Menteri Dalam Negeri merangkap Naib Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai memiliki tiga jam tangan mewah berharga ratusan ribu ringgit. Dia dikatakan memiliki jam tangan Richard Mille Felipe Massa berharga lebih kurang RM366,000, jam tangan Richard Mille RM025 Diver bernilai RM248,000 dan Richard Mille RM011 Flyback bernilai RM480,000.
Dr Zahid tidak menafikan laporan itu sambil berkata jam tangan mewah itu diperolehinya semasa terlibat dalam dunia korporat. Zahid berkata ia diperolehi sebelum dia menyertai politik.
Saya cuba nak percaya apa yang Zahid kata, tetapi setelah meneliti kerjaya politiknya, saya terus sangsi akan kebenarannya.
Zahid ceburi politik secara aktif pada tahun 1986 apabila dia dilantik Setiausaha Politik Najib Tun Razak di Kementerian Belia (1986-1990), kemudian di Kementerian Pertahanan (1990-1995) dan pada tahun 1995 dia bertanding pada pilihan raya umum dan menang di kawasan Bagan Datoh, Perak. Pada tahun 1996 dia dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO. Pada tahun 2004 dia dilantik Timbalan Menteri Pelancongan dan empat tahun kemudian sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, setahun kemudian Menteri Pertahanan dan pada 15 mei 2013 Menteri Dalam Negeri.
Dalam dunia korporat atau perniagaan, Zahid dilantik menduduki Lembaga Pengarah Bank Simpanan Nasional dan PNB (1995-98), pada 1999 Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad.
Sebelum diangkat sebagai Menteri Kabinet, dia dilantik pengerusi beberapa buah syarikat, antaranya, Tekala Corporation Berhad, Seng Hup Berhad, Ramatex Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif Kretam Holding Berhad, Pengarah Eksekutif Scandinavian Motors Sdn Bhd., dan sebelum itu berkerja di OCBC (bank saudagar).
Menurut seorang pengulas laman FB, Khairi Abdullah, Zahid menceburi dunia korporat antara tahun 1995 hingga 1998 sedangkan jam Richard Mille yang pertama dijual pada tahun 2001 dan jam yang Zahid pakai dijual pada tahun 2011. Oleh itu, alasan Zahid bahawa dia memperolehi jam tangan mewah itu semasa terlibat dalam dunia korporat adalah tidak benar.
Untuk rekod, pada tahun 1994 Zahid, yang ketika itu Ahli Dewan Negara (Senator) dilantik sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) menggantikan seorang lagi ahli politik UMNO, Zubir Embong.
Cuma apa yang terbayang pada fikiran saya ialah semasa pergelangan tangan Zahid dicengkam jam yang begitu mewah, ada rakyat di Bagan Datoh yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen, hidup dalam kepapaan, kais pagi makan pagi dan ada kalanya terpaksa mengikat perut kelaparan. Bayangkan, ratusan ribu ringgit yang dibelanja untuk membeli jam berkenaan mampu memenuhi keperluan hidup ribuan insan yang hidup dalam kemiskinan. Apakah hebat sangat untuk memakai jam tangan berharga ratusan ribu ringgit sedangkan ada rakyat yang menderita kelaparan?
No comments:
Post a Comment