Wednesday, 22 April 2009

Perubahan dalam GLC selepas ini?


Di kalangan orang korporat dan politik, tajuk yang kini menjadi topik perbualan ialah perubahan yang dikatakan bakal berlaku dalam pentadbiran/pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Beberapa nama disebut-sebut akan dilantik untuk menerajui GLC tertentu dan syarikat-syarikat besar milik kerajaan seperti Petronas.

Orang politik pula sedang melobi untuk dilantik sama ada pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC ataupun syarikat-syarikat/perbadanan-perbadanan milik kerajaan seperti MAS, Sime Darby, Telekom Malaysia, Tabung Haji dan MARA.

Setiap kali berlaku perubahan puncuk pimpinan maka akan berlakulah perubahan dalam kepimpinan dan lembaga pengarah perbadanan-perbadanan, badan-badan berkanun dan syarikat kerajaan seperti Felda, Felcra, Risda dan Finas.

Lazimnya golongan profesional seperti akauntan, ahli undang-undang atau ahli ekonomi dipertimbangkan untuk pengerusi GLC seperti MAS dan Sime Darby manakala tokoh politik untuk yang lain terutama yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan seperti MARA, Risda ataupun Felda.

Manakala GLIC atau syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Maybank, CIMB, PNB, Khazanah, KWSP dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera tidak akan membabitkan banyak perubahan.

Apa yang diharapkan ialah sebarang perubahan yang bakal dilakukan hendaklah dibuat berlandaskan perkiraan profesional dan kelayakan sewajarnya. Sekiranya pertimbangan politik turut dijadikan ukuran seperti yang menjadi satu kelaziman di negara ini, ia tidak seharusnya dibuat berasaskan habuan atau ganjaran atas sokongan politik.


Monday, 20 April 2009

UMNO Terengganu bak retak menunggu belah


Keterangan gambar yang diperolehi daripada sumber Internet bertajuk BENCI TAPI RINDU memperlihatkan mantan MB Terengganu Idris Jusoh berpelukan dengan penggantinya Ahmad
Said.

Apa yang sedang berlaku sekarang di bumi Darul Iman sebaliknya menunjukkan bahawa lakonan hidup orang politik cukup hebat dan penuh dengan perasaan, mungkin itulah benci tapi rindu?.




ADUN UMNO HILANG KEPERCAYAAN

Kemelut dalaman yang sedang menghantui UMNO Terengganu sudah sampai ke kemuncak dan agak sukar untuk diselamatkan, retak sedang menunggu belah. Itulah keadaannya.

Menteri Besar pilihan Istana Terengganu Darul Iman, Datuk Ahmad Said semakin hilang kepercayaan di kalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari partinya sendiri.

Pucuk pimpinan UMNO semasa diketuai oleh Tun Abdullah Ahmad mencadangkan nama mantan MB Datuk Seri Idris Jusoh tetapi tidak diperkenan oleh pihak Istana.

Khabar terkini menyatakan bahawa 18 daripada 24 ADUN UMNO tidak menyokong kepimpinan Ahmad Said, iaitu majoriti ADUN UMNO. Mereka dikatakan menyokong Idris Jusoh.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi dan ADUN selebihnya adalah dari PAS.

Nampaknya, Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mewarisi satu lagi masalah yang ditinggalkan oleh mantan bosnya.