Pada hari ini dalam tahun 1946, Almarhum Dato Onn Jaafar memanggil Kongres Melayu yang kedua di Istana Besar, Johor Baharu. Sebanyak 29 pertubuhan Melayu menghadiri kongres yang merupakan lanjutan terhadap perjuangan orang Melayu menentang gagasan Malayan Union.
Tengku Mahkota yang juga Pemangku Raja Johor Almarhum Tengku Ismail merasmikan kongres dengan menzahirkan kesyukuran di atas kehadiran sebegitu ramai wakil orang Melayu yang melambangkan kemuafakatan ke arah satu perjuangan mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu.
Dato Onn yang dipilih mempengerusikan persidangan berkata Kongres Melayu memperlihatkan kesatuan di antara orang Melayu daripada Raja-Raja sampailah ke bawah. Malangnya, kesatuan yang diasaskan pada tahun 1946 itu kini hancur berkecai dan orang Melayu tidak lagi bertindak dalam satu suara tetapi bertelagah dan bersengketa sesama sendiri.
Apabila persidangan diadakan atas sifat Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Datuk Panglima Bukit Gantang Dato' Abdul Wahab dilantik selaku pengerusi. Dato Onn dipilih sebulat suara menjadi Yang Di Pertua (sekarang presiden).
Bermula pada tahun 1946 hinggalah Malaya memperolehi kemerdekaan pada 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963, ahli dan pemimpin UMNO berjuang atas kepentingan umat dan negara. Tidak timbul perkara-perkara negatif seperti rasuah politik (politik wang), perebutan jawatan dan kedudukan dalam parti dan kerajaan. Malangnya, selepas itu UMNO dihantui oleh gejala rasuah politik, perebutan jawatan dan kedudukan kerana jawatan dalam parti membolehkan seseorang pemimpin itu memperolehi kedudukan dalam kerajaan mahupun institusi-institusi berkaitan kerajaan. Kemasukan mereka yang digelar orang korporat telah membawa satu budaya berpolitik yang asing kepada orang Melayu.
Rata-rata perjuangan dalam UMNO telah berubah, bukan untuk kebaikan tetapi sebaliknya. Orang berebut untuk menjadi ketua cawangan, kemudian ketua bahagian dan selepas itu bermacam-macam yang hendak dikaut oleh sang pemimpin itu. Inilah amalan buruk yang meresapi di dalam UMNO dan yang membuat orang ramai, terutama orang Melayu, membenci pemimpin bukan parti UMNO. Tetapi, yang menjadi mangsa adalah parti itu sendiri apabila menghadapi rakyat untuk mendapat sokongan.
Cuba lihat tindak-tanduk mereka yang bergelar pemimpin UMNO, apabila sudah terpilih menjadi ketua, tidak kira peringkat mana dalam hiraki bahagian, mereka berebut-rebut untuk mendapat lebih lagi, ada yang mahu kedudukan dalam Pihak Berkuasa Tempatan, ada yang ingin dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat atau institusi berkaitan kerajaan, ada yang mahukan jawatan pengerusi GLC, dilanik sebagai Senator jika tidak calon pilihan raya dan bermacam lagi "habuan" atau "ganjaran" kerana menjadi "ketua" dalam hiraki parti. Adakah perjuangan sedemikian boleh disifatkan sebagai berjuang untuk umat, parti dan negara? Atau ia lebih merupakan perjuangan untuk kepentingan sendiri? Mereka tidak berkorban untuk parti mahupun umat seperti bapa atau datuk nenek mereka yang sanggup begolok dan bergadai untuk parti, yang sanggup menolak jawatan kerana itu bukan perjuangan dan yang sanggup hidup dalam serba kekurangan demi mempertahankan hak dan kedudukan umat.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk mengembalikan perjuangan UMNO sebenar tetapi ia sudah terlambat. Nasi dahpun menjadi bubur. Pemimpin sudah selesa dengan kemewahan hidup, dengan kereta besar, rumah besar, pangkat besar dan laba besar. Masakan mereka mahu menolaknya dan memberi kepada orang lain!
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk mengembalikan perjuangan UMNO sebenar tetapi ia sudah terlambat. Nasi dahpun menjadi bubur. Pemimpin sudah selesa dengan kemewahan hidup, dengan kereta besar, rumah besar, pangkat besar dan laba besar. Masakan mereka mahu menolaknya dan memberi kepada orang lain!
UMNO kini berusia 63 tahun tetapi pengaruhnya semakin pudar. UMNO selaku sebuah parti tidak boleh dipersalahkan. Yang membuatkan UMNO semakin tidak disenangi orang adalah mereka yang bergelar pemimpin, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun majlis tertinggi.
Adakah UMNO akan terus mara untuk rakyat Malaysia sekiranya bairsan kepimpinannya mengamalkan rasuah politik, pilih kasih dan berlaku tidak adil kepada rakyat atas kepentingan politik sempit?
Berapa ramai pemimpin dan ahli UMNO yang benar-benar menghayati maksud gurindam Lagu UMNO yang berbunyi "Bersama Kita Bersama, Mendukung Hasrat Semua, Berjasa pada Bangsa, Agama dan Negara" sekiranya mereka mengamalkan politik wang dan mengkhianati perjuangan parti.
Kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu saya hulurkan ucapan selamat menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-63.
No comments:
Post a Comment