Tuesday, 30 June 2015

Kenaikan berterusan harga minyak, Tahniah kepada penyokong BN.

Bermula 1 Julai 2015, harga minyak Ron 95 dinaikkan kepada 10 Sen manakala minyak Ron 97 dinaikkan sebanyak 20 Sen. Ini menjadikan harga terbaru minyak Ron 95 adalah RM 2.15 untuk 1 liter dan RM 2.55 bagi Ron 97 untuk 1 liter. Harga Minyak Diesel pula dikekalkan pada harga RM 2.05 untuk 1 liter. Harga minyak dunia 3 hari lepas adalah pada harga USD 59.63 untuk 1 Tong atau 1 Barrel.

Penetapan harga terbaru ini hampir menyamai harga Ron 95, Ron 97 dan Diesel pada September 2013. Pada ketika itu, minyak Ron 95 adalah ditetapkan RM 2.10 untuk 1 liter dan minyak Ron 97 pula adalah RM 2.75 untuk 1 liter manakala minyak Diesel ditetapkan RM 2.00 untuk 1 Liter. Harga minyak dunia pada September 2013 adalah pada harga USD 107.2 untuk 1 tong atau 1 Barrel.

Jika dibuat perbandingan harga dunia pada waktu ini dan September 2013, kita dapati harga kini lebih rendah 45 peratus berbanding harga dahulu. Malangnya, harga minyak yang ditetapkan tidak berubah. Jika dahulu Kerajaan BN memberikan alasan bahawa harga tidak dapat diturunkan kerana harga minyak dunia tinggi. Kini kata Kerajaan, harga minyak negara meningkat kerana diapungkan mengikut pasaran dunia. Macam-macam alasan yang dikenakan untuk mewajarkan kenaikan yang dibuat. Walaupun mereka berselindung di sebalik subsidi yang diberikan dahulu, namun penurunan harga sebanyak 45 peratus itu tidak boleh diterima dari sudut logik akal berbanding harga yang ditetapkan.

Kenaikan ini pula disaat umat Islam Malaysia sedang menjalani Ibadah Ramadhan dan bakal menyambut Aidil Fitri. Banyak keperluan dan pembelian yang perlu dilakukan. Pastinya, ia membuatkan harga dan kos sara diri akan bertambah. Ini akan terus membebankan rakyat ditambah pula dengan kesan GST yang telah tersedia menghantui rakyat.

Cikgu Mohd Ariff Abdullah

- Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS P. Chepa -

No comments:

Post a Comment