Sunday 27 May 2012

Keganasan tidak harus berlaku dalam perbezaan berpolitik

Kebelakangan ini keganasan sering berlaku di kalangan para pendukung dan penyokong parti-parti politik khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ianya tidak seharusnya berlaku walaupun berlainan fahaman dan pegangan politik kepartian.

Jika satu ketika dahulu, orang Melayu menjadikan sebagai satu jenaka apabila mesyuarat sebuah parti politik yang mewakili satu kaum tertentu berkesudahan dengan pergaduhan dan saling membaling kerusi dan apa saja objek yang boleh dilontar, sekarang mereka pula yang mentertawakan perangai dan tingkah laku orang Melayu.

Berlainan pegangan dan sokongan politik tidak seharusnya dipenuhi dengan keganasan dan kesamsengan yang bukan sahaja memperlihatkan ketandusan disiplin tetapi kerendahan akhlak. Biar berbeza pendapat dan sokongan tetapi jangan pula ia dijadikan alasan untuk mengganas dan mencederakan saudara sebangsa dan seagama ataupun sesiapa sahaja. 

"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara dua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujuraat: Ayat 10)

Majoriti orang Melayu bimbang perpecahan bangsa yang sedang berlaku atas kerekahan fahaman politik akan membawa padah kepada negara dan keturunan akan datang. Orang Melayu mesti belajar daripada sejarah dan pengalaman bangsa dan negara lain yang hancur apabila kesatuan bangsa runtuh. 

Kita hendaklah jadikan iktibar daripada sejarah hitam Melaka dan bangsa yang ditakluk Portugis pada 1511 diikuti selama 446 tahun penjajahan oleh Belanda, Inggeris dan Jepun dan selepas Merdeka peristiwa berdarah 13 Mei 1969.  Kita percaya mereka yang terlibat dalam keganasan dan tindakan samseng kebelakangan ini belum lahir semasa peristiwa hitam 1969 itu berlaku dan tidak tahu akan padahnya.

Bangsa Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah-belah. Biarlah berlainan fahaman politik tetapi jangan jadikannya sebagai satu alasan untuk bergaduh dan berpecah-belah. Jadikan perbezaan pendapat dan pegangan politik sebagai satu kekuatan bukan satu kelemahan.

Peringatan yang diberikan dalam al-Quran secara nyata mengajak manusia supaya menjaga ikatan silaturahim dan persaudaraan, bukan sebaliknya. Kita diajar supaya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan, bukan bermusuhan.

Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Apabila menjadi lemah sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran.

Semua pihak yang 'bermusuhan' akibat berlainan fahaman politik perlu ingat dan disedarkan bahawa Islam menyeru kepada perpaduan sejagat, melarang sama sekali perpecahan apa lagi sesama umat Islam. 

Apa yang berlaku hari ini, terutamanya di kalangan negara berpenduduk majoriti Islam, amat menyedihkan kerana ia berlawanan sama sekali dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Perkara yang sama sedang berlaku di Malaysia, semuanya kerana berlainan fahaman politik yang sempit. 

Saya percaya majoriti orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, khasnya dan rakyat Malaysia amnya,  menolak perpecahan apatah lagi keganasan dan tindakan samseng, tak kiralah oleh mana-mana pihak atau kumpulan tertentu.

BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH.

  

     

Thursday 24 May 2012

Daripada mendakwa kepada membela

Ada pihak yang kurang senang apabila mantan Peguamcara Negara II (SG II) Datuk Mohamad Yusof Zainal Abiden bertindak menyertai pasukan pembelaan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman.

Mereka mempersoal kewibawaan dan keprofesionalan Yusof yang pernah bertindak selaku ketua pendakwa apabila Anwar menghadapi tuduhan liwat, untuk kini bertindak membela Anwar. Kepada mereka, Yusof tidak boleh bertindak sedemikian malah ada pula yang mempersalahkan Yusof atas kegagalan untuk mensabitkan Ketua Pembangkang itu.

Antara yang mempersoal kewibawaan Yusof  ialah Ahli Parlimen (MP) Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamad yang juga Pengerusi UDA, MP Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman (pengerusi FELCRA), mantan MB Selangor Dr Mohd Khir Toyo dan ketua MCA Kuantan yang juga seorang peguam Datuk Ti Lian Ker.

Mereka turut menuduh tindakan Yusof sebagai tidak profesional dan boleh menimbulkan kesangsian terhadap pembebasan Anwar daripada kes  liwat.

Bagaimanapun, tindakan Yusof itu disifatkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertangungjawab ke atas hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebagai sesuatu yang tidak salah kerana Yusof bebas untuk mewakili sesiapapun yang dia pilih. Tiada sekatan ke atasnya slaku seorang peguam.  Nazri yakin  Yusof akan bertindak secara profesional.

Yusof adalah seorang pengamal  undang-undang yang profesional. Semasa bertugas dan diamanahkan  di Jabatan Peguam Negara, dia menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan sikap profesionalismenya itu diakui oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang percaya  Yusof akan bertindak profesional selaku peguam bela. 

Oleh itu, orang ramai terutama ahli-ahli politik UMNO atau Barisan Nasional tidak seharusnya mempertikai dan mempersoal tindakan Yusof untuk menyertai pasukan pembelaan Anwar kerana itu haknya selaku peguam.   

Yusof bukanlah orang pertama dari Jabatan Peguam Negara yang sama ada bersara wajib atau bersara pilihan ataupun meletak jawatan untuk membuka firma guaman sendiri atau menyertai tetuan sedia ada sebagai rakan kongsi.

Antara mantan Timbalan Pendakwa Raya atau DPP yang kini cukup terkenal sebagai seorang peguam bela "orang kenamaan" dan tokoh politik atau korporat ialah Datuk Shafee Abdullah yang memiliki firma guaman sendiri dan hidup senang-lenang.

Seorang lagi ialah mantan DPP Sallehudin Saidin yang memohon untuk bersara awal bersama-sama Yusof dan kini memiliki firma guamannya sendiri. Permohonan Sallehudin dilulus oleh Peguam Negara tetapi permohonan Yusuf ditolak. Yusuf kemudian dilantik sebagai SG II sehinggalah dia bersara awal tahun ini.

Kenyataan Nazri dan Gani memadai untuk menangkis sebarang tuduhan atau andaian terhadap Yusof yang berhijrah daripada seorang pendakwa  kepada seorang peguam bela. Kepada mereka yang mengenali Yusof, mereka tahu sikap profesionalisme yang dipegang olehnya.