Thursday 5 April 2012

Nazri tak perlu balun SPRM

Saya 'bercuti' daripada menulis agak lama sedikit dan menerima beberapa pertanyaan kenapa 'senyap' dan sebagainya. Kepada yang bertanya saya rakamkan ucapan terima kasih kerana sudi mengambil tahu. 

Saya sihat-sihat sahaja dan tiada masalah untuk terus menulis.

Kali ini saya nak ulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Nazri menang terkenal sebagai 'tukang  balun' bukan sahaja dalam Dewan Rakyat tetapi di mana-mana sahaja.    

Pihak terkini yang 'kena balun' ialah Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohamad Shukri Abdul.

Nazri marah kerana Shukri 'merungut' atau bersungut mengenai kes-kes rasuah yang disiasat oleh SPRM tetapi tidak diambil tindakan oleh Pejabat Peguam Negara. 

(Shukri mengeluarkan isi hatinya itu di sebuah  forum bahawa SPRM menyiasat semua tuduhan rasuah yang diserahkan kepadanya, tetapi Pejabat Peguam Negara yang enggan atau tidak memfailkan kes-kes tersebut di mahkamah atas alasan bukti tidak mencukupi) 

Harian bahasa Mandarin "Sin Chew Daily" dikutip oleh portal berita dalam talian 'Malaysiakini' sebagai melaporkan bahawa Nazri menyifatkan Shukri mempunyai watak yang lemah dan tidak sepatutnya merungut secara terbuka. (Nampaknya Nazri jadikan dirinya sebagai ahli atau pakar perwatakan apabila dia menuduh Shukri mempunyai watak yang lemah)

Lebih hebat daripada itu, Nazri berkata Shukri tidak perlu membuat atau mengeluarkan sebarang penjelasan kepada umum kerana ia (tindakan pendakwaan) merupakan tugas Pejabat Peguam Negara. SPRM hanya ditugaskan untuk menyiasat, itulah maksudnya.  

Shukri di"arah" supaya berhenti daripada membuat kenyataan sedemikian pada masa depan.

Saya simpati dengan Shukri dan SPRM kerana orang selalunya mempersalahkan mereka apabila sesuatu kes yang dilaporkan tidak diambil tindakan atau didakwa di mahkamah. 

Selain keengganan Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa atas beberapa sebab terutamanya  kurang bukti, terdapat juga 'arahan' pihak lebih atas supaya fail siasatan kes tertentu  ditutup atau tidak diambil tindakan selanjutnya. 

Saya tahu akan keadaan sedemikian kerana pernah berinteraksi dengan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ia ditukar kepada SPRM.  Pada masa itu, seliaan ke atas BPR diletak di bawah Menteri di JPM yang bertanggungjawab mengenai  hal ehwal undang-undang dan saya bertugas di pejabat menteri berkenaan.

Saya cukup mengenali Ketua Pengarah BPR ketika itu, Datuk Ahmad Zaki Hussein dan timbalannya yang kemudian Pesuruhjaya SPRM pertama, Datuk Ahmad Said Hamdan. Kedua-dua mereka adalah pegawai yang amat dihormati atas ketegasan menjalankan tugas. Malangnya, Datuk Ahmad Zaki telah ditukar hanya selepas dua tahun berkhidmat kerana dia tidak memilih 'bulu' untuk menyiasat dan sebab  itulah dia kurang disenangi oleh pihak yang lebih atas. Dia telah diganti, buat pertama kalinya, oleh seorang pegawai kanan Polis yang agak 'kontroversial' sehinggalah dia bersara. 

SPRM pun diletak dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan kebetulan pula Nazri menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.  Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah seliaan tidak bermakna menteri 'berkuasa' ke atas SPRM atau SPRM mesti lapor tugasan mereka kepadanya. Tugas menteri tidak lebih daripada yang berkaitan keperluan logistik termasuk  kakitangan dan peruntukan belanjawan serta urusan di Parlimen seperti menjawab pertanyaan ahli Dewan atau membentang apa-apa pindaan rang undang-undang berkaitan.

Oleh itu, Nazri tidak sepatutnya menegur dan mengkritik Shukri semata-mata kerana pegawai berkenaan meluahkan perkara sebenar. Nazri tidak perlu 'balun' Shukri secara terbuka dan melemahkan semangat para pegawai SPRM. Saya sokong penuh apa yang diluahkan oleh Shukri kerana itulah kenyataan dan itulah kebenaran.

Saya  tahu bahawa ada pegawai BPR (semasa saya bertugas di JPM) yang kecewa dan patah semangat kerana ada  kes yang disiasat tidak diambil tindakan sewajarnya. Mereka hampa kerana setelah bertungkus lumus menyiasat kes-kes tertentu, kertas siasatan atau fail siasatan ditutup atau tidak didakwa di mahkamah. 

Jadi, apa yang dibangkitkan oleh Shukri bukan sesuatu yang baru dan saya yakin masalah ini berterusan sejak zaman BPR mengakibatkan para pegawai SPRM lemah semangat. Ia melibatkan soal maruah dan keyakinan terhadap sistem yang ada.

Nazri sepatutnya memberi sokongan moral kepada SPRM bukan membalun semata-mata untuk menunjukkan 'kuasa' dan 'siapa bos?"

Perkara sedemikianlah yang membuatkan rakyat mendesak supaya SPRM diletak di bawah Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan kepada JPM atau Kabinet.


    

   

    

Thursday 29 March 2012

PRU-13 - Dua Tun hampir senada mengenai kedudukan BN

Saya amat tertarik dengan kenyataan atau jika boleh dikatakan sebagai 'ramalan' mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan seawal Jun tahun ini.

Yang paling menarik ialah kenyataan mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang juga dikenali sebagai 'orang kanan' mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meramalkan bahawa BN hanya akan mempertahankan kuasanya di Johor, Melaka dan Pahang. Tun Daim dipetik oleh harian berbahasa Mandarin, Nanyang Siang Pau dan dikutip oleh Malaysiaknini sebagai berkata bahawa BN boleh mencatat kemenangan mudah di tiga buah negeri itu.

Ungkapan 'kemenangan mudah' bermakna BN akan dengan mudah menang. Kita tertanya-tanya pula bagaimana kedudukan atau keberhasilan kempen BN yang sebegitu hebat sekarang di negeri-negeri lain yang  ditadbir oleh gabungan parti-parti politik itu? 

Adakah BN akan menang tetapi bukan secara 'menang mudah' atau akan tumbang? Kita ketepikan dahulu soal kedudukan BN di Pulau Pinang dan Kelantan kerana Tun Daim sendiri mengakui bahawa BN akan kalah di kedua-dua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

Saya setuju bahawa Pakatan Rakyat akan terus berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang walaupun kedua-dua negeri itu menjadi sasaran serangan hebat dan bertubi-tubi oleh media yang dikuasai, dikawal atau yang menyokong BN. Ada saja berita dan laporan  negatif yang disebar luas mengenai kedua-dua negeri itu.

Perlu diingatkan bahawa menjelang PRU-12 yang lalu, Tun Daim meramalkan bahawa BN akan tumbang di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dan ia menjadi kenyataan. Oleh itu, apa yang dibayangkan oleh Tun Daim mengenai PRU-13 tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ia mungkin dan boleh menjadi kenyataan memandangkan kedudukan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikatakan semakin popular di kalangan rakyat, disifat pula oleh Tun Daim sebagai "jeneral tanpa askar". Dalam bahasa yang mudah difahami, ia  bermakna jeneral itu akan kalah perang.

Tun Dr Mahathir pula berpendapat adalah sukar untuk meramal keputusan PRU-13 kerana keadaan yang disifatkannya sebagai 'mengelirukan'.

Apa yang mengelirukan hanya Tun Mahathir yang tahu. Tetapi pada umumnya, ia tidak mengelirukan kerana rakyat tidak keliru walaupun pelbagai andaian dibuat oleh pengulas dan penganalisis menara-menara gading yang meninjau dari bilik berhawa dingin  masing-masing. Hampir semuanya memberi ulasan atau kupasan 'akademik' yang pro-BN. Sudah tentu ulasan mereka tidak akan disiarkan jika sebaliknya. Itu cukup jelas.

Tun Mahathir dilapor oleh Bernama sebagai berkata 'bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini' dan saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Agakan saya BN tidak akan dapat majoriti dua pertiga.   

Kita ketepikan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita teliti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir iaitu 'pembangkang sekarang bukan seperti dahulu' dan saya ingin menambah bahawa pengundi sekarang pun bukan seperti pengundi dua dekad dahulu. Pengundi sekarang bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh habuan wang ringgit atau kebendaan. Mereka boleh berfikir dan pandai membuat keputusan. Mereka dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana pula intan.

Soal Anwar sememangnya menjadi 'duri dalam daging' kepada BN dan juga Pakatan Rakyat. Ia boleh menjadi 'penawar' dan juga 'racun' dan kedua-dua pihak yang berlawanan akan menjadikan isu Anwar sebagai senjata untuk menang. Yang jelas Anwar bukan calang-calang orang untuk ditumbangkan walaupun dia pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dipenjarakan mengikut Kanun Keseksaan, dia masih tegak berdiri. Namun begitu,  Anwar  bukan 'penentu' kemenangan Pakatan Rakyat, tetapi PAS.