Thursday, 9 April 2009

Najib jadi Naif - menurut laporan BERNAMA

Apa dah jadi? Itu yang menjadi pertanyaan apabila melihat satu kesilapan yang dari segi pemberitaan adalah serius.

Belum pernah terjadi dimana sebuah agensi berita yang ditubuhkan oleh kerajaan dan yang turut menjadi saluran maklumat rasmi melakukan kesilapan berkaitan nama Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak telah ditukar kepada Datuk Seri Naif Ton Rasa. Amat jauh sekali. Yang lebih dahsyat ialah makna "naif" itu sendiri, iaitu tidak matang!

Bagaimana kesilapan sedemikian rupa boleh berlaku? Salah siapa... pemberita, penyunting atau editor bertugas? Seseorang perlu bertangungjawab kerana ini bukan kesilapan kecil.

Pengerusi BERNAMA Anuar Zaini yang selama ini begitu lantang bersuara pun mesti bertanggung jawab. Jangan hanya mahukan kredit atas kejayaan BERNAMA tetapi lepas tangan atas kesilapan. Begitu juga dengan Ketua Pengarang S.H. Yong dan hiraki di bawahnya yang terbabit.


(Datuk Seri Najib Tun Razak ditukarkan kepada Datuk Seri Naif Ton Rasa)

(lihat dan baca blog di bawah ini)

http://sloone.wordpress.com/2009/04/10/bernama-gave-us-a-new-pm/


Jika salah taip satu perkataan boleh diterima, tetapi tiga perkataan yang membentuk nama PM. Tak tahulah apa yang hendak dikatakan.



Wednesday, 8 April 2009

Kabinet Najib pikul tugas berat dan mencabar

Barisan Jemaah Menteri terdiri daripada 28 anggota pimpinan Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak memikul tugas yang amat berat dan cukup mencabar kerana menghadapi masalah besar yang membabitkan kehidupan seharian rakyat.

Najib dan Kabinetnya berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang dikatakan antara yang paling teruk. Seluruh dunia terjejas dengan masalah itu termasuk gergasi ekonomi dunia Amerika Syarikat.

Negara-negara maju di Eropah menghadapi tekanan ekonomi yang mengakibatkan jumlah penganguran berlipat ganda dan syarikat-syarikat besar termasuk institusi kewangan menanggung kerugian luar biasa.

Malaysia tidak terlepas menerima bahangnya dan setakat ini beribu-ribu pekerja hilang mata pencarian, banyak syarikat yang terpaksa menggulung tikar dan harga makanan terus melambung.

Semua masalah itu diwarisi oleh Kabinet Najib. Rakyat menaruh harapan yang begitu tinggi kepada Kabinet untuk sekurang-kurangnya meringankan beban hidup yang mereka hadapi terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Nasib mereka yang berada di bawah paras kemiskinan tidak seharusnya diketepikan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dalam apa saja bentuk yang perlu sejajar dengan laungan "kerajaan prihatin" yang turut menjadi slogan pentadbiran sekarang.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi yang masih tidak menentu sekarang, semua pihak mesti bersikap rasional dan ketepikan perkara-perkara remeh-temeh, isu berbau perkauman dan yang menyentuh fahaman agama kerana semuanya itu tidak dapat membantu dalam menghadapi masalah besar yang kita hadapi.

Kita seharusnya memberi peluang kepada pentadbiran Najib untuk menjalankan tugas dan amanah yang begitu besar dan mencabar itu dengan tidak membangkitkan perkara atau sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan dan ketenteraman awam.

Permintaan ini bukanlah sukar untuk dipenuhi jika kita mementingkan negara daripada perkara-perkara lain.

Antara mereka yang dilantik adalah:

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri - 1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mengawasi portfolio Perpaduan dan Pengurusan Prestasi; 2. Datuk Seri Nazri Aziz - Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen; 3. Tan Sri Nor Mohamad Yakcop - Perancangan Ekonomi dan 4. Mej. Jen. Jamil Khir Baharom (mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera) mengawasi Hal Ehwal Agama Islam.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri Kewangan: Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak
Menteri Kewangan II: Ahmad Husni Hanadzlah (sebelum ini Timbalan Menteri)

Menteri Pengangkutan: Ong Tee Kiat

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi: Bernard Dompok

Menteri Dalam Negeri: Hishammudin Hussein

Menteri Penerangan, Kebudayaan, Kesenian dan Komunikasi: Dr Rais Yatim

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air: Peter Chin

Menteri Luar Bandar dan Wilayah: Shafie Apdal

Menteri Pengajian Tinggi: Khaled Nordin

Menteri Perdagangan Antarabangda & Industri: Mustapa Mohamad

Menteri Sains, Teknologi dan Inovatif: Maximus Ongkili

Menteri Sumber Asli: Douglas Unggah

Menteri Pelanongan: Ng Yen Yen

Menteri Pertanian dan Idustri Asas Tani: Noh Omar

Menteri Pertahanan: Ahmad Zahid Hamidi

Menteri Kerjaraya: Shaziman Mansor

Menteri Kesihatan: Liow Tiong Lai

Menteri Belia dan Sukan: Ahmad Shabery Cheek

Menteri Sumber Manusia: Dr S Subramaniam

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Ismail Sabri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan: Kong Cho Ha

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga: Shahrizat Abdul Jalil

Menteri Luar Negeri: Anifah Aman (MP dari Sabah)

Menteri Wilayah Persekutuan: Raja Non Chikj Raja Zainal Abidin (muka baru dari WP KL)


Shahrizat, Tsu Koon, Jamil Khir dan Raja Nong Chik terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara (Senator) untuk membolehkan mereka menganggotai Jemaah Menteri.