Wednesday, 30 July 2014

GAZA BAKAL LUMPUH


Saya tidak tahu adakah saya mampu terus menulis di ruangan ini dan berkomunikasi dengan anda di Malaysia kerana bekalan elektrik di Gaza kini amat kritikal selepas satu-satunya stesen jana kuasa elektrik di sini dibom, kelmarin.

Akibatnya, kami juga berdepan masalah memperoleh talian telefon dan Internet.

Malah, bekalan air bersih juga terputus dan saya menjangka Gaza akan lumpuh sepenuhnya sebaik saja kehabisan stok petrol yang digunakan untuk menjana kuasa elektrik di hospital, kedai dan pusat pelarian.

Apapun, selagi masih dipanjangkan usia oleh Allah SWT saya akan terus membantu penduduk Palestin melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘From Gaza With Love’ (FGWL) yang saya asaskan dengan kerjasama beberapa NGO tempatan.

Bagi saya, sukarelawan NGO kini berperanan sebagai barisan kedua selepas Mujahidin kerana untuk memastikan rakyat Palestin terus hidup dengan memberi bantuan makanan dan barang keperluan seharian.

Sejak tercetusnya Perang 10 Ramadan ini beberapa minggu yang lalu, kebanyakan kanak-kanak serta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akan berlindung di Masjid Umari al-Khabir, Gaza Tengah.

Masjid Umari al-Khabir sememangnya di bawah pemantauan langsung FGWL.

Pada hari pertama serangan, seramai 250 orang berlindung di masjid itu dan kini sudah ada lebih 1,000 orang.

Foto


Bayangkan, bagaimana keadaan mereka berhimpit di dalam masjid sedangkan masjid itu tidaklah sebesar mana dan keadaan kini bertambah teruk apabila ketiadaan bekalan elektrik serta air.

Saya kagum dengan pihak gereja Kristian berhampiran dengan masjid berkenaan yang menawarkan perlindungan kepada orang Islam.


Inilah yang dikatakan menghormati setiap agama dan bukannya menindas seperti yang dilakukan rejim Zionis.

Masjid Umari al-Khabir sememangnya di bawah pemantauan langsung FGWL.

Setakat ini, masjid dan gereja di situ adalah tempat paling selamat untuk rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal untuk berlindung.

Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada anda semua yang memberi sumbangan kepada FGWL kerana melalui sumbangan anda itulah saya mampu membantu serta menyediakan kemudahan kepada orang awam yang berlindung di Masjid Umari.

Biarpun dalam serba kekurangan dan cetek pengalaman, Alhamdulillah saya berani mengatakan FGWL antara NGO yang memberikan khidmat terbaik kepada pelarian.

Selain menyediakan kemudahan asas seperti tilam dan bantal untuk tidur, kami juga mengedarkan pek raya kepada 600 kanak-kanak ahli kariah masjid serta mengagihkan mainan kepada anak-anak mangsa perang.

Sekali lagi saya ulangi, kami mampu berbuat demikian kerana sumbangan anda.

Justeru, teruslah menghulurkan sumbangan menerusi akaun CIMB 7600809829 (Salamah Ahmad Shah) untuk saya salurkan kepada rakyat Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Harian Metro



No comments:

Post a Comment