Tuesday 4 August 2015

Tuan Ibrahim: Selamatkan Negara

Hanya lima tahun lagi, tahun 2020 akan menjelang tiba. Sepatutnya Malaysia akan mencapai status negara maju sejajar dengan gagasan wawasan 2020 yang dilaungkan sejak ianya dilancarkan oleh bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Februari 1991.

Tiada ukuran dan penilaian dibuat terhadap sejauh mana keberkesanan belanjawan negara setiap tahun dan pembentangan Rancangan Malaysia 5 tahun. Oleh itu, tiada siapa yang dapat mencongak sejauh mana lagi Malaysia untuk mencapai cita-citanya.
Menilai keadaan negara hari ini, rakyat jelata merasakan cita-cita ini masih jauh. Cuma apa yang paling mengejutkan ialah keyakinan pemimpin BN khasnya PM bahawa negara masih berada pada landasan yang betul untuk mencapai matlamat wawasan tersebut.

Rakyat ramai termenung fana apakah ucapan pemimpin ini berada dalam khayalan atau masih bermimpi kerana realiti pembangunan negara masih terlalu jauh dengan apa yang dikatakan negara maju. Pelbagai kemudahan asas masih gagal disediakan. Pelbagai masalah alam sekitar masih menghantui rakyat.

Kini, pelbagai isu ekonomi dan politik yang melanda negara menyebabkan wawasan tersebut akan pasti menemui kegagalan.
Perubahan kabinet yang dilakukan oleh PM dan pendedahan RM2.6 bilion sebagai derma langsung tidak menampakkan memulihkan keyakinan pelabur sehingga nilai mata wang negara terus jatuh dan pasaran saham turut gagal dilonjakan. Ini bermakna perubahan kabinet yang dibuat ditolak oleh rakyat dan terus dipandang dengan penuh curiga, lebih-lebih lagi dengan cara kabinet baru cuba mempertahankan kisah derma RM2.6 bilion.

Negara kini memerlukan perubahan total. Bukan hanya perubahan perdana menteri atau beberapa orang menteri yang ditukar ganti. Seluruh kerajaan dan sistem perlu diganti.

Kini, masa yang paling penting semua parti pembangkang bersatu.

Inilah masa parti politik pembangkang duduk mencari titik persamaan dan mengecilkan titik perbezaan. Banyak formula baru boleh dicari.

Negara perlu diselamatkan. Ringgit sudah melepasi RM3.87 kepada 1USD. Rakyat marhaen perlukan pembelaan. Pegawai kerajaan yang kini menjadi mangsa memerlukan pembelaan. Bayangkan SPRM terpaksa buat solat hajat untuk selamatkan negara.

Saya bimbang bukan sahaja Wawasan 2020 akan hanya menjadi angan-angan, tetapi hasrat melihat berakhirnya pemerintahan BN juga akan turut gagal dijelmakan.
Rakyat bosan dan meluat melihat ahli politik bercakaran. Apakah tidak ada formula baru bagi membina persefahaman? Mari ketepikan perbezaan dan bersamalah selamatkan negara.

Akhir sekali, saya berdoa dan berharap Bank Negara dan Tan Sri Akhtar Zeti Aziz dapat terus bertahan dan istiqamah menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan berhadapan dengan tekanan yang bakal mendatang seperti yang dialami SPRM.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
4 Ogos 2015

Monday 3 August 2015

Siapakah begitu murah hati derma RM2.6 bilion tanpa syarat?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan bahawa RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dana sumbangan penderma dan bukan 1MDB.
Kini, timbul beberapa persoalan lanjut:

1. Mengapakah akaun itu ditutup jikalau ia dianggap bukan satu kesalahan?

2. Siapa penderma yang sebegitu murah hati?

3. Apakah ini derma dan bukan rasuah untuk habuan tertentu? Apakah siasatan SPRM telah melihat perkara ini?

4. Apakah syarat-syarat derma RM2.6 bilion? Sudah dibayangkan derma sebesar ini dilakukan tanpa syarat ke akaun Perdana Menteri.

5. Apakah ini sekadar permainan perakaunan?

6. Jika betul ia bukan duit 1MDB, mengapa sehingga kini saman kepada Wall Street Journal masih tertangguh?

7. Ketika wang derma dimasukkan ke akaun Najib, apakah Ambank memaklumkan perkara ini kepada Bank Negara?

8. Mengapa Lembaga Hasil Dalam Negeri berdiam diri apabila ada akaun perseorangan yang memiliki dana sebanyak RM2.6 bilion?

9. Mengapa Najib mengambil masa sebegitu lama untuk menjawab persoalan ini, lebih-lebih lagi setelah pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail serta penahanan beberapa pegawai Bank Negara dan SPRM berkaitan dengan kebocoran maklumat siasatan?

10. Apakah peranan Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil? Apakah polis mengetahui di mana beliau berada?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
3 Ogos 2015