Kebelakangan ini keganasan sering berlaku di kalangan para pendukung dan penyokong parti-parti politik khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ianya tidak seharusnya berlaku walaupun berlainan fahaman dan pegangan politik kepartian.
Jika satu ketika dahulu, orang Melayu menjadikan sebagai satu jenaka apabila mesyuarat sebuah parti politik yang mewakili satu kaum tertentu berkesudahan dengan pergaduhan dan saling membaling kerusi dan apa saja objek yang boleh dilontar, sekarang mereka pula yang mentertawakan perangai dan tingkah laku orang Melayu.
Berlainan pegangan dan sokongan politik tidak seharusnya dipenuhi dengan keganasan dan kesamsengan yang bukan sahaja memperlihatkan ketandusan disiplin tetapi kerendahan akhlak. Biar berbeza pendapat dan sokongan tetapi jangan pula ia dijadikan alasan untuk mengganas dan mencederakan saudara sebangsa dan seagama ataupun sesiapa sahaja.
"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara dua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujuraat: Ayat 10)
Majoriti orang Melayu bimbang perpecahan bangsa yang sedang berlaku atas kerekahan fahaman politik akan membawa padah kepada negara dan keturunan akan datang. Orang Melayu mesti belajar daripada sejarah dan pengalaman bangsa dan negara lain yang hancur apabila kesatuan bangsa runtuh.
Kita hendaklah jadikan iktibar daripada sejarah hitam Melaka dan bangsa yang ditakluk Portugis pada 1511 diikuti selama 446 tahun penjajahan oleh Belanda, Inggeris dan Jepun dan selepas Merdeka peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kita percaya mereka yang terlibat dalam keganasan dan tindakan samseng kebelakangan ini belum lahir semasa peristiwa hitam 1969 itu berlaku dan tidak tahu akan padahnya.
Bangsa Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah-belah. Biarlah berlainan fahaman politik tetapi jangan jadikannya sebagai satu alasan untuk bergaduh dan berpecah-belah. Jadikan perbezaan pendapat dan pegangan politik sebagai satu kekuatan bukan satu kelemahan.
Peringatan yang diberikan dalam al-Quran secara nyata mengajak manusia supaya menjaga ikatan silaturahim dan persaudaraan, bukan sebaliknya. Kita diajar supaya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan, bukan bermusuhan.
Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Apabila menjadi lemah sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran.
Semua pihak yang 'bermusuhan' akibat berlainan fahaman politik perlu ingat dan disedarkan bahawa Islam menyeru kepada perpaduan sejagat, melarang sama sekali perpecahan apa lagi sesama umat Islam.
Apa yang berlaku hari ini, terutamanya di kalangan negara berpenduduk majoriti Islam, amat menyedihkan kerana ia berlawanan sama sekali dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Perkara yang sama sedang berlaku di Malaysia, semuanya kerana berlainan fahaman politik yang sempit.
Saya percaya majoriti orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, khasnya dan rakyat Malaysia amnya, menolak perpecahan apatah lagi keganasan dan tindakan samseng, tak kiralah oleh mana-mana pihak atau kumpulan tertentu.
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH.
No comments:
Post a Comment