Friday 6 November 2009

"Tauliah" bertentangan dengan Islam? Biar betul!

Pada mulanya saya tidak ingin mengulas mengenai kes mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Muhamad Asri Zainul Abidin yang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengajar agama tanpa tauliah di negeri Selangor. Tetapi, apabila membaca kenyataan Dr Asri yang dibuat dalam temubual ekslusif dengan portal berita dalam talian, Malaysikini, bahawa penggunaan "tauliah" adalah bertentangan dengan ajaran Islam, maka saya rasa perlu untuk mengulas.

Menurut laporan Malaysiakini, Dr Asri menegaskan bahawa dia berkata demikian dengan alasan "hak untuk bercakap diberi oleh Tuhan (Allah)", oleh itu para penceramah agama atau pendakwah tidak boleh disekat dengan mengenakan syarat "tauliah" atau kebenaran untuk berbuat demikian.

Dr Asri juga mendakwa bahawa mereka yang cuba menyekat atau menghalang orang lain daripada menyuarakan pendapat secara bebas adalah mereka yang mempertahankan kepentingan diri, yang takut dan bimbang terhadap ancaman ke atas kedudukan atau kuasa mereka.

Oleh itu, Dr Asri menyifat sistem "tauliah" sebagai tidak "Islamik" dan sistem inilah yang cuba menyekat atau menghalang orang daripada menyuarakan pandangan mereka (mengenai agama).

Dr Asri juga berkata tiada sesiapapun berhak untuk merampas kebebasan yang diberikan oleh Allah kepada orang tertentu untuk menegakkan kebenaran.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipetik oleh satu lagi portal berita dalam talian, The Malaysian Insider, sebagai berkata bahawa syarat keperluan tauliah untuk menyampaikan ajaran Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan.

Beliau berkata syarat itu lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini.

Zulkifli juga berpendapat bahawa syarat untuk mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Berbalik kepada kenyataan Dr Asri, saya agak pelik kenapa selepas menghadapi masalah dengan JAIS baru dia menyatakan bahawa tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa pentadbir agama sebagai tidak "Islamik" dan menyekat kebebasan bersuara yang diberi oleh Allah?

Sebagai mantan Mufti Perlis, tentu Dr Asri sedar, atau dia sengaja buat-buat tidak tahu, bahawa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) juga mengenakan syarat yang sama dan Dr Asri sendiri pernah melarang tiga orang ulama Sunni dari Yaman daripada menghadiri majlis ilmu di Perlis.

Antara ulama yang dimaksudkan itu ialah pengetua Darul Mustafa, sebuah institusi pengajian Islam di Tarim, Yaman, iaitu Habib Umar Binhafiz. Bukankah tindakan Dr Asri itu menyekat "hak Habib Umar untuk bercakap" yang diberikan oleh Allah kepadanya?

Darul Mustafa adalah antara institusi pengajian tinggi Islam yang terkenal bukan sahaja di dunia Arab tetapi di seluruh dunia Islam. Dua orang mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Ahmad pernah menziarahi institusi itu dan bertukar-tukar fikiran dengan Habib Umar Binhafiz. Malangnya, apabila Habib Umar datang berdakwah di Malaysia, dia dilarang daripada memberi ceramah di Perlis, iaitu semasa Dr Asri menjadi Mufti.

Negeri Perlis tidak terkecuali daripada mengenakan syarat untuk sesiapa sahaja yang ingin mengadakan ceramah agama dan syarat itu, yang kini nampaknya ditentang oleh Dr Asri sendiri, telah dilaksanakan untuk menyekat pendakwah yang mungkin tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan di negeri Perlis.

Di bawah perkara PERMOHONAN KEBENARAN MENGADAKAN CERAMAH di Perlis, JAIPs mensyaratkan:-


1. Setiap ceramah yang akan diadakan perlu mendapat kebenaran JAIPs.

2. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran ceramah hendaklah dikemukakan dua (2) minggu sebelum tarikh ceramah hendak diadakan.

3. Setiap penceramah perlu mematuhi syarat-syarat berikut iaitu:

(a) Tidak mengkritik dasar kerajaan/Majlis Agama Islam Negeri Perlis

(b)
Tidak menyentuh mana-mana fahaman politik kepartian

(c) Tidak menyentuh soal-soal khilafah

(d) Tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Selain daripada itu, JAIPs juga mensyaratkan bahawa setiap individu yang hendak mengajar agama Islam perlu mendapatkan tauliah mengajar terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Perlis. Dr Asri kata sistem tauliah tidak Islamik.

Perlis juga menyatakan bahawa untuk mendapat tauliah mengajar, pemohon perlu memberi butir-butir peribadi; salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen berkaitan; dan tempat dan alamat kelas yang akan diadakan.

Kenapa sekarang Dr Asri berkata sistem tauliah itu tidak Islamik?

Menurut kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Negeri Perlis, sesiapa yang mengajar agama tanpa kebenaran (iaitu tanpa tauliah), boleh dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara enam (6) bulan atau kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Bilangan 29 Seksyen 33 Enakmen berkenaan.

Manakala di bawah ceraian Bilangan 30 Seksyen 34 Enakmen yang sama, sesiapa yang mengajar atau menjalankan sesuatu istiadat yang bertentangan dengan hukum syarak yang diamalkan di negeri Perlis, boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga (3) tahun atau kedua-duanya. (Catatan penulis: Antaranya doa qunut, membaca talqin dan majlis tahlil)

Jadi, peraturan yang ada di Selangor dan di Perlis adalah tidak banyak berbeza dan boleh dikatakan serupa kecuali dari segi hukuman.

Oleh itu, Dr Asri atau sesiapa sahaja yang ingin mengajar ataupun memberi ceramah berkaitan agama Islam di Selangor, mesti mematuhi syarat yang dikenakan oleh pihak yang berwajib. Begitu juga jika sesiapa yang ingin mengajar atau berceramah di Perlis, mesti mendapat kebenaran ataupun tauliah terlebih dahulu.

Syarat atau sistem tauliah tidak boleh dikatakan tidak Islamik atau sistem yang diwarisi daripada penjajah. Sistem sedemikian diamalkan atau dikuatkuasakan di semua negeri, bukan di Selangor sahaja.

Cuma, cara Dr Asri ditahan agak keterlaluan dan kedudukannya sebagai mantan Mufti dan tokoh agama seharusnya dihormati.

No comments:

Post a Comment