Saturday 1 January 2011

Harimau Malaya adalah nama spesis kecil harimau

Ada pihak, terutama golongan politik, yang dah mula mempertikaikan jolokan Harimau Malaya kepada pasukan bolasepak kebangsaan yang baru-baru ini merangkul Piala AFF Suzuki.

Nampaknya nama Harimau Malaya atau Malayan Tiger cuba dijadikan alat untuk melaga-lagakan antara Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Mereka membangkitkan soalan remeh iaitu kenapa tidak dinamakan pasukan itu sebagai Harimau Malaysia.

Mereka tidak sedar atau tidak tahu bahawa harimau Malaysia tidak wujud. Yang wujud hanyalah harimau Malaya. iaitu salah satu spesis kecil atau sub-species harimau. Sama seperti harimau Sumatra, harimau Bengal, harimau Siberia ataupun harimau Selatan China dan harimau Indo-China.


Foto atas harimau Malaya
Foto harimau Bengal yang lebih besar daripada harimau Malaya
Foto harimau Sumatra yang juga lebih besar daripada harimau Malaya
 
Harimau Malaya

Oleh itu, tidak harus timbul sama sekali soal kenapa pasukan bolasepak kita tidak dinamakan sebagai Harimau Malaysia kerana spesis tersebut tidak wujud. Yang wujud adalah harimau Malaya.

Janganlah sengaja membangkitkan sesuatu isu tanpa mengetahui latar belakang atau maklumat mengenai perkara yang nak diputar belitkan.




George Town kini 54 tahun bertaraf bandar raya

Geroge Town, ibu Negeri Pulau Pinang, hari ini genap 54 tahun bertaraf bandar raya. Taraf tersebut tidak  ditarik balik atau pemasyurannya tidak dibatalkan oleh Ratu Elizabeth yang menganugerahkan taraf tersebut.

George Town dimasyurkan sebagai sebuah bandar raya atas perintah diraja atau royal command oleh  Queen Elizabeth pada 1 Januari, 1957, iaitu sebelum Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos tahun yang sama.

George Town adalah satu-satunya bandar di Timur Jauh yang mendapat penghormatan tersebut.

Majlis Bandar Raya George Town telah digabungkan dengan Majlis Daerah Luar Bandar, pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab ke atas kawasan yang tidak termasuk di bawah pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town seperti Bayan Lepas, Balik Pulau dan Telok Bahang, berikutan pewujudan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Datuk Bandar pertama George Town yang dipilih oleh ahli-ahli majlis yang terdahulu dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan ialah D.S. Ramanathan dari Parti Buruh atau Labour Party. Sehingga pilihan raya majlis atau kerajaan tempatan dimansuhkan, Bandar Raya George Town ditadbir oleh gabungan Parti Buruh dan Parti Soialis yang membentuk Socialist Front atau Barisan Sosialis.

Parti Perikatan, gabungan UMNO, MCA dan MIC, tidak dipilih oleh rakyat untuk mentadbir Majlis Bandar Raya George Town tetapi menbtadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 1969 apabila ditumbangkan oleh Parti Gerakan pimpinan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu.

Foto di bawah menunjukkan sebuah bas troli dua tingkat berkuasa elektrik yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Bandar Raya George Town. Amat malang sekali apabila perkhidmatan bas troli yang mesra alam itu dihentikan awal tahun 1960-an.