Monday 24 May 2010

Tanah KTMB - siapa yang menang sorak?

Setelah hampir 20 tahun tertangguh, isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura akhirnya selesai, itulah yang dinyatakan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Singapura.

(Foto Makam Habib Noh di Tanjong Pagar, Singapura yang gagal dipindah oleh pemerintah Singapura, Lee Kuan Yew, malangnya stesen KTMB berjaya dipindahkan oleh anaknya, Lee Hsien Loong)

Dalam persetujuan yang dicapai antara DS Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong di republik itu hari ini, stesen utama KTMB di Tanjong Pagar akan dipindahkan ke Woodlands tahun depan.

Sistem transit aliran ringan akan diwujudkan antara Tanjong Putri di JB dan Woodlands dan apabila ianya beroperasi, stesen KTMB di Woodlands boleh dipindahkan ke JB. Ini bermakna berakhirlah riwayat KTMB di Singapura.

Kita sedia maklum bahawa Singapura terlalu ingin mengambil balik tanah KTMB di Tanjong Pagar kerana nilainya yang tinggi. Stesen KTMB Tanjong Pagar terletak dalam kawasan daerah perniagaan pusat (CBD) terutama Shenton Way dan jika dibangunkan, ia pasti memberi pulangan berbilin dolar Singapura.

Malangnya, Singapura tidak boleh berbuat apa-apa selagi tanah milik KTMB di republik itu digunakan untuk perkhidmatan tren. KTMB memiliki tanah antara Tanjong Pagar hingga ke Woodlands termasuk stesen di Bukit Timah yang bernilai tinggi.

Oleh itu, pengunduran KTMB dari Tanjong Pagar ke Woodlands dan kemudiannya keluar terus dari Singaopura ke JB, merugikan Malaysia.

Sebuah syarikat usaha-sama antara Khazanah Nasional (60 peratus) dan Temasik Holdings (40 peratus) akan dibentuk untuk memajukan tanah KTMB tetapi kenapa Malaysia perlu menyerahkan ekuiti 40 peratus? Kenapa tidak 20 peratus kerana kita adalah tuan tanah!

Malaysia begitu mudah menyerah kalah sama seperti isu penyerahan dua blok telaga minyak luar pantai Limbang kepada Brunei.

Nampaknya Malaysia menang sorak, kampung tergadai.

Sunday 16 May 2010

Tsunami pengundi Cina



Bagilah apa saja, mereka terima. Berpuluh malah beratus juta ringgit diturunkan atas nama bantuan dan pembangunan serta dalam semangat 1 Malaysia. Semua orang tentu menerimanya dan yakinlah pucuk pimpinan bahawa mereka akan sokong (undi) parti pemerintah.

Pengundi Cina di Hulu Selangor dapat lebih daripada durian runtuh, malah pokok durian tumbang di kampung-kampung baru dan penempatan majoriti Cina. Tetapi majoriti pengundi Cina tidak mengundi parti pemerintah walaupun calonnya menang.

Pengundi Cina di Hulu Selangor mengundi calon Melayu yang diletakkan oleh parti gabungan yang disebut sebagai pembangkang di Dewan Rakyat tetapi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Jelas sekali pengundi Cina tidak mengundi mengikut kaum. Mereka mengundi siapa sahaja yang bukan mewakili parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional.

Berkat daripada pilihan raya kecil di Hulu Selangor, masyarakat Cina tiba-tiba merasai yang mereka dihargai. Perkampungan dan penempatan mereka dikunjungi pemimpin-pemimpin besar negara dan negeri, yang mewakili kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri.

Minta apa saja, mereka dapat. Inilah untungnya jika ada pilihan raya kecil. Tetapi, apabila mengundi, itu hak mereka, itu kuasa yang ada di tangan mereka. Ia tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti memerintah (BN).

Pengajaran di Hulu Selangor nampaknya tidak dijadikan teladan oleh pihak BN apabila menghadapi pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat di Sibu, Sarawak.

Sekali lagi berduyun-duyun pemimpin BN peringkat persekutuan dan negeri di Semenanjung turun ke Sibu dan seperti biasa, banyak peruntukan dan bantuan diturunkan ke sana yang dikatakan beratus juta ringgit.

Stesen-stesen penyiaran milik kerajaan dan yang dikawal oleh gergasi media mesra pemerintah, tidak habis-habis menyiarkan berita berkaitan Sibu. Tidak kurang hebat juga liputan media cetak mesra pemerinrtah. Tiba-tiba Sibu menjadi begitu hebat. Ada saja berita yang nak disalur dan disampaikan kepada rakyat tentang sokongan rakyat Sibu kepada BN.

TV3 sekali lagi mengundang calon BN untuk diwawancara (satu bentuk kempen) dalam rancangan Soal Jawab. Hebat sungguh Sibu, sebuah kawasan atau daerah undi yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan dikatakan sebagai kubu kuat BN.

Kepimpinan BN cukup yakin rakyat di Sibu akan menyokong parti mereka. Kenapa tidak, apa saja yang diminta ditunaikan seolah-olah kerajaan persekutuan menyediakan cek kosong untuk membelanjakan wang rakyat untuk rakyat dalam semangat 1 Malaysia!

Yang jelas, majoriti pengundi Cina di Sibu tidak menyokong BN. Mereka memilih DAP yang mewakili Pakatan Rakyat.

Pengajaran yang diberi oleh pengundi Cina di Hulu Selangor masih kabur dan tidak jelas di kalangan pemimpin-pemimkpin BN seperti Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin apabila mereka berdepan dengan pilihan raya kecil di Sibu.

Pengundi masih di gula-gulakan dengan bantuan-bantuan segera untuk sekolah-sekolah Cina dan projek-projek pembangunan yang sebelum ini tidakpun mendapat perhatian. Itulah yang dapat dirumuskan.

Pemimpin BN tidak sedar akan tsunami pengundi Cina yang bermula pada pilihan raya umum lalu dan diulangi di Hulu Selangor. Pemimpin BN terutama UMNO masih tidak sedar yang rakan mereka iaitu MCA, Gerakan, SUPP dan LDP tidak mampu mendapatkan sokongan orang Cina manakala MIC gagal memikat pengundi keturunan India. Pengundi Melayu pula berpecah tiga, ada yang menyokong UMNO, ada yang menyokong PAS dan ada yang menyokong Parti KeAdilan Rakyat.

Untuk memenangi pilihan raya, parti-parti politik memerlukan sokongan semua kaum, bukan satu kaum. Untuk itu, mereka mesti bersikap adil dan saksama kepada semua kaum. Politik perkauman sudah basi.

Sekirahnya BN masih leka akan kedudukan politik semasa dan kehebatan ledakan teknologi maklumat yang melahirkan media baru, maka BN seharusnya bersedia untuk menghadapi nasib malang yang menimpa LDP di Jepun yang seusia dengan UMNO.

Pisau dan mentimun ada di tangan pemimpin BN.