Thursday, 25 December 2008

Gendang Raya




Sebut saja gendang raya, ramai remaja dan anak muda tidak tahu mengenainya. Penggunaan gendang raya atau beduk kini boleh dikatakan pupus di telan zaman termasuk di kampung mahupun pinggir kota.

Gendang raya begitu sinonim dengan masjid atau surau di semua negeri dalam persekutuan Malaysia.

Di Pulau Pinang, gendang raya bukan sahaja digunakan sebagai alat pengumuman masuk waktu solat tetapi sebagai salah satu alat perhubungan atau pemakluman awam. Pukulan gendang raya mengikut berapa kali dipalu membawa pengertian atau makluman tertentu.

Sayang sekali, peranan gendang raya tidak lagi dihargai setelah masjid dilengkapi alat pembesar suara untuk melaungkan azan. Jika dahulu gendang raya akan dipalu sebelum azan dilaungkan (tanpa pembesar suara), kini azan dilaungkan menerusi pembesar suara tanpa paluan gendang raya.


Apabila berlaku kematian, umpamanya, gendang raya akan dipalu sebagai satu cara memaklumkan kepada orang ramai bahawa ada kematian di qariah itu. Di tempat asal saya, gendang raya akan dipalu mengikut kiraan genap sekiranya si mati adalah seorang lelaki dan paluan bilangan ganjil untuk wanita.


Pada bulan Ramadhan, gendang raya menjadi alat penting untuk mengumumkan telah masuk waktu berbuka puasa. Paluan gendang raya amat dinanti-nantikan terutama oleh kanak-kanak untuk berbuka puasa. Selepas solat maghrib, anak muda akan ke masjid untuk memalu gendang raya sementara menunggu waktu untuk solat isya' dan taraweh. Gendang raya akan dipalu kira-kira pukul 3 pagi untuk mengejutkan umat Islam daripada tidur dan bersahur.


Sebelum penggunaan alat pembesar suara secara meluas, gendang raya berperanan penting dalam kehidupan seharian umat Islam Malaysia. Sayangnya, zaman telah berubah dan amalan juga turut berubah.


Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Baru-baru ini, kenangan saya dikembalikan ke tahun-tahun lewat 50-an dan 60-an apabila ke Masjid Tuan Guru di Jalan Tanjong Tokong Lama, Pulau Pinang. Saya terpegun melihat sebuah gendang raya tergantung megah di dalam masjid itu. Mungkin gendang raya itu tidak dipalu untuk menandakan masuknya waktu solat, tetapi ia sekurang-kurangnya mengingatkan atau memaklumkan kepada generasi yang ada di sekitar perkampungan Melayu itu tentang peranan dan kegunaan gendang raya.



Gendang raya adalah warisan bangsa dan ia seharusnya dipelihara dan dihargai walaupun kita kini berada dalam era kesejagatan dan dunia siber tanpa sempadan. Malangnya, kebanyakan masjid yang baru dibina atau yang menggantikan masjid lama, telah tidak mengekalkan atau menyimpan gendang raya seperti yang dilakukan oleh Ahli Jawatankuasa Qariah Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong.




Gambar gendang raya yang masih dihargai dan dikenangi akan kegunaannya yang menjadi kebanggaan semua anak qariah Tanjong Tokong (Jalan Tanjong Tokong Lama)

Wednesday, 10 December 2008

Tragedi Bkt Antarabangsa - angkara siapa?

Apa tujuan mantan MB Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo menuding jari kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim apabila dia memperkatakan mengenai tragedi Bukit Antarabangsa.

Saya melihatnya sebagai satu sandiwara yang ada kaitan dengan pemilihan UMNO Mac tahun depan.


Khir Toyo tidak boleh sama sekali menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang berkuasa tidak sampai setahun sedangkan pembangunan Bukit Antarabangsa dimulakan 15 tahun lalu.

Siapa atau parti politik mana yang berkuasa ketika itu? Bukankah Barisan Nasional (BN). Oleh itu, kenapa persalahkan kerajaan yang ada sekarang?

Khir Toyo seharusnya menujukan rasa kurang senang atau lakonannya itu kepada mantan MB Selangor Tan Sri Muhammad bin Muhamad Taib dan bukan Khalid Ibrahim. Khir tidak boleh memisahkan tanggungjawab pembangunan Bukit Antarabangsa daripada tangan Mat Taib, calon timbalan presiden UMNO.

Pentadbiran Negeri Selangor yang meluluskan pembangunan di Bukit Antarabangsa mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Siapa yang memerintah atau mentadbir Selangor 15 tahun lalu? Dialah yang bertanggungjawab.

Apakah pengajaran yang dapat dipelajari daripada tragedi Bukit Antarabangsa?

1. Jangan usik bukit, iaitu jangan tebang pokok, jangan gondolkan bukit dan jangan bangunkan apa jenis rumah sekalipun di atas bukit.

2. Jangan beli rumah yang dibina di atas bukit.


Itu saja.