Sunday, 21 February 2010

Pengerusi Bernama ke-10 belum dilantik ganti Annuar Zaini

Tempoh atau kontrak perkhidmatan Mohamad Annuar Zaini selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA telah berakhir pada 31 Januari 2010. Beliau dilantik ke jawatan bukan eksekutif itu pada 1 Februari 2004 menggantikan Kalimullah Masheerul Hassan.

Annuar Zaini adalah Pengerusi Bernama ke sembilan dan berkhidmat selama tiga penggal.

Antara tokoh yang pernah mengetuai Lembaga Pengelola Bernama adalah Abdul Aziz Yeop, Mazlan Noordin, Prof Abu Bakar dan Abdul Kadir Jasin. Mereka menjalankan tugas tanpa mencampuri urusan pentadbiran terutama di Jabatan Pengarang.

Pengurusan Bernama mengadakan satu majlis perpisahan 'meraikan' Annuar Zaini pada 11 Februari di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak.

Siapa pula yang bakal dilantik Pengerusi Bernama yang sudah tentu mesti mendapat restu Perdana Menteri. Beberapa nama menjadi sebutan termasuk seorang mantan Ketua Pengarang Bernama yang pernah sepenggal menjadi Ahli Parlimen dan kemudian berkhidmat dengan unit perhubungan media Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Walau siapapun yang dilantik, dia semestinya tahu dan sedar akan tugas dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Akta Bernama. Selaku Pengerusi bukan eksekutif, dia perlu tahu bahawa dia tidak boleh bertindak selaku CEO atau ketua pegawai eksekutif, dia juga tidak seharusnya campur tangan dalam urusan pentadbiran terutama di jabatan pengarang.

Lembaga Pengelola lazimnya bermesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan untuk memastikan Bernama berperanan berpandukan dasar dan garis panduan yang ditetapkan dan untuk membuat perlantikan jawatan-jawatan kanan, jika perlu.

Lembaga Pengelola Bernama yang berpandukan Akta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, terdiri daripada enam orang ahli yang dilantik mewakili Kerajaan dan enam orang lagi dilantik mewakili media yang juga pelanggan Bernama, melambangkan perkongsian antara kerajaan dengan pengamal media swasta.

Lembaga Pengelola, terutama Pengerusi, tidak seharusnya campur tangan dalam pentadbiran hari ke hari Bernama atau membuat apa-apa pelaburan tanpa kelulusan Lembaga dan dipersetujui oleh Kerajaan.

Tetapi, dalam tempoh perkhidmatannya, Annuar dikatakan telah bertindak menjangkaui bidang kuasanya. Isu perjanjian dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd yang menimbulkan masalah kepada Bernama adalah satu contoh.

Seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong pada bulan Ogos 2009, tiada peruntukan dalam Akta Bernama yang membolehkan sebuah syarikat swasta menggunakan nama Bernama mahupun logonya.

Bernama juga tidak dibenar atau dibolehkan untuk memberi kredit kepada sebuah syarikat swasta atau memberi hak kepada syarikat berkenaan menggunakan premis, peralatan, perkakasan atau sumber-sumber Bernama untuk kepentingan sendiri.

YB Wee juga menyatakan bahawa Annuar memakai dua kopiah, bak kata pepatah Inggeris, iaitu selaku Pengerusi Bernama dan Pengarah Bernama TV Synergy.

Kita tidak tahu apa dah jadi dengan hutang berjumlah RM15 juta yang dilaporkan ditanggung oleh Bernama TV Synergy dan sama ada ia sudah dilunas kepada Bernama. RM15 juga bukan satu jumlah yang kecil, lebih-lebih lagi kepada Bernama.

Bernama TV Synergy adalah sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh seorang ketua bahagian UMNO di Kedah bernama Mohamad Suhaimi Abdullah dan dengan itu, ia memberi gambaran bahawa Bernama dikaitkan dengan UMNO, sesuatu yang tidak betul walaupun ada pihak yang akan berkata demikian.

Pada 1 Ogos 2009, Annuar telah memberi penjelasan ringkas kenapa Bernama memutuskan hubungannya dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd. Ia dikaitkan dengan kedudukan kewangan Bernama TV Synergy. Tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Walaupun khidmat Annuar selaku Pengerusi Bernama tidak disambung, apa yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu dari 1 Januari 2004 hingga 31 Januari 2010 termasuk isu Bernama TV Synergy Sdn Bhd tidak boleh dibiar begitu sahaja. Demi menegak kesaksamaan dan memperlihatkan ketelusan pentadbiran, elok juga jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia beri perhatian kepada apa yang telah berlaku itu.

Kepada kerajaan, kita berharap tokoh atau orang politik tidak dilantik ke jawatan itu sama seperti yang dibuat untuk badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lembaga-lembaga pelabuhan dan agensi-agensi pembangunan wilayah.


Monday, 15 February 2010

Maulidur Rasul bukan terletak pada perarakan atau majlis tertentu

Umat Islam akan sekali lagi menyambut Maulidur Rasul atau hari kelahiran junjungan mulia baginda Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun tarikh 12 Rabiulawal muncul, umat Islam di Malaysia, khususnya, akan menyambutnya dengan majlis-majlis himpunan ramai dan majlis ilmu.

Sejak dahulu hingga sekarang, polimik mengenai sunnah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan dibangkitkan. Tetapi, itu bukan persoalannya di Malaysia kecuali di sebuah negeri di sebelah utara Tanah Melayu, dan mantan seorang mufti muda yang menyatakan ia adalah bidaah.

Walau apapun, persoalan yang tiba-tiba tercetus ialah mengenai laporan bahawa pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui oleh Parti Tindakan Rakyat (DAP) membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjadi sasaran kritikan dan kutukan, bagaimanapun, menafikannya. Siapa yang benar dan betul hanya Tuhan yang tahu.

Seperti biasa, media tidak ketinggalan melaporkan isu "pembatalan" acara perarakan itu dengan penuh bersemangat. Ianya sedemikian rupa mungkin kerana kerajaan atau pentadbiran negeri yang terlibat bukan daripada keluarga Barisan Nasional (BN).

Kita tidak pasti sama ada laporan sedemikian hebat akan dibuat sekiranya pentadbiran negeri yang membatalkan acara perarakan adalah pentadbiran BN dan bukan Pakatan Rakyat. Saya yakin ia tidak akan sehebat ini atau mungkin tidak menjadi satu isu yang panas.

Bermacam tuduhan dan kutukan dibuat termasuk kritikan atau teguran oleh orang politik - dari mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan "panglima-panglima" platun politik termasuk dari kalangan pemimpin kecilan yang datang dari sayap-sayap parti politik. Semuanya dibuat berasaskan laporan media.

Isu perarakan sempena Maulidur Rasul dijadikan sesuatu yang seolah-olah "wajib" dan majlis sambutan tidak akan sempurna tanpa perarakan. Itulah gambaran yang diberikan jika dilihat dari sudut bantahan dan kritikan yang dilemparkan.

Persoalan yang penting dan lebih utama yang harus diteliti adalah sama ada majlis-majlis yang dianjurkan itu benar-benar memperlihatkan kecintaan umat Islam akan baginda Rasul S.A.W. dan bukan sama ada perarakan diadakan atau tidak.

Sambutan Maulidur Rasul adalah lebih daripada hanya berarak dari satu tempat ke satu tempat lain, mengadakan ceramah, jamuan dan sebagainya. Selepas sesuatu majlis itu, hadirin akan pulang dan selesailah tugas dan tanggungjawab penganjur.

Kita akui ceramah adalah majlis ilmu yang perlu, majlis berzanji, marhaban dan qasidah yang lazimnya diadakan sempena Maulidur Rasul juga bagus kerana ia menceritakan dan mengingatkan kita akan sirah Rasulullah. Malangnya, kebanyakan hadirin tidak faham kerana ia adalah dalam bahasa Arab, kecuali ada terjemahan.

Dengan adanya terjemahan maka hadirin akan faham dan mengetahui akan pentingnya mereka untuk mempelajari, memahami dan akhirnya mengamalkan sunnah Rasulullah. Bukankah ini jauh lebih baik daripada hanya berarak dalam kumpulan-kumpulan atau pasukan yang mewakili sama ada jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan sukarela mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan?

Yang penting adalah sama ada majlis-majlis yang diadakan itu, terutama perarakan, dapat menyemai perasaan cinta akan Rasulullah, iaitu sesuatu yang semestinya ada dalam sanubari setiap umat Islam. Cinta akan Rasulullah bukan hanya pada tanggal 12 Rabiulawal tetapi mesti sepanjang hayat.

Tanyalah diri sendiri sama ada kita benar-benar cinta akan Rasulullah atau tidak?

Adakah kita mentauhidkan Allah, taat kepada perintah Rasulullah, mempertahankan diri Rasulullah dari dihina seperti yang dilakukan oleh media Barat kebelakangan ini, dan mentaati sunnah baginda?

Sambutan Maulidur Rasul seharusnya dilihat sebagai satu majlis yang menginsafkan kita supaya benar-benar cinta akan Rasulullah dalam erti kata yang sebenar.

Dengan mengadakan acara perarakan dan perhimpunan yang tidak lebih daripada satu majlis rasmi yang dihadiri oleh pembesar negeri dan negara, adalah tidak mencukupi.

Persoalannya yang harus dijadikan perdebatan adalah adakah syarahan atau ceramah yang diadakan sempena majlis-majlis sambutan Maulidur Rasul berjaya menyemaikan kecintaan ke atas Rasulullah dan bagaimana umat Islam mengamalkan sunnahnya dengan betul.

Pihak yang diamanahkan berkaitan urusan dan pentadbiran agama Islam seharusnya mengadakan majlis-majlis susulan seperti kuliah tentang hadis dan sirah Rasulullah untuk menambahkan ilmu di kalangan umat Islam. Ia jauh lebih penting daripada bertikam lidah sama ada perarakan patut diadakan atau tidak sebagai satu acara sambutan Maulidur Rasul.