga Brown turut membuka ladang getah sehingga ke Sungai Ara.

Keluarga Brown adalah antara keluarga yang paling kaya di Pulau Pinang dan selain memiliki ladang getah dan rempah ratus, mereka turut memiliki tiga buah rumah di puncak Bukit Bendera.

Sebuah rumah yang dikenali sebagai David Brown's Cottage dibina di Strawberry Hill, yang dinamakan sempena ladang strawberry milik Brown, dan sebuah lagi rumah dikenali sebagai Brown House dan sebuah lagi bernama Mon Craig.

Jika anda ke Pulau Pinang anda akan diberitahu bahawa antara tempat yang menawarkan makanan ala-penjaja yang terbaik ialah di Padang Brown atau Padang Brom bagi sesetengah warga Pulau Pinang.

Padang Brown sudah tentu pada asalnya hartanah milik keluarga Brown yang dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah padang permainan terutama bolasepak. Di Padang Brown atau kemudian dikenali sebagai Padang Datuk Keramat terdapat sebuah tugu peringatan untuk David Brown iaitu Brown Memorial.

Selain Padang Brown, terdapat sebuah taman perumahan yang menempatkan rumah kos rendah hinggalah ke kos sederhana tinggi yang dikenali sebagai Brown Garden. Ia adalah sebahagian daripada tanah Gelugor Estate yang dijadikan kawasan perumahan awam antara yang terawal di Pulau Pinang.

Brown Garden kini bertukar nama kepada Taman Tun Sardon, iaitu semasa orang politik begitu ghairah menukar nama jalan, kampung dan tempat daripada nama Inggeris kepada nama tempatan dan Brown Garden adalah antaranya.

Bertentangan dengan Brown Garden terdapat sebatang jalan yang bernama Jalan Helen Brown, iaitu nama salah seorang waris David Brown yang 'mewakafkan' hartanya kepada penduduk tempatan. Saya tidak tahu sama ada jalan itu masih wujud atau namanya telah ditukar kepada nama tempatan.

Tanah Kampung Buah Pala adalah antara hartanah keluarga Brown yang diamanahkan kepada penduduk atau waris pekerja ladang berkenan.

Hartanah itu berpindah milik kepada Koperasi Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang. Saya tidak tahu bagaimana atau bila hartanah itu dipindah milik dan siapa pemiliknya sebelum dipindah milik.

Syarikat yang bakal memajukan Kampung Buah Pala ialah Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd
yang bakal mengubah wajah kampung tradisional itu kepada sebuah projek mega termasuk kediaman mewah.

Waris pekerja Gelugor Estate yang datuk nenek mereka mula menetap di situ hampir 200 tahun lalu kini berdepan dengan masalah paling besar dalam sejarah kehidupan mereka. Tanah yang dikurniakan kepada datuk nenek mereka telah berpindah milik kepada orang lain dan kini mereka menanti masa untuk diusir entah ke mana.

Penghuni Kampung Buah Pala adalah waris insan yang turut memberi sumbangan kepada kemakmuran ekonomi Pulau Pinang, mereka turut memberi sumbangan kepada pembangunan Pulau Pinang dan mereka adalah warga negara yang hanya mengenali Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka.

Mereka bukan seperti sebilangan pekerja dari India yang ke bumi bertuah ini untuk mengumpul wang yang kemudian dibawa pulang ke negara asal, golongan itu dikenali sebagai "Adi Dravidas".

Waris pekerja ladang Gelugor Estate yang menghuni Kampung Buah Pala adalah warga negara yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang. Mereka menuntut kesaksamaan sama seperti orang lain yang berhak berbuat demikian.

Inikah Satu Malaysia?