Thursday, 25 February 2010

TV3 dedah kehidupan daif warga kota

Malam tadi TV3 menyiarkan satu cerita menyayat hati berkaitan kehidupan rakyat marhain di Kuala Lumpur yang sekali gus menimbulkan banyak tanda tanya tentang tanggungjawab pihak yang diamanahkan untuk menanganinya.

Melalui rancangan 'Aduan Rakyat' stesen penyiaran swasta itu bukan sahaja membuka mata warga kota yang menonton rancangan itu tetapi membuatkan pihak yang sepatutnya prihatin dan mengambil tahu serta mengambil berat mengenai masalah kehidupan sedemikian rupa, turun padang.

Kita sedar akan kewujudan golongan miskin dan papa dan segelintir yang ditakrifkan sebagai 'kutu rayau' atau 'vagrant' iaitu istilah yang merujuk kepada mereka yang tiada rumah atau tempat tinggal, tetapi tidak pula menyangka bahawa ramai daripada mereka menyambung hidup dengan mencari makanan dari tong-tong sampah.

Itulah kenyataan atau realiti kehidupan yang dipaparkan oleh TV3 malam tadi, sesuatu yang cukup menyedih dan mengguris perasaan siapa sahaja yang menonton rancangan 'Aduan Rakyat'.

Kita yang menonton rancangan itu malam tadi sudah pasti insaf dan semestinya bersyukur atas nikmat hidup yang diberi oleh Allah kepada kita kerana kita tidak perlu membuka bungkusan-bungkusan plastik hitam di belakang restoran makanan segera untuk mendapatkan sisa-sisa ayam goreng, kentang goreng atupun burger untuk mengisi perut. Sisa buangan orang lain yang tidak menghabiskan makanan mereka rupa-rupanya menjadi rezeki kepada orang lain yang kelaparan.

Ada di antara kita yang mungkin menyatakan bahawa golongan malang itu malas atau tidak mahu bekerja tetapi apa yang dipaparkan oleh TV3 adalah sebaliknya. Mereka yang diwawancara oleh petugas rancangan 'Aduan Rakyat' berkata mereka tiada pilihan, minta kerja tak dapat kerana, antara lain, latar belakang sebagai bekas bantuan, atau pernah menghuni pusat serenti dan tiada kelayakan.

Semua mereka menjadikan kaki lima, bawah jambatan atau jejambat, stesen LRT atau anjung masjid sebagai tempat tidur. Ada pula satu keluarga yang si bapa berpendapatan kecil dan tidak mampu menyewa rumah membawa keluarganya tidur sama ada di kawasan Dataran Merdeka atau kaki lima.

Saya cukup hormat dan menyanjung tinggi usaha TV3 yang jelas jauh lebih berjaya dan berkesan daripada sesetengah wakil rakyat mahupun jabatan dan agensi kerajaan dalam menangani dan membantu menyelesaikan masalah rakyat. SYABAS.

Apabila TV3 mendedahkan masalah rakyat, kepincangan mahupun penyelewengan termasuk perbuatan mencuri kayu balak atau pasir, barulah pihak-pihak yang diamanahkan turun padang dan cuba selesai atau tanganinya. Boleh dikatakan hampir semua perkara yang didedahkan oleh TV3 dapt diselesaikan.

Sekiranya TV3 tidak berbuat demikian, maka masalah, penyelewengan dan perbuatan jenayah seperti mencuri kayu balak dan pasir akan terus berleluasa. Bayangkan kayu balak yang begitu besar dengan menggunakan lori balak untuk mengangkutnya tidak 'dilihat' oleh pihak berkenaan sehinggalah disiarkan oleh TV3!

Berbalik kepada wujudnya rakyat di ibu kota dan saya percaya juga wujud di kota-kota besar dan sederhana besar di seluruh negara, yang terpaksa mencari makanan di tong-tong sampah, kita ingin tahu apa yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, BAITULMAL dan Pusat Urus Zakat...?

Boleh dikatakan hampir semua warga malang yang didekati TV3 adalah orang Melayu, beragama Islam yang sewajar dan selayak-layaknya mendapat bantuan daripada pihak BAITULMAL DAN PUSAT URUS ZAKAT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Apa dah jadi dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk turun membantu, mereka tidak semestinya duduk di pejabat dan tunggu orang datang minta bantuan, mereka kena buat kerja sikit, iaitu turun padang cari orang yang seharusnya diberi bantuan. Ia adalah tugas yang diamanahkan bukan sahaja oleh pemerintah tetapi oleh Allah.

Malangnya, walaupun wujud BAITULMAL dan institusi zakat yang mempunyai wang dan harta berpuluh malah beratus juta ringgit, masih ada umat Islam yang terpaksa menyambung hidup dengan menggeledah tong-tong sampah di belakang restoran KFC dan A&W di Kuala Lumpur.

Daripada apa yang didedahkan oleh TV3, mereka yang mencari makan dari tong-tong sampah bukan sakit jiwa atau kurang siuman, mereka mengaku terpaksa berbuat demikian kerana itulah saja sumber rezeki untuk terus hidup. Mereka terpaksa menebalkan muka, pedulikan apa orang nak kata asalkan mereka dapat mengisi perut yang lapar sebelum beredar ke kaki-kaki lima, stesen LRT, Dataran Merdeka ataupun masjid untuk tidur.

Salah seorang yang diwawancara oleh TV3 malam tadi menyatakan dia juga terpaksa mendapat makanan daripada sebuah gereja (katanya pihak Kristian, dah tentu gereja) di ibu kota. Apakah pihak gereja lebih prihatin daripada institusi Islam itu sendiri?

Seperkara lagi yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa apabila TV3 turun menyiasat, baru menteri turun padang dengan membawa bersama-samanya sepelatun pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Rakyat, Dewan Bandar Raya KL dan sebagainya.

Menteri seharusnya tidak menunggu pendedahan atau liputan media untuk bertindak seperti yang diperlihatkan dalam rancangan 'Aduan Rakyat' malam tadi. Tetapi itulah realiti di negara bertuah bernama Malaysia.

Kepada TV3 kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas sikap keprihatinan anda akan masalah rakyat. Teruskan kerja dan tugas anda yang murni itu kerana bagi mereka yang terbela dan diselamatkan hasil daripada liputan atau pendedahan anda, tiada ucapan lain yang dapat diberikan melainkan 'terima kasih TV3.'

TV3 adalah 'wakil rakyat' dalam erti kata yang sebenarnya. Tahniah dan syabas.

Sunday, 21 February 2010

Pengerusi Bernama ke-10 belum dilantik ganti Annuar Zaini

Tempoh atau kontrak perkhidmatan Mohamad Annuar Zaini selaku Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA telah berakhir pada 31 Januari 2010. Beliau dilantik ke jawatan bukan eksekutif itu pada 1 Februari 2004 menggantikan Kalimullah Masheerul Hassan.

Annuar Zaini adalah Pengerusi Bernama ke sembilan dan berkhidmat selama tiga penggal.

Antara tokoh yang pernah mengetuai Lembaga Pengelola Bernama adalah Abdul Aziz Yeop, Mazlan Noordin, Prof Abu Bakar dan Abdul Kadir Jasin. Mereka menjalankan tugas tanpa mencampuri urusan pentadbiran terutama di Jabatan Pengarang.

Pengurusan Bernama mengadakan satu majlis perpisahan 'meraikan' Annuar Zaini pada 11 Februari di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak.

Siapa pula yang bakal dilantik Pengerusi Bernama yang sudah tentu mesti mendapat restu Perdana Menteri. Beberapa nama menjadi sebutan termasuk seorang mantan Ketua Pengarang Bernama yang pernah sepenggal menjadi Ahli Parlimen dan kemudian berkhidmat dengan unit perhubungan media Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Walau siapapun yang dilantik, dia semestinya tahu dan sedar akan tugas dan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Akta Bernama. Selaku Pengerusi bukan eksekutif, dia perlu tahu bahawa dia tidak boleh bertindak selaku CEO atau ketua pegawai eksekutif, dia juga tidak seharusnya campur tangan dalam urusan pentadbiran terutama di jabatan pengarang.

Lembaga Pengelola lazimnya bermesyuarat sekali dalam tempoh dua bulan untuk memastikan Bernama berperanan berpandukan dasar dan garis panduan yang ditetapkan dan untuk membuat perlantikan jawatan-jawatan kanan, jika perlu.

Lembaga Pengelola Bernama yang berpandukan Akta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, terdiri daripada enam orang ahli yang dilantik mewakili Kerajaan dan enam orang lagi dilantik mewakili media yang juga pelanggan Bernama, melambangkan perkongsian antara kerajaan dengan pengamal media swasta.

Lembaga Pengelola, terutama Pengerusi, tidak seharusnya campur tangan dalam pentadbiran hari ke hari Bernama atau membuat apa-apa pelaburan tanpa kelulusan Lembaga dan dipersetujui oleh Kerajaan.

Tetapi, dalam tempoh perkhidmatannya, Annuar dikatakan telah bertindak menjangkaui bidang kuasanya. Isu perjanjian dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd yang menimbulkan masalah kepada Bernama adalah satu contoh.

Seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong pada bulan Ogos 2009, tiada peruntukan dalam Akta Bernama yang membolehkan sebuah syarikat swasta menggunakan nama Bernama mahupun logonya.

Bernama juga tidak dibenar atau dibolehkan untuk memberi kredit kepada sebuah syarikat swasta atau memberi hak kepada syarikat berkenaan menggunakan premis, peralatan, perkakasan atau sumber-sumber Bernama untuk kepentingan sendiri.

YB Wee juga menyatakan bahawa Annuar memakai dua kopiah, bak kata pepatah Inggeris, iaitu selaku Pengerusi Bernama dan Pengarah Bernama TV Synergy.

Kita tidak tahu apa dah jadi dengan hutang berjumlah RM15 juta yang dilaporkan ditanggung oleh Bernama TV Synergy dan sama ada ia sudah dilunas kepada Bernama. RM15 juga bukan satu jumlah yang kecil, lebih-lebih lagi kepada Bernama.

Bernama TV Synergy adalah sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh seorang ketua bahagian UMNO di Kedah bernama Mohamad Suhaimi Abdullah dan dengan itu, ia memberi gambaran bahawa Bernama dikaitkan dengan UMNO, sesuatu yang tidak betul walaupun ada pihak yang akan berkata demikian.

Pada 1 Ogos 2009, Annuar telah memberi penjelasan ringkas kenapa Bernama memutuskan hubungannya dengan Bernama TV Synergy Sdn Bhd. Ia dikaitkan dengan kedudukan kewangan Bernama TV Synergy. Tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Walaupun khidmat Annuar selaku Pengerusi Bernama tidak disambung, apa yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu dari 1 Januari 2004 hingga 31 Januari 2010 termasuk isu Bernama TV Synergy Sdn Bhd tidak boleh dibiar begitu sahaja. Demi menegak kesaksamaan dan memperlihatkan ketelusan pentadbiran, elok juga jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia beri perhatian kepada apa yang telah berlaku itu.

Kepada kerajaan, kita berharap tokoh atau orang politik tidak dilantik ke jawatan itu sama seperti yang dibuat untuk badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau lembaga-lembaga pelabuhan dan agensi-agensi pembangunan wilayah.