Laporan awal oleh dua NGO yang dipilih selaku pemerhati pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang baru lalu menyatakan bahawa pilihan raya itu berjalan secara "separa" bersih tetapi tidak adil.
Walau bagaimanapun, mereka tidak mempersalahkan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi merujuk kepada laporan media pro-Barisan Nasional dan "kerajaan sementara" yang menyalahguna kemudahan awam.
Sebagai seorang pengamat tidak rasmi PRU-13, saya setuju dengan apa yang disebut oleh kedua-dua NGO itu, iaitu CPPS/Asli dan Ideas (Institute for Democracy and Economic Affairs).
Saya pernah menulis dalam blog ini mengenai betapa berat sebelahnya media arus perdana yang dimiliki atau dikawal oleh parti-parti komponen Barisan Nasional dan media rasmi milik kerajaan terutama televisyen dan agensi berita. Saya menyatakan bahawa media elektronik Singapura, Channel News Asia (CNA) jauh lebih adil dan profesional dalam laporan PRU-13.
Kegagalan BN untuk memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bahkan lebih buruk daripada pencapaian PRU-12 ketika dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi turut berpunca daripada sikap dan peranan media arus perdana yang terlampau berat sebelah sehingga orang naik jemu dan meluat dengan apa yang dihidangkan setiap hari. Mereka memilih media alternatif dan media luar negara.
BN juga melakukan kesilapan besar apabila menyangka dengan menabur bantuan dan sumbangan kepada rakyat melalui slogan 1Malaysia akan membuahkan hasil lumayan, iaitu sokongan rakyat. Kepimpinan BN lupa bahawa zaman menabur wang dan menghulur gula-gula kepada rakyat sudah berakhir. Rakyat terima apa yang diberi tetapi apabila ke pusat mengundi, mereka tahu nak pangkah siapa dan parti mana.
Selain itu, BN dan UMNO khususnya, begitu cepat dan lantang mempersalahkan pihak lain atas kekalahan atau kekecewaan tetapi enggan melihat kelemahan dan kesilapan sendiri. Perangai sedemikian mesti dihentikan dan mereka kena terima hakikat sebenar.
Sebagai contoh, UMNO mempersalahkan "tsunami Cina" dan hasutan DAP sedangkan kemenangan hampir semua calon Pakatan Rakyat bukan atas sokongan pengundi Cina semata-mata tetapi pengundi Melayu dan India. Pengundi Cina cuma 30 peratus sahaja dan Pakatan Rakyat memperolehi sokongan 51 peratus pengundi jika dilihat dari sudut undi popular.
Apabila memperkatakan undi popular, kita dapati bahawa BN kalah kepada PR. Tetapi, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, undi popular bukan penentu. Yang menentukan kemenangan ialah jumlah kerusi sama ada di Dewan Rakyat bagi peringkat Kerajaan Persekutuan dan Dewan-Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.
Pada PRU-13, BN memperolehi 5,237,699 undi popular manakalan PR 5,623,984.
Pecahan undi popular yang diperolehi oleh tiga buah parti dalam gabungan PR adalah: 2,254,328 untuk PKR; 1,736,267 untuk DAP dan 1,633,389 untuk PAS. Jika dilihat jumlah undi popular untuk PR, kita dapati bahawa PKR memperolehi undi terbanyak dan undi untuk DAP dan PAS dibezakan sebanyak 102,878 undi yang memihak kepada DAP. Ini menunjukkan bahawa tidak berlaku "tsunami Cina" tetapi "tsunami perbandaran" seperti yang dinyatakan oleh banyak pihak yang berkecuali.
BN dan UMNO, khususnya, mesti melihat ke dalam dan benar-benar cari kelemahan dan kesilapan yang dilakukan, termasuk memilih Zulkifli Nordin sebagai calon dan secara tidak langsung menyokong Ibrahim Ali selain beberapa faktor lain yang menyumbang kepada pencapaian buruk mereka berbanding dengan PRU-12.
Sementara itu, kedudukan Datuk Seri Mohamad Najib Abdul Razak selaku presiden UMNO dan pengerusi BN agak rapuh kerana beliau gagal memperbaiki pencapaian parti pada PRU-13 berbanding dengan PRU-12. Pencapaian kali ini adalah yang paling buruk selepas 1969.
No comments:
Post a Comment