Wednesday 10 November 2010

Banjir - nak tolong kerana Allah atau publisti politik...

Negeri Kedah dan Perlis menghadapi bencana alam yang dikatakan antara yang paling buruk pernah dilalui oleh mereka yang bergelar warga emas apatah pula yang masih muda. Banjir yang berlaku kali ini meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk kedua-dua negeri, terutama Kedah.

Banjir kali ini juga menimbulkan bermacam tuduhan dan fitnah di kalangan pihak tertentu terutama di negeri Kedah memandangkan pentadbiran negeri dan persekutuan bukan datangnya dari satu pakatan atau gabungan parti politik. Tiada pula masalah di Perlis kerana parti yang sama berkuasa sedangkan   masalah wujud.

Soal kemanusiaan dan keutamaan nampaknya diketepikan apabila satu pihak menuding jari kepada pihak lain dengan tuduhan-tuduhan yang berbaur politik. Nampaknya untung nasib rakyat yang menghadapi bencana dan menderita akibatnya dijadikan bahan cemuhan politik.

Laporan media juga tidak membantu meredakan keadaan dan menjurus kepada kerja sebenar, iaitu membantu mangsa banjir tetapi mengutarakan perkara negatif dan tidak seimbang serta jauh  daripada kebenaran.

Saya berada di Utara Semenanjung dan dimaklumkan oleh banyak pihak tentang laporan yang lebih memihak kepada kerajaan Persekutuan. Itu yang diberitahu dan jika dilihat dari sudut laporan oleh media elektronik, ada kebenaran mengenai perkara itu.

FOTO DARI BLOG SAUDARA MONIER MAT DIN YANG MENYERTAI NGO WARGAKILANG.COM TURUN PADANG MEMBANTU MANGSA BANJIR DI KEDAH.


Saya tahu dan sedar bahawa satu pihak turun membantu tanpa membawa rombongan media untuk membuat liputan manakala pihak lain sebaliknya. Mereka 'turun padang' dengan diikuti oleh media untuk memberi bantuan dan ini tidak lebih daripada usaha  menagih saham politik.

Saya tidak mempersalahkan MB Kedah yang  marah kerana dituduh tidak turun padang sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya. Dia turun padang tanpa diiringi media.

Ada media elektronik tertentu yang sengaja mempertonton temuramah dengan pihak yang menyokong parti politik pendokong kerajaan persekutuan untuk memperlekeh pentadbiran negeri Kedah. Ulasan  positif     kepada satu pihak sahaja yang disiarkan.

Saya tidak menyangka mendengar dan menonton seorang yang ditemuramah itu menuduh kerajaan negeri hanya memberi bantuan makanan kepada penyokong partinya. Itu fitnah namanya kerana saya tahu ia tidak benar. Janganlah sampai sanggup mengeluarkan kata-kata fitnah semata-mata atas kepentingan politik.


FOTO DARI BLOG MUNIER MAT DIN YANG MERANDUK BANJIR UNTUK MEMBANTU MANGSA BANJIR TANPA MENGIRA FAHAMAN POLITIK. MEREKA BERBUAT DEMIKIAN KERANA ALLAH BUKAN KERANA POLITIK.



Masalah yang kita hadapi di Malaysia ialah semuanya memperalatkan politik. Menangani bencana alampun dijadikan modal politik. Di Kedah, sebuah jawatankuasa dibentuk dengan anggotanya  dari kalangan parti gabungan BN. Ia dikatakan akan menyalur bantuan dari kerajaan Persekutuan. Jika mereka ikhlas dan benar-benar nak bantu, janganlah ketepikan pihak negeri dan  PAS. Ini adalah soal kemanusiaan bukan satu pertandingan atau satu peluang  untuk mendapat sokongan politik. Musibah yang menimpa bukan kerana politik tetapi sesuatu yang diturunkan oleh Allah.


Pihak media pula ada yang lupa akan etika kewartawanan apabila membuat liputan. Ke mana diletaknya kesaksamaan dalam membuat laporan, ke mana perginya soal kebenaran, dan apa dah jadi dengan ketelusan...Saya tidak menuduh semua media tetapi ada yang berbuat demikian atas sebab tertentu. Amat malang sekali jika media tidak berperanan adil dan saksama dalam membuat liputan atau laporan.



Monday 8 November 2010

Melayu PKR ada dua pilihan - UMNO atau PAS

Parti KeAdilan Rakyat atau PKR nampaknya sedang melalui episod yang boleh diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan.  Satu demi satu orang kuat ataupun mereka yang benar-benar serius untuk membawa pembaharuan dalam arena politik negara, meninggalkan parti itu atau lenyap begitu sahaja.

Terkini Datuk Zaid Ibrahim, mantan tokoh UMNO dan menteri kerajaan persekutuan, salah seorang tokoh yang dilihat mampu membawa pembaharuan dalam PKR.

Tindakan Zaid, mantan tuan punya firma guaman milik tempatan yang terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim and Co atau ZICO,  menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dan meletak semua jawatan dalam parti, sudah pasti memberi kesan mendalam kepada PKR.

Saya kira  Zaid akan keluar PKR dan berkemungkinan besar menyertai sebuah parti lain, umpamanya PAS atau menubuh sebuah parti serpihan PKR. Saya juga tidak menolak kemungkinan Zaid akan bersara terus daripada akif dalam politik. 

Seperti tokoh politik lain yang berpengaruh, Zaid mempunyai pengikut dan penyokong dan sudah tentu sebilangan besar daripada mereka akan mengikuti jejak langkahnya.

Kedudukan PKR semakin tenat ekoran tindakan Zaid kerana dia mempunyai ramai penyokong dalam parti itu. 

PKR sebenarnya sebuah parti yang memperjuangkan masa depan politik Anwar Ibrahim. Nokhtah.

Untuk mencapai impiannya, Anwar dan panglima perangnya, Azmin Haji Ali sanggup melakukan apa saja untuk memastikan teraju parti berada sama ada di tangan mereka atau orang yang mereka percayai. Zaid Ibrahim bukan orangnya, oleh itu  kemaraannya dalam kepimpinan parti mesti disekat. Anwar tidak mahu orang lain menduduki kerusi nombor dua PKR selain Azmin, mantan setiausaha sulitnya semasa dia berada dalam kerajaan.

Kemasukan Zaid dalam PKR setelah keluar UMNO tidak lebih daripada satu strategi politik Anwar untuk mencapai cita-citanya tetapi Zaid terbukti bukan seorang yang begitu mudah mengikut telunjuk orang lain atau 'yes man' dan inilah yang tidak dapat diterima oleh sama ada Anwar atau Azmin.

Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail tidak mampu dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana dia bukan pemimpin sebenar PKR. Umum mengathui bahawa orang yang 'berkuasa'  adalah Anwar. 

Orang Melayu yang pernah atau masih menganggotai PKR harus sedar akan perjuangan sebenar parti itu dan mereka mesti bertanya diri sendiri tujuan menyertainya, sama ada ia selari dengan hasrat dan harapan mereka atau mereka tidak lebih daripada angka yang digunakan semata-mata untuk menunjukkan bahawa orang Melayu menyokong PKR. 

Kepada orang Melayu yang masih berada dalam PKR dan yang masih ingin berjuang atas kepercayaan untuk menggalak politik yang progresif terutama di kalangan orang Melayu,  mereka harus diingatkan bahawa PKR  bukan wadahnya.

Orang Melayu PKR ada dua pilihan,  iaitu sama ada menyokong UMNO atau PAS. Kedua-dua parti ini perlu kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu/Islam dan terpulanglah kepada mereka untuk memilih yang mana satu tetapi yang pasti bukan PKR atau mana-mana parti lain yang terbukti gagal memperjuangkan kepentingan Melayu/Islam. Tepuk dada, tanya selera.