Monday 5 July 2010

Antara Anwar Ibrahim, Zionis, Zionisme dan Yahudi




Mantan timbalan perdana menteri yang kini Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kesilapan besar apabila dia memohon maaf kepada puak Yahudi di Washington, Amerika Syarikat, semata-mata atas kenyataannya berkaitan Yahudi, Zionis dan Zionisme.

Tindakan Anwar bukan sahaja mengecewakan tetapi mengaibkan dan ia tidak melambangkan kekuatan dan jati diri seseorang yang dikatakan pemimpin.

Walaupun permohonan maaf diterima dan alasan yang diberikan oleh Anwar kepada kepimpinan berpengaruh Yahudi di Amerika Syarikat, khususnya B'nai B'rith International, telah melegakan penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR) itu, namun kesannya terhadap masa depan politik Anwar di Malaysia sedikit sebanyak terjejas.

Kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia, terutama yang rata-rata menentang kekejaman Yahudi di bumi Palestin, perbuatan Anwar sukar dimaafi.

Kenapa Anwar sanggup meminta maaf hanya atas kata-katanya yang tidak mengakibatkan kecederaan apatah pula kematian ke atas orang Yahudi sedangkan rejim pengganas Zionis di Tel Aviv yang diketuai Benjamin Netanyahu enggan meminta maaf atas perbuatan zalim menyerang dan membunuh sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza?

Apakah kata-kata yang diluahkan terhadap kezaliman Zionis dan Zionisme itu lebih parah dan lebih dahsyat daripada membunuh manusia yang berniat baik dan tidak bersenjata?

Jika Anwar menganggap apa yang dilakukannya (permohonan maaf) itu betul, ia boleh dilihat sebagai mengakui pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas Yahudi itu juga betul dan oleh itu, mereka (Yahudi) tidak perlu meminta maaf.

Kita sedar bahawa nama Anwar di Washington jauh lebih menyerlah daripada mana-mana pemimpin politik Malaysia termasuk PM Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini diakui oleh mantan duta besar Amerika Syarikat di Malaysia (1995-1998), John R Mallot.

Anwar mempunyai talian persahabatan yang kukuh di sana selain rapat dengan kepimpinan B'nai B'rith, pertubuhan Yahudi tertua dan paling berpengaruh yang mengawasi dan memantau kepentingan Yahudi di seluruh dunia. Sebab itulah Anwar sanggup tunduk dan memohon maaf kepada mereka.

Antara kawan rapat Anwar termasuk Al Gore, mantan naib presiden dan beberapa orang mantan setiausaha negara, setiausaha pertahanan, anggota "Congress" dan Dewan Perwakilan selain kontak profesional termasuk mereka yang dilihat sebagai "opinion leaders". Anwar tidak mahu kehilangan sokongan mereka dan dia sanggup lakukan apa saja untuk mengekalkan kedudukan tersebut.

Sungguhpun demikian, Anwar perlu ingat dan insaf bahawa sokongan politiknya bukan di Amerika Syarikat tetapi di Malaysia. Jatuh bangunnya dalam arena politik terletak di tangan pengundi di Malaysia, bukan di Washington ataupun Tel Aviv.

Thursday 1 July 2010

UMNO dan Tan Sri Khalid Ibrahim

Barisan kepimpinan UMNO nampaknya begitu ghairah memperkatakan mengenai keputusan atau tindakan Parti KeAdilan Rakyat, PKR, menggugurkan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim selaku ketua atau pengerusi PKR Selangor, dengan digantikan oleh naib presiden PKR Azmin Ali.

Heboh diperkatakan dalam media arus perdana mengenai perkara itu seolah-olah ia sesuatu yang baru dan menggemparkan. Ada juga ahli akademik yang memberi ulasan yang memihak kepada pendapat UMNO.

Tindakan oleh PKR itu dilihat sebagai kehilangan kepercayaan kepada TS Khalid dan sesuatu yang bakal menamatkan kerjaya politiknya. Azmin, mantan setiausaha sulit DS Anwar semasa berjawatan timbalan PM, dilaporkan sebagai tidak sehaluan dalam banyak hal dengan TS Khalid.

Saya tidak melihat perubahan kepimpinan PKR Selangor sebagai sesuatu yang luar biasa atau yang mengejutkan kerana perkara yang serupa berlaku pada masa-masa lampau dalam parti lain terutama UMNO.

Jika diambil ulasan dan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Majlis Tertinggi dan Bahagian, apa yang berlaku di Selangor adalah sesuatu yang memperlihatkan tanda-tanda kejatuhan PKR atau setidak-tidaknya kemusnahan masa depan politik TS Khalid.

Kenapa ia harus dilihat demikian sedangkan kejadian atau tindakan yang serupa dilakukan oleh UMNO di beberapa buah negeri dan tidak pula timbul apa-apa masalah atau ulasan negatif oleh media.

Lihat saja di Terengganu, MB Datuk Ahmad Said bukan ketua perhubungan UMNO Negeri, ia disandang oleh naib presiden parti Datuk Hishamuddin Hussein. Tiada bezanya antara apa yang dilakukan di Terengganu dengan apa yang dilakukan di Selangor. Kita tidak lihat perlantikan Hisham sebagai satu tamparan kepada Ahmad Said atau UMNO hilang kepercyaan terhadap MBnya sendiri. Tidak sama sekali.

Di Kedah, ketuanya bukan mantan MB Mahathir Khalid tetapi seorang lagi naib presiden berasal dari Sabah, Datuk Shafie Apdal manakala di Pulau Pinang naib presiden kanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilantik ketua, bukan Datuk Azhar atau Dr Helmi Yahya.

Kita boleh terima alasan yang UMNO Kedah dan UMNO Pulau Pinang memerlukan kepimpinan orang yang bertaraf naib presiden kerana kedua-dua negeri itu ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Tetapi, alasan yang sama tidak boleh diberikan kepada kes Terengganu kerana negeri itu ditadbir oleh BN dan MBnya adalah dari UMNO.

Tiada pula ahli akademik yang memberi ulasan negatif terhadap kes di Terengganu seperti yang dilakukan dalam kes di Selangor sedangkan dari sudut politik, ada persamaan. Mungkin isu itu dilihat dari dua sudut yang berlainan, iaitu sudut UMNO dan sudut pembangkang.

Kita sedia maklum akan kepentingan jawatan dan pangkat kerana sebarang ulasan yang tidak memihak kepada yang berkuasa ada risikonya.