Monday, 13 April 2009

Shahidan Oh Shahidan

Agak melucukan apabila membaca kenyataan mantan MB Perlis Shahidan Kassim yang kecewa kerana tiada wakil dari negeri yang mempunyai tiga kawasan undi Parlimen itu dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahidan melahirkan rasa kecewanya kerana, menurut beliau, Perlis menang besar pada pilihan raya umum lepas tetapi kemenangan itu tidak dihargai termasuk melantik salah seorang Ahli Dewan Rakyat dari Perlis sebagai timbalan menteri, sekurang-kurangnya.

Dalam Kabinet Tun Mahathir, Perlis mendapat penghormatan besar kerana dua daripaa tiga ahli Dewan Rakyatnya dilantik menteri penuh, iaitu Azmi Khalid dan Radzi Sheikh Ahmad.

Azmi dan Radzi masih mewakili kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Padang Besar dan Kangar manakala Arau mempunyai wakil rakyat baru.

Siapakah wakil rakyat (MP) Arau? Tidak lain adik Shahidan sendiri, Ismail Kassim.

Kita boleh membaca kekesalan Shahidan kerana adiknya tidak dilantik sekurang-kurangnya sebagai timbalan menteri kerana tidak masuk akal sekiranya Azmi atau Radzi dilantik kerana mereka pernah menjadi menteri penuh. Saya kata demikian kerana Shahidan sendiri berkata sekurang-kurang seorang wakil Perlis dilantik sebagai timbalan menteri, tentulah Ismail Kassim, masakan Azmi atau Radzi yang pernah jadi menteri nak turun pangkat sebagai timbalan menteri.

Apabila kenyataan Shahidan diulas oleh TPM Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Jemaah Menteri mahupun timbalan menteri bukan berdasarkan negeri, maka Shahidan mempunyai jawapan. Dia mahu Muhyiddin menjadi pengerusi UMNO Perlis.

Shahidan tidak setuju dengan saranan KM Melaka Ali Rustam bahawa MB atau KM seharusnya menjadi pengerusi UMNO Negeri. Di Perlis, MB Isa Sabu bukan pengerusi tetapi Shahidan. Oleh itu, Shahidan termakan cili padi kerana suka atau tidak, kenyataan Ali yang disokong pula oleh Isa Sabu, merujuk kepada keududukannya.

Shahidan memberi alasan bahawa jika Muhyiddin mengetuai UMNO Perlis, maka segala masalah (termasuk perebutan jawatan) dalam UMNO di negeri paling kecil di Malaysia itu akan selesai.

Rakyat perlis, terutama ahli UMNO, cukup matang dengan permainan politik Shahidan. Begitu juga dengan Azmi, Radzi dan YM Syed Radzlan ibni Syed Putra Jamalullail, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan mantan MP Arau.


Sunday, 12 April 2009

Anuar Zaini perlu tanggungjawab kerugian BTV

Pengerusi BERNAMA (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) Anuar Zaini yang kononnya "orang kanan dan kepercayaan" mantan PM Tun Abdullah Ahmad, kini berada di persimpangan kerjayanya (jika ia boleh dikatakan kerjaya) .

Sejak dilantik pengerusi BERNAMA oleh Pak Lah (menggantikan seorang lagi insan yang juga orang kepercayaan Pak Lah), banyak perkara yang luar jangka berlaku atau terpaksa dilalui oleh BERNAMA. Ada yang memberi faedah dan ada yang tidak.

Salah satu yang berlaku dibawah kepimpinan Anuar Zaini ialah penubuhan sebuah entiti bukan milik BERNAMA iaitu Bernama-TV (BTV).

BTV sebenarnya menumpang nama besar BERNAMA.

Menurut laporan dua orang rakan penulis blog, Bernama-TV kini menghadapi masalah hutang dan tindakan saman di mahkamah. BTV juga dikatakan menanggung kerugian cukup besar.

Sila lihat blog Ahiruddin Atan (Rocky's Bru @ rockybru.com) dan blog Y.B. Wee Choo Keong
(weechookeong.wordpress.com)

BTV dikatakan berhutang atau tidak membayar hutang kepada BERNAMA berjumlah RM10 juta. Kita ingin tahu apa yang akan dilakukan oleh BERNAMa untuk mendapatkan balik hutang itu.


BTV HEBAT BUAT SIARAN LANGSUNG

Apa yang dapat saya katakan ialah "kehebatan luar biasa" BTV mengatasi stesen-stesen tv yang jauh lebih matang dan berjaya dari segi pendapatan. Apa yang tidak dilakukan oleh stesen-stesen tv lain, dilakukan oleh BTV dan saya kira ia turut memberi "sumbangan" kepada kerugian BTV.

Apa yang saya maksudkan ialah siaran-siaran langsung yang dibuat oleh BTV yang tidak dibuat oleh stesen tv lain. Kita tahu bahawa kos mengadakan siaran langsung bukanlah murah tetapi BTV "berani" melakukannya atas arahan orang tertentu yang tidak perlu disebut namanya.

Cuba bayangkan kehebatan BTV mengadakan siaran langsung majlis-majlis ulang tahun keputeraan/kelahiran ketua-ketua negeri seperti Sultan dan Yang Dipertua Negeri (majlis penyampaian bintang dan pingat) dan majlis perkahwinan waris takhta dan sebagainya.

Tidak tahu pula saya sama ada siaran langsung seperti itu bertujuan mengampu atau tidak tetapi saya tidak dapat memikirkan satu alasan yang munasabah dari segi menghasilkan pendapatan untuk BTV. Rugi sudah tentu.

Saya sarankan agar SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) melawat Wisma Bernama.

Dalam pada itu, Anuar Zaini kena dan mesti bertanggungjawab. Jika anda seorang yang bertanggungjawab.

Glamor pun ada harganya.