Sunday, 8 February 2009

Ahli Parlimen Bkt Gantang meninggal dunia


(Foto The Star)

Al-Fatihah.

Ahli Parlimen (Dewan Rakyat) kawasan Bukit Gantang, YB Haji Roslan Shaharum pulang ke Rahmatullah pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah, Perak.

Roslan, 50, adalah mantan Pengarah Sumber Manusia di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak dan pengerusi Yayasan Perak, sebuah yayasan pendidikan.

Allahyarham dikatakan terjatuh akibat serangan jantung semasa menunggang basikal dekat rumahnya di Changkat Lalang, Batu Gajah.

Pada pilihan raya lepas, Allahyarham menewaskan calon BN yang juga bendahari UMNO, Abdul Azim Mohamad Zabidi dan seorang calon bebas.

Pemergiannya pada ketika negeri Perak berdepan dengan kemelut "dua orang Menteri Besar" sudah tentu meninggal kesan besar kepada Pakatan Rakyat terutama PAS, parti yang diwakili oleh Allahyarham.

Nampaknya, satu pilihan raya kecil perlu diadakan. Pasti panas dan hebat serta menelan perbelanjaan besar.

Friday, 6 February 2009

PERAK - APA NAK DIKATA?

Foto berikut disebarkan ke seluruh dunia oleh agensi berita antarabangsa Reuters.
Satu lagi publisiti negatif untuk Malaysia. Salah siapa?








Apa yang telah, sedang dan akan berlaku di bumi Perak adalah akibat daripada kerakusan banyak pihak.

Masalah yang dihadapi belum selesai walaupun seorang menteri besar baharu dilantik secara rasmi untuk mengepalai pentadbiran Barisan Nasional yang entah dapat bertahan lama atau tidak.

Bantahan sebilangan rakyat yang dipertunjukkan di Ipoh dan kemudian di Kuala Kangsar, selepas solat Jumaat, adalah sesuatu yang juga "baharu" di negeri Perak.

Raja Muda Perak yang bijak lagi pintar itu sudah tentu tergamam melihat ratusan rakyat membantah tindakan Istana dan Baginda sudah tentu tertanya-tanya di mana letaknya kekhilafan, di mana yang tidak kena.

Baginda sendiri melihat kepulan gas pemedih mata yang ditembak oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melintasi kenderaan Baginda yang menuju ke Istana Iskandariah. Perkara seumpama ini belum pernah Baginda lalui tetapi bagi rakyat marhain, air mata yang mengalir dek kesan gas pemedih mata itu melambangkan sesuatu yang cukup besar kepada mereka.

Kemelut politik Perak belum selesai. Perjuangan Pakatan Rakyat kini beralih kepada penyelesaian undang-undang. Apa sahaja boleh berlaku.