Ada pihak yang menyenaraikan beberapa buah sekolah di Pulau Pinang sebagai sekolah warisan (heritage schools). Antaranya Sekolah Menengah Penang Free, Sekolah Menengah Saint Xavier, Sekolah Menengah (Perempuan) St George dan Sekolah Tinggi Han Chiang. Tiada satupun sekolah Melayu yang disebut sebagai sekolah warisan. Ini tidak seharusnya berlaku.
Pihak yang menyenaraikan sekolah warisan itu mungkin terlupa atau tidak tahu bahawa di Pulau Pinang wujud sekolah Melayu tertua di Tanah Melayu (Malaya).
Mengikut catatan sejarah, Sekolah Melayu Sungai Gelugor atau kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor adalah sekolah Melayu tertua yang dibuka pada tahun 1826.
Ia dimula dan diuruskan oleh penduduk Kampung Gelugor sebagai kelas al-Quran, fardu ain dan pelajaran tulisan Jawi.
Pemilik Ladang Brown (Brown Estate) telah mendirikan sebuah bangsal untuk menempatkan anak pekerja ladang. Di dalam bangsal berbumbung dan berdindingkan atap itulah mereka menimba ilmu.
Ia kemudian dinaik taraf apabila seorang pengurus Sekolah Penang Free yang juga pentadbir ladang pala dan getah (dimana sekolah tersebut berada) bernama Rev. Beighton melantik tiga orang guru untuk mengajar di sekolah berkenaan. Seorang guru dari Penang Free bernama Munshi Shaik Mohamad Tambi bertindak sebagai guru besar.
Sekolah itu mempunyai empat darjah terdiri daripada murid-murid lelaki - darjah satu hingga empat. Selepas itu dan sekiranya layak, murid-murid itu boleh meneruskan pelajaran di Sekolah Penang Free.
Pada tahun 1838, Pentadbiran (Kerajaan) Negeri-Negeri Selat (Straits Settlement) mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut dan ianya kekal sebagai sekolah kerajaan hingga sekarang.
Badan Warisan Malaysia ataupun pihak-pihak tertentu di Pulau Pinang termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang seharusnya bertindak atau mengambil daya usaha untuk membolehkan Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor diwartakan sebagai satu warisan negara atau sekolah warisan.
No comments:
Post a Comment