Tuesday, 27 July 2010

Pilihan raya, anda silap sikit Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin berkata bahawa negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh Barisan Nasional tidak boleh mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya peringkat persekutuan.

Beliau dilaporkan  sebagai berkata hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak menentu atau menetapkan soal berkaitan tarikh pilihan raya.

Jika diteliti secara kasar, betul tetapi jika dihalusi kita akan dapati bahawa Muhyiddin, seorang tokoh politik yang berpengalaman dan kini memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, silap sedikit.

SPR tidak boleh mengurus sesuatu pilihan raya sekiranya Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat tidak dibubarkan terlebih dahulu.

Jika Datuk Seri Najib Tun Razak nak mengadakan pilihan raya, katakan pada bulan April 2011, maka dia perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda bagi membubar Dewan Rakyat atau Parlimen.

SPR mempunyai satu tempoh yang ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya untuk mengurus pilihan raya bagi memilih anggota Dewan Rakyat. Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan, SPR tidak boleh mengurus atau mengadakan pilihan raya.

Apabila Parlimen dibubarkan dan sekiranya Dewan-Dewan Undangan Negeri dibuar serentak, barulah SPR boleh mengurus pilihan raya untuk mengisi kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Tetapi, jika DUN yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak dibubarkan serentak dengan Pembubaran Parlimen, SPR tiada kuasa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri berkenaan.

Oleh itu, Muhyiddin silap apabila menyatakan bahawa SPR yang menentukan sesuatu pilihan raya dan bukan pihak lain. Yang jelas SPR hanya boleh berbuat demikian jika DUN dibubarkan. Andai kata pentadbiran PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mahu membubarkan DUN serentak dengan pembubabarn Parlimen dan DUN yang dikuasai oleh BN, SPR tidak boleh buat apa-apa kerana tiada kuasa atau peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.

Bidang kuasa SPR dijelaskan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

113 (1) Maka hendaklah ada suatu suruhanjaya Pilihan Raya yang ditubuhkan mengikut Perkara 114, dan yang akan menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

Pada asasnya, itulah kuasa SPR dan SPR hanya boleh bertindak atau melaksanakan tanggungjawabnya setelah dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembubaran Dewan Rakyat artau DUN ataupun berlaku kekosongan kerusi dewan berkenaan oleh Speaker berkaitan.

Oleh itu, DUN yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak untuk tidak membubarnya serentak dengan Dewan Rakyat atau DUN lain sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak. Mereka boleh memilih untuk mencukupkan tempoh lima tahun seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Friday, 23 July 2010

Babi hutan jadi tarikan ramai ke Taman TAR

Beberapa bulan lalu, sekawan babi hutan turun dari bukit (hutan) untuk mencari makan. Tidak ramai orang yang tahu.

Babi hutan berkenaan turun selepas senja dan ada kalanya pada siang hari. Haiwan liar tersebut nampaknya tidak hirau akan kehadiran manusia tetapi akan lari masuk ke dalam hutan apabila manusia cuba mendekatinya. Itu beberapa bulan lepas.

Berita mengenai kehadiran babi hutan berkenaan di kaki bukit Jalan 1, Taman Tun Abdul Razak, Ampang begitu cepat disebarkan dan apabila ia dimuatkan dalam beberapa buah akhbar berbahsa Mandarin, maka ia menjadi satu tarikan pula.

Pada siang hari, tetapi tidak selalu, beberapa ekor babi hutan akan keluar untuk mencari sisa-sisa makanan yang diberikan oleh manusia kepada monyet dan beruk. Sekarang, manusia memberi makanan kepada babi hutan pula.

Dua ekor babi hutan jantan keluar untuk mendapatkan makanan yang diberi oleh pengunjung. Foto ini dirakam sekitar waktu tengah hari.



Berikutan tersiarnya berita mengenai babi hutan berkenaan, Taman TAR kini dibanjiri orang ramai, terutama pada waktu malam. Ia seolah-olah menjadi satu daya tarikan kerana orang bandar jarang sekali dapat melihat babi hutan dari dekat.


Saya tidak pasti sama ada babi hutan dilindungi dibawah akta hidupan liar yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan sama ada binatang tersebut boleh diburu atau diperangkap.

Kehadiran pengunjung yang semakin ramai setiap malam menimbulkan tanda tanya tentang tujuan sebenar mereka ke situ. Ada yang datang dengan 'pick-up truck' yang mungkin akan digunakan untuk mengangkut babi hutan yang diperangkap. Mungkin tidak tetapi naluri saya berpendapat sebaliknya atas kesedaran nafsu makanan di kalangan masyarakat tertentu.

Beberapa ekor babi hutan yang muncul pada sebelah malam untuk mencari makan. Kehadiran manusia tidak dihiraukan tetapi manusia harus sedar bahawa babi hutan adalah haiwan liar yang berkemampuan untuk menyerang dan mencederakan kita.

Seperkara lagi yang harus diingati adalah haiwan pemangsa yang memburu dan memakan babi hutan pasti ada di mana adanya mangsa. Jika ada babi hutan maka akan adalah harimau, sama ada harimau belang, harimau kumbang, harimau bintang ataupun harimau dahan dan ular sawa. Ular sawa yang panjangnya melebihi 10 kaki pernah dilihat berdekatan tempat dimana babi hutan berada.