Friday, 15 May 2009

Datuk Seri K.... bakal bergelar Tan Sri?

Saya diberitahu bahawa seorang kenalan lama semasa di Kelawai, Pulau Pinang akan bergelar Tan Sri dalam tempoh terdekat ini. Saya juga ditanya sama ada mendengar desas-desus mengenai perkara itu.

Jawaban saya ringkas. Semuanya berkemungkinan. Kenapa tidak?

Bukankah mudah dan sudah tidak sukar lagi bagi orang untuk mendapat gelaran tertentu seperti datuk mahupun datuk seri? Bukankah gelaran seperti itu sudah tidak dihairankan orang?

Oleh itu, jika sahabat saya yang kini bergelar Datuk Seri mendapat penghormatan untuk bergelar Tan Sri, apa salahnya?

Seorang yang tidak sampai dua tahun menjadi isteri perdana menteri yang kemudian meletak jawatan pun menerima anugerah yang membawa gelaran kedua tertinggi negara. Tiada orang yang buat bising, secara terbuka, tetapi secara diam-diam ramai.

Jadi, tiada masalah bagi kawan saya itu untuk diberi anugerah yang membawa gelaran Tan Sri. Itupun jika benar dia akan menerima anugerah darjah kebesaran itu.

Saya mendapat tahu bahawa nama kawan saya itu dikatakan dikemuka dan disokong oleh mantan perdana menteri sebelum dia melepaskan jawatannya itu.

Apa salahnya jika Datuk Seri ... bergelar Tan Sri ... selepas ini? Itu haknya dan bak kata orang, itu rezekinya.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Tuesday, 12 May 2009

Zambry Oh Zambry...

Datuk Dr Zambry Abdul Kader sudah naik tocang apabila dia nak samakan kedudukan dan apa yang sedang berlaku di Perak dengan apa yang dialami oleh pejuang kemanusiaan Afrika Selatan dan Negarawan Dunia Nelson Mandela dan wira rakyat dan pejuang hak kesamaan manusia Mahatma Ghandi.

Agak keterlaluan bagi Zambry untuk menyamakan dirinya dengan Mandela mahupun Ghandi apatah lagi untuk memetik ucapan pejuang hak asasi manusia Amerika Syarikat Dr Martin Luther King sebagai sesuatu yang nak membenarkan apa yang sedang dialaminya.

Kedudukan Zambry sendiri masih menjadi tanda tanya walaupun dia mendapat perintah Mahkamah Rayuan yang diadili oleh seorang hakim. Perintah Mahkamah Rayuan itu masih samar-samar.

Hakim Ramly Ali yang bersidang seorang diri di Mahkamah Rayuan Putrajaya hanya membuat perintah menangguh penghakiman Mahkamah Tinggi KL bahawa MB Perak yang sah dari segi undang-undang adalah Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, dan bukan membuat perintah bahawa MB yang sah adalah Zambry.

Perintah yang dibuat adalah tangguh, bukan batal atau ketepikan perintah Mahkamah Tinggi. Jika tangguh bermakna akan disambung semula satu hari kelak. Jika Mahkamah Rayuan perintah untuk membatalkan atau mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, maka ia dengan sendirinya menafikan kesahihan Ir Nizar sebagai MB. Oleh kerana perintah sedemikian tidak dibuat, maka Ir Nizar masih MB yang sah, bukan Zambry.

Keliru? Ya, ramai yang keliru termasuk mereka yang bergelar peguam. Peguam yang pro-UMNO membuat tafsiran pro-UMNO dan peguam yang pro-PR membuat tafsiran pro-PR.

Apa kesudahannya?

PM Najib Tun Razak nampaknya tidak mahu mengembalikan mandat memilih pentadbiran baru kepada rakyat melalui pilihan raya sedangkan itulah cara paling baik untuk cuba menyelesaikan kemelut politik Perak.

Kenapa Najib tidak mahu berbuat demikian sedangkan tokoh veteran UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah, timbalan presiden MCA Dr Chua Soi Lek dan SU Agung Gerakan dan SUHAKAM sependapat bahawa penyelesaian terbaik adalah di adakan pilihan raya sekali lagi bagi DUN Perak.

Jawapannya mudah. Maklumat yang sampai kepada Najib melalui sumber-sumber risikan rasmi dan tidak rasmi menunjukkan kemenangan tidak akan memihak kepada BN sekiranya diadakan pilihan raya. Itulah sebabnya.

Oleh kerana BN akan hilang kuasa di Perak maka BN tidak mahu pilihan raya diadakan. BN lebih suka kuasanya yang seakan-akan telur di hujung tanduk itu dikekalkan melalui cara dan kaedah lain.

Jika apa yang diperkatakan ini tidak betul dan BN memang mendapat sokongan rakyat seperti yang didakwa oleh para pemimpin BN, kenapa takut untuk berdepan dengan rakyat sekali lagi? Bukankah berani itu kerana benar dan takut itu kerana salah?

Ayuh! Mohon perkenan Sultan supaya DUN Perak dibubarkan. Rakyat dah naik meluat dengan apa yang sedang berlaku.

Jangan biarkan kemeluatan rakyat berpanjangan kerana padahnya akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-13.