Sunday, 10 June 2012

Permainan politik atau kepentingan rakyat?

Saya menyambut baik sikap dan tindakan Sultan  Ibrahim dalam beberapa isu berkaitan rakyat negeri Johor. Baginda begitu peka dengan nasib dan kebajikan rakyat sejak bergelar Tengku Mahkota Johor seperti yang dilakukan melalui Kembara Mahkota. Sudah tentu rakyat Johor, terutama yang menetap di daerah dan perkampungan jauh dari JB sentiasa menunggu keberangkatan rombongan Baginda setiap tahun. Itulah kelebihan Sultan Ibrahim, yakni Baginda mesra dan mengambil berat akan kebajikan rakyat. 

Seperkara lagi yang dapat diamati ialah Baginda cukup selesa menerima kunjungan atau penghadapan rakyat tanpa menghendaki mereka 'menyembah' tetapi memadai dengan tunduk hormat. Ini dapat dilihat apabila Baginda hadir dan menyampaikan hadiah kepada para hakim, peserta dan pemenang Musabaqah Membaca Quran peringkat kebangsaan di Johor beberapa hari lepas. 

Perbuatan 'menyembah' sebenarnya telah ditiadakan berikutan krisis membabitkan Raja-Raja dengan pentadbiran yang diketuai UMNO, tetapi masih ada pihak yang melakukannya. 

Pindaan Perlembagaan ekoran daripada krisis itu membolehkan Raja-Raja didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Khas, hukumannya mengikut undang-undang biasa yang ada. Beberapa perubahan turut dilakukan selepas itu termasuk penggunaan perkataan 'patek'  digantikan dengan perkataan 'saya' dan perkataan 'maha' tidak diguna pakai.

Perkataan 'maha' seolah-olah menyamakan manusia dengan Yang Maha Pencipta, Maha Besar, Maha Berkuasa, Maha Adil, Maha Pengasih, Maha Penyayang dan seterusnya. Manusia tidak layak menggunakan perkataan 'maha' untuk diri sendiri termasuk "Maha Mulia" dan "Maha Guru' untuk guru silat.
 
Sultan Ibrahim dan Sultan Mohamad V Kelantan adalah antara Raja Melayu yang memahami hakikat tersebut dan Baginda berdua tidak mahu 'disembah' atau terlampau diagung-agungkan.

Seperti yang dititah oleh Sultan Ibrahim, "Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada."

Malangnya, ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan antara satu golongan rakyat dengan institusi raja atas kepentingan politik. Ada kalanya, mereka menyokong raja dan pada ketika lain, mereka juga yang menentang institusi raja. 

Krisis antara institusi raja dengan pentadbiran pada tahun 1983 memperlihatkan pendirian parti politik tertentu yang menggerakkan rakyat untuk berhimpun  dan berdemonstrasi secara besar-besaran di seluruh negara menyokong kerajaan. Pada waktu itu, parti berkenaan mengambil pendirian 'menentang' tetapi dalam keadaan berbeza, parti yang sama bertindak 'mempertahankan' institusi raja. Apa yang berlaku sebenarnya ialah parti politik menjadikan institusi raja sebagai 'alasan' atas kepentingan politik semata-mata, bukan untuk mempertahan atau melindungi institusi berkenaan. 

 
 
 

 

 

No comments:

Post a Comment