Tuesday, 15 September 2009

Hari Malaysia



Hari ini adalah ulang tahun pembentukan Malaysia 46 tahu lalu. Tarikh ini cukup besar ertinya kepada rakyat Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak tetapi agak sepi dan dibiarkan ianya berlalu begitu sahaja di Semenanjung Malaysia.

Hari Malaysia sepatutnya dirayakan di seluruh negara sebagai Hari Kebangsaan. Bukan 31 Ogos, iaitu tarikh kemerdekaan Malaya atau Tanah Melayu. Dari sudut politik kenegaraan, Malaya sebagai sebuah negara tidak lagi wujud kerana ia telah diperbesarkan menjadi sebuah negara baru bernama Malaysia.

Jika PM Datuk Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak benar-benar ingin menjayakan konsep 1 Malaysia, dia sepatutnya menjadikan tarikh 16 September sebagai Hari Kebangsaan dan satu tarikh yang benar-benar melambangkan 1 Malaysia.

Dengan berbuat demikian, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan lebih merasai kesatuan dan penyatuan dalam sebuah negara bernama Malaysia. Mereka tidak boleh dipaksa menerima tarikh 31 Ogos sebagai ulang tahun kemerdekaan kerana pada tarikh itu pada tahun 1957 mahupun 1963, Sabah dan Sarawak belum merdeka.

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA.

Apabila kita berpecah dan tidak sepakat

Satu demi satu perbuatan, kejadian dan tingkahlaku pihak dan golongan tertentu terhadap maruah dan kedudukan orang Melayu dipaparkan dan dipancarkan ke seluruh dunia.

Saya tidak mahu mengulangi semua perbuatan yang bersifat biadab itu tetapi cukuplah dengan menyebut suara si baghal yang menghadiri mesyuarat agung Kongres India Malaysia (MIC) yang mahu mengalung selipar pada gambar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lazimnya, masyarakat India akan mengalung 'bunga malai' kepada individu yang dihormati terutama pemimpin dan mereka yang diiktiraf sebagai ketua. Kalungan itu menandakan penghormatan tinggi yang diberikan kepada tokoh berkenaan. Tun Dr Mahathir pernah dikalung bukan satu, dua atau tiga bunga malai oleh masyarkat India tetapi lebih daripada itu pada satu majlis. Sesungguhnya masyarakat India menghormati dan menyanjungi Tun Mahathir.

Mungkin ada yang berkata itu semasa Tun Mahathir berkuasa, benar tetapi amalan itu diteruskan selepas dia bersara kerana Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara dan amat dihormati.

Persoalannya, kenapa si baghal dalam MIC itu berani mengeluarkan kata-kata yang turut memeranjatkan sebilangan besar perwakilan MIC termasuk presidennya Datuk Seri S Samy Vellu?

Dia berani berbuat demikian kerana dia belajar daripada 'keberanian' puak-puak tertentu mencabar kerajaan dan kepimpinan negara. Dia melihat betapa kepimpinan Melayu mula dipertikai dan dipersoalkan secara terbuka walaupun kita sedar sebelum ini ia sememangnya berlaku secara berselindung.

Kenapa golongan tersebut berani berbuat demikian? Kenapa si baghal itu berani menghina Tun Mahathir dalam satu perhimpunan rasmi masyarakat India dan secara terbuka?

Jawapannya - dia dan mereka sedar bahawa orang Melayu tidak lagi bersatu, orang Melayu sudah berpecah-belah dan kepimpinan Melayu dilihat sebagai lemah. Itulah puncanya dan ianya bermula selepas era pemerintahan Tun Mahathir.

Salah siapa?