Thursday, 16 April 2009

Penantian di Penanti satu penyiksaan?

Pilihan raya adalah satu amalan atau proses demokrasi yang serius dan tidak seharusnya dijadikan ia sesuatu yang remeh dan tidak penting.

Pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat sama ada untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen). Ia bukan satu perbuatan untuk memilih ketua darjah atau ketua kumpulan. Ia adalah proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan membabitkan soal undang-undang.

Oleh itu, parti-parti politik dan wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya tidak seharusnya dengan sesuka hati meletak jawatan atas alasan yang lemah.

Peletakan jawatan dua orang mantan wakil rakyat Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Bukit Selambau adalah dua contoh dimana alasannya tidak begitu kukuh dan berkepentingan tertentu.

Kini ADUN Penanti dari PKR yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin pula meletak jawatan atas alasan yang lemah dan rapuh. Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas berhubung peletakan jawatan Fairus dan mengkaji secara teliti sebab-musebab dia berbuat demikian. Jika ada keraguan, pilihan raya kecil tidak seharusnya diadakan.

Kita terima hakikat bahawa seseorang wakil rakyat boleh berhenti daripada menjadi ahli sama ada DUN atau Parlimen dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Speaker yang kemudian akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR.

Yang perlu dihalusi oleh SPR ialah sama ada tanda tangan itu dibuat dengan rela hati atau dipaksa melalui tekanan atau yang dibuat tanpa meletakkan tarikh terlebih dahulu.

SPR tidak boleh membiarkan mana-mana wakil rakyat dengan sebegitu mudah meletak jawatan kerana proses pilihan raya bukan sesuatu yang seharusnya dipandang rendah dan boleh dipermain-mainkan. Ia adalah proses yang melibatkan rakyat, memerlukan perancangan dan logistik, mengambil kira aspek keselamatan dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Antara sebab seseorang wakil rakyat itu boleh hilang kelayakan - dia disahkan tidak sempurna akal atau dalam kata-kata yang lebih tepat, gila; - dia muflis (bangkrap); dan dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2 ribu.

ADUN Penanti yang terletak dalam kawasan Permatang Pauh, tidak gila, bukan seorang muflis dan belum atau tidak disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah, jadi kenapa dia perlu meletak jawatan?

Fairus, yang memiliki dua ijazah sarjana (masters) baru berusia 32 tahun dan boleh dikatakan mempunyai masa depan dalam arena politik, baru setahun jagung menjadi wakil rakyat dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Tiada sebab munasabah untuk dia meletak jawatan dalam pentadbiran negeri dan juga selaku wakil rakyat.

Mungkinkah apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang, khasnya, dan dalam PKR, amnya, adalah satu permainan wayang kulit yang digerakkan oleh seorang tok dalang? Siapakah tok dalang PKR?

Saya kira percaturan yang diatur di Penanti mungkin akan memeranjatkan ramai pihak terutama tok dalang itu sendiri. Tidak semua gerak dan geri yang didalangi itu pasti mengikut rentak dan lagu yang dimainkan. Ada kalanya ia tersimpang dan terjatuh.

Mungkin di Penanti nanti, orang yang menanti, orang yang menunggu dan orang yang menyambut tetamu akan berpindah ke majlis yang lain kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap majlis yang sengaja diaturkan untuk kepentingan pihak dan golongan tertentu.

Sesungguhnya, penantian di Penanti akan menjadi penantian yang menyiksakan.

Wednesday, 15 April 2009

Sandiwara dan perbalahan politik di sana sini

Malaysia tidak sunyi daripada sandiwara dan perbalahan politik sama ada antara parti yang memerintah dengan parti pembangkang atau sesama parti sendiri.

Rata-rata mereka yang terlibat atau barisan kepimpinan parti akan berkata "inilah demokrasi" atau akan menyifatkannya sebagai "masalah dalaman yang boleh diatasi".

ISU TKM PULAU PINANG

Isu pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 masih belum selesai. Pemimpin "sebenar" Parti KeADILan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim masih "bersandiwara" mengenai nama calon untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Saya tertanya-tanya apakah sukar sangat untuk memilih seorang daripada hanya dua orang yang ada kerana "kerusi TKM 1" dikhaskan untuk ADUN PKR yang mewakili orang Melayu. Atau adakah DS Anwar ada perancangan lain dalam muslihat politiknya di Penanti?

Lim Guan Eng sendiri dak naik bosan dengan sikap DS Anwar tetapi dia tidak berani untuk bertindak melaksanakan kuasa budibicarnya selaku Ketua Menteri. Orang mungkin tertanya-tanya siapa yang "berkuasa di Pulau Pinang? DS Anwar atau Guan Eng?

Jawatan TKM tidak diwujudkan melalui peruntukan Perlembagaan Negeri tetapi diadakan atas budibicara Ketua Menteri bermula pada zaman pemerintahan Tun Dr Lim Chong Eu apabila jawatan itu diberi kepada UMNO.

Guan Eng pula menggunakan budibicaranya apabila mewujudkan dua jawatan TKM semata-mata untuk memenuhi congak politik dan untuk memberi tempat kepada PKR dan "wakil" orang Melayu. Sebenarnya, jawatan itu tidaklah penting sangat kerana "kuasa" memerintah terletak di tangan Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) .

PERGOLAKAN UMNO TERENGGANU

Lakonan politik UMNO Terengganu mencapai kemuncaknya apabila 10 orang ADUN tidak menghadiri mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri atas alasan menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas atau SMS yang "didakwa" dihantar oleh seorang pegawai kanan dari Wisma Darul Iman. Polis sedang menyiasat.

Kumpulan 10 itu menghadiri majlis perasmian persidangan tetapi "memulaukan" mesyuarat atau persidangan pada hari kedua dan kembali semula ke Dewan pada hari ketiga dan terakhir setelah "diarah" oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Umum mengetahui sebab sebenar kenapa mereka berbuat demikian dan ia lebih jelas apabila mantan Menteri Besar DS Idris Jusoh berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Said "takut bayang-bayang". Kata-kata Idris Jusoh memberi pengertian yang halus dan mendalam mengenai pergolakan UMNO Terengganu.

Persoalannya ialah jika benar Ahmad Said takut "bayang-bayang", kita ingin tahu "bayang-bayang siapa" yang ditakutinya? Adakah "bayang-bayang" itu muncul ekoran daripada khabar di lapangan (yang mungkin benar dan mungkin tidak) bahawa ada ADUN yang akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Said.

Kita tahu bahawa pelantikan Ahmad Said adalah atas perkenan Sultan Terengganu yang menolak calon yang dikemukakan oleh mantan presiden UMNO/Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad. Calon berkenaan adalah Idris Jusoh.

Apa yang sedang berlaku di Terengganu yang bergelar "Darul Iman" itu belum selesai kerana sandiwara itu baru memasuki babak kedua. Banyak lagi babak yang bakal dipentaskan untuk tontonan khalayak di bumi bertuah bernama Terengganu dan yang akan disiarkan ke seluruh negara oleh media baru dan konvensional. Dalam zaman sarwajagat sekarang, tiada sesuatu yang dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana wujudnya media baru.

Sesuatu yang perlu ditegaskan adalah sekiranya kemelut politik dalaman UMNO Terengganu tidak dapat diselesaikan secara baik, dan sekiranya DUN terpaksa dibubarkan, maka UMNOlah yang akan rugi besar. Gelombang biru sukar untuk menahan kemaraan gelombang tsunami.

UMNO SELANGOR TOLAK MAT TAIB

Di Selangor, keretakan dalam UMNO mula kelihatan apabila pucuk pimpinan parti diminta melantik tokoh lain selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Kenapa tiba-tiba muncul suara sedemikian? Kenapa ada pemimpin UMNO Selangor yang secara terbuka menolak kepimpinan Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib? Menarik, cukup menarik jika diteliti sepak terajang dalam UMNO Selangor.

Saya bukan peminat atau penyokong Mat Taib tetapi apa yang berlaku ke atasnya memperlihatkan sesuatu yang sewajarnyalah menjadi iktibar kepada pemimpin politik terutama UMNO.

Inilah nasib yang menimpa orang yang hilang kuasa dan kedudukan. Mat Taib ditolak kerana dia tewas dalam pemilihan naib presiden UMNO dan dia digugurkan sebagai menteri apabila DS Najib mengumumkan barisan atau saf (yang bermaksud barisan) Kabinetnya.

Walau apapun alasan yang diberikan oleh mereka yang menolak kepimpinan Mat Taib, yang jelas ialah dia diterima semasa dia ada kuasa politik dan ada jawatan dalam pentadbiran. Kuasa dan jawatan adalah sesuatu yang penting dalam kepimpinan UMNO dan sekiranya seseorang itu hilang kedua-duanya, maka dia sukar diterima sebagai pemimpin. Itulah hakikatnya.

UMNO PERLIS TERUS BERGELUT

Di Perlis yang bergelar Indera Kayangan, permusuhan politik di kalangan pemimpin UMNO negeri masih menjalar antara Padang Besar hingga ke Arau dengan tidak melupakan Kangar.

Hanya terdapat tiga bahagian UMNO di Perlis tetapi sukar bagi mereka untuk bersatu-padu dalam satu pasukan. Kenapa?

Saya telahpun menulis mengenai masalah di Perlis dan memadai dengan menyatakan bahawa semuanya berpunca daripada isu pelantikan Menteri Besar dan sikap pemimpin yang sukar menerima "kekalahan" dan "kehilangan" kuasa. Ya, seperti di Selangor, soal "kuasa" turut menjadi faktor di Perlis.

Kuasa bukan segala-galanya dan orang politik seharusnyalah sedar akan hakikat itu. Jika kuasa yang menjadi rebutan, maka "kuasa" juga yang boleh menjatuhkan seseorang pemimpin. Kuasa yang dimaksudkan ialah "kuasa rakyat" semasa pilihan raya dan "kuasa ahli parti" semasa pemilihan parti.