Monday 1 October 2012

Kaji selidik tak boleh dipercayai sangat

Kebelakangan ini beberapa pihak termasuk universiti mengadakan kaji selidik atau tinjauan rambang mengenai sokongan rakyat kepada parti-parti politik, khususnya parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan-kerajaan Negeri.

Kaji selidik itu di buat sama ada melalui panggilan telefon ataupun secara bersemuka. Ia biasanya tidak melibatkan ramai orang tetapi sekadar peratusan kecil. Oleh itu, kaji selidik sedemikian tidak boleh dijadikan kayu pengukur mengenai sokongan rakyat sama ada kepada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

Saya sendiri menerima beberapa 'pertanyaan' oleh mereka yang menjalankan kaji selidik itu, ada yang melalui telefon talian tetap ataupun selular dan ada juga melalui khidmat pesanan ringkas atau SMS.

Ada soalan yang dibuat secara terus terang, iaitu pada pilihan raya akan datang ini, nak sokong BN atau PR, dan ada yang dibuat secara halus iaitu sama ada saya puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri Selangor (PR).

Kepada kedua-dua soalan sedemikian, saya tidak memberi jawapan sebenarnya kerana parti mana yang nak disokong adalah hak dan satu rahsia, orang lain tidak boleh ambil tahu. Jadi, jawapan yang saya berikan tiada kaitan dengan soalan. 

Dalam hubungan ini, saya tabek jentera pilihan raya BN Selangor yang begitu cergas 'mengambil berat' mengenai masalah rakyat. Saya dan rakyat Selangor yang berdaftar sebagai pengundi menerima SMS memberitahu di mana tempat untuk mengundi. Selain itu, mereka mengirim SMS mengucapkan selamat hari lahir,  selamat berpuasa dan selamat menyambut aidil fitri. Jentera BN Selangor amat perihatin sejak kalah pada pilihan raya 2008 yang lalu.  

Terima kasih sajalah yang dapat diucapkan kepada mereka. 

No comments:

Post a Comment