Sunday, 13 March 2011

Siapa lebih ganas atau 'pengganas' - Amerika atau Islam?

Peter King, pengerusi jawatankuasa keselamatan dalam negeri Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, telah memanggil 'siasatan' atau disebut sebagai 'hearing' di Washington, terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada masyarakat Islam yang kononnya enggan bekerjasama  dengan pihak berkuasa, dan mengajar atau menanam pemikiran radikal di masjid-masjid di negara tersebut.

King menganggap ianya sebagai satu ancaman keselamatan ke atas Amerika Syarikat dengan menuduh bahawa fahaman Islam yang radikal adalah sebahagian daripada strategi atau muslihat al Qaeda untuk menyerang Amerika Syarikat.

Dengan mengaitkan Islam kepada fahaman atau pemikiran radikal, King secara terang-terangan menuduh Islam sebagai sebuah agama 'pelampau' yang dikaitkan dengan apa yang sering disebut oleh Barat sebagai 'pengganas dan keganasan' yang dikaitkan pula dengan al Qaeda.

Apa sahaja yang berlaku yang membabitkan bencana akibat letupan atau pembunuhan pasti dikaitkan dengan al Qaeda atau puak-puak radikal Islam yang ada kaitan dengan al Qaeda. Itulah alasan yang selalu diberikan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat dan media yang dikawal dan dikuasai oleh mereka.

Ahli Kongres New York itu cuba mengukuhkan tuduhannya dengan mengambil beberapa contoh sedangkan ia tidak ada kaitan sama sekali dengan agama Islam tetapi tindakan beberapa orang individu yang secara kebetulan beragama Islam. 

Kebencian terhadap Islam semakin menjadi-jadi di Eropah dan Amerika Syarikat walaupun beberapa kejadian keganasan termasuk membunuh kanak-kanak sekolah beramai-ramai ataupun pelajar maktab di Amerika Syarikat dilakukan oleh bukan penganut Islam. Mereka tidak pula mempersalahkan puak pelampau Nasrani atau Yahudi, tetapi apabila orang Islam terlibat, dengan pantasnya mereka menuduh Islam itu sendiri. Inilah keadilan dan kesaksamaan yang diamalkan oleh Barat.

Jika nak memperkatakan mengenai puak-puak 'pelampau' atau golongan ekstremis, jangan hanya menuding jari kepada Islam kerana ianya wujud dalam semua agama dan fahaman kehidupan. Lihat saja di India,  di Ireland Utara, di England, di Mesir, di Rusia, Nigeria, Ghana, di Indonesia dan Pakistan. Perbalahan antara agama dan di kalangan penganut agama yang sama bukan sesuatu yang baru, tetapi kita tidak boleh mempersalahkan agama itu sendiri kerana yang menimbulkan masalah adalah manusia.

Amerika Syarikat tidak layak dan tidak boleh menuduh Islam atau penganut Islam sebagai radikal mahupun pelampau atau pengganas kerana negara Uncle Sam itu sendiri adalah pengganas dunia. Hakikat ini harus disedari tetapi oleh kerana negara tersebut bertaraf  'kuasa besar dunia',  maka ia boleh lakukan semuanya itu.

King dan sesiapa sahaja di Amerika Syarikat yang dengan senang-senang sahaja melemparkan tuduhan dan fitnah terhadap Islam dan umat Islam, harus sedar akan hakikat bahawa negara merekalah sebenarnya pengganas, penceroboh, penakluk, pemusnah dan kaki buli dunia.

Mereka harus disedarkan bahawa sejak Perang Dunia II, Amerika Syarikat menggugur bom pemusnah ke atas 23 buah negara, membunuh beratus ribu manusia dan memusnahkan sumber kehidupan.

Keganasan itu termasuk ke atas China antara tahun 1945-46, Korea 1950-53, China kali kedua 1950-53, Guatemala 1954, Indonesia 1958, Cuba 1959-60, Guatemala kali kedua 1960, Congo 1964, Peru 1965, Laos 1964-73, Vietnam 1961-73, Kemboja 1969-70, Guatemala kali ketiga 1967-69, Grenada 1983, Lubnan 1984, Libya 1986, El Salvador 1980-an, Nicaragua 1980-an, Panama 1989, Iraq 1991-99, Sudan 1998,  Somalia 1990-an, Afghanistan 1998-sekarang, dan Yugoslavia 1999. 

Untuk menyerang dan menakluk Iraq yang kaya dengan minyak, Amerika Syarikat mengadakan pembohongan besar apabila ia menuduh Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran atau WMD.  Dunia mempercayai pembohongan tersebut dan akibatnya Iraq musnah dan rakyatnya menderita hingga ke hari ini. 

Yang memiliki WMD di Timur Tengah bukan Iraq, Iran, Turki  atau mana-mana negara Arab, tetapi negara Yahudi bernama Israel. Amerika menutup mata ke atas kenyataan tersebut kerana Israel adalah sekutunya untuk menyekat kebangkitan negara-negara Islam di Timur Tengah.

Dalam sejarah dunia, hanya sebuah negara, iaitu Amerika Syarikat yang menggunakan WMD apabila ia menggugur bom atom ke atas bandar Hiroshima dan Nagasaki. Kesan kemusnahannya masih wujud.

Selain menyerang dan mengebom negara lain, Amerika Syarikat juga terlibat dalam 20 rampasan kuasa di seluruh dunia, iaitu selepas Perang Dunia II semata-mata untuk meletakkan boneka mereka sebagai pemimpin di negara-negara tersebut. CIA, agensi perisikan pusat Amerika Syarikat, turut terlibat atau bertanggungjawab ke atas tidak kurang daripada enam pembunuhan pemimpin politik atau ketua kerajaan asing. Semuanya itu dilakukan semata-mata atas kepentingan Amerika Sayrikat temasuk kepentingan ideologi kapitalis dan perbadanan-perbadanan multinasionalnya.

Selepas hancurnya Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat memperkenalkan apa yang disebut sebagai order baru dunia,  yang diketuai oleh Washington. Amerika Syarikat boleh bermaharajalela sebagai satu-satunya kuasa besar dunia dengan keupayaan untuk  menentukan apa sahaja dengan memperalatkan kekuatan ketenteraan.

Amerika Syarikatlah sebenarnya pengganas dunia.




Sunday, 27 February 2011

Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin bukan pengganas



Saya sedih membaca laporan yang mengaitkan ulama terkenal dunia Islam, Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin atau Muslim Brotherhood dengan pertubuhan atau pergerakan pengganas. Tuduhan tidak berasas dan liar itu didalangi  oleh Amerika Syarikat, puak Zionis dan Barat. Kita tahu kenapa mereka berbuat demikian.

Tetapi, yang lebih menyedihkan apabila ada negara dan pemimpin beragama Islam yang terperangkap dan terjerumus ke dalam kancah fitnah dan terikut-ikut dengan musuh Islam itu seperti kerbau dicucuk hidung.

Sebelum digulingkan, mantan presiden Mesir menindas dan menghumban ke penjara pemimpin-pemimpin  Ikhwanul Muslimin dan mengharamkan Dr Yusuf, seorang rakyat Mesir, daripada negaranya sendiri. Hosni Mubarak takut akan bayang-bayangnya sendiri dan melihat gerakan persaudaraan Islam itu sebagai ancaman besar terhadap kepimpinannya. Akhirnya, dengan kehendak Allah tumbang juga dia dan Ikhwanul Muslimin serta Dr Yusuf kembali bersinar di bumi Mesir..

Saya membawa cerita itu semata-mata kerana Perdana Menteri kita sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ulasan atau komen yang agak kurang senang mengenai Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sendiri  semasa berada di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Benar, Najib telah menafikan yang dia melemparkan tuduhan tidak berasas itu terhadap Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf,  tetapi dia tidak menafikan yang dia ada menyentuh mengenai kedua-duanya. Amat biasa sekali kita membaca pemimpin membuat penafian atau menyalahkan pemberitaan apabila apa yang diucapnya menikam balik. Itulah yang berlaku.

Ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Kerdau di Temerloh semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak pernah melabelkan Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai pengganas.

"Saya tak kata Muslim Brotherhood ini kumpulan pengganas. Saya kata Muslim Brotherhood boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ektremis...", itulah antara lain kata-kata Najib seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Saya ingin memetik kata-katanya."...dengan syarat menolak keganasan. dan fahaman ekstremis.." bukankah kata-kata sedemikian menunjukkan bahawa Najib percaya yang Ikhwanul Muslimin mendokong keganasan, jika tidak kenapa perlu mengenakan syarat agar mereka menolak keganasan. Siapakah Najib untuk mengenakan syarat sedemikian kepada Ikhwanul Muslimin? Mungkin itu yang akan ditanya oleh mereka kepada kita. 

Mengenai Dr Yusuf al-Qaradawi, ulama berusia 84 tahun yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia dengan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Antarabangsa 2009 kerana jasa dan sumbangannya yang tidak ternilai bukan sahaja kepada dunia Islam tetapi kepada kemanusiaan itu sendiri, Najib mengeluarkan kata-kata yang menzahirkan kebimbangan yang amat sangat terhadap tokoh yang disegani itu.

(Najib said he has "some concerns, deep concerns" about Yusuf al-Qaradawi, the Muslim Brotherhood's spiritual leader. Those concerns center on Qaradawi's  support and justification for terrorism, which carries a great of weight given Qaradawi's credibility as an Islamic scholar. It is exactly that type of Muslim leader that has led the Middle East astray, according to Najib.)

Bukankah kata-kata Najib itu satu pandangan yang selari dan senada dengan apa yang telah dan sedang diperkatakan oleh golongan Zionis, Amerika Syarikat dan Barat terhadap Dr Yusuf al-Qaradawi, tokoh yang Malaysia melihat sebagai cukup layak dan bertepatan untuk diberi anugerah tertinggi Ma'al Hijrah. 

Bolehkah kita samakan Malaysia sebagai pendokong dan penyokong kegananasan kerana kita sendiri memberi anugerah kepada seorang yang dituduh sebagai menyokong dan mewajarkan  keganasan? (Qaradawi's support and justification for terrorism)

Mungkin Najib tidak mendapat nasihat yang betul daripada para penasihatnya termasuk penasihat media yang berpengalaman luas sehingga dia tidak kenal siapa itu Dr Yusuf al-Qaradawi dan apa itu Ikhwanul Muslimin.

Oleh itu, elok juga diperturunkan sedikit sebanyak mengenai cendekiawan Islam yang dilahirkan di Shaft Turaab, Kaherah atau Cairo, Mesir pada 9 September 1926.

Pada usia 10 tahun Dr Yusuf sudah hafal al-Quran. Dia menamatkan pendidikan di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi dan melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan lulus pada 1952.  Dia memperolehi ijazah kedoktoran pada 1972 melalui tesis yang kemudian dijadikan buku ilmiah 'Fiqh Zakat'.

Dr Yusuf meninggalkan Mesir pada 1961 kerana tidak tahan menerima sekatan dan tekanan oleh sebuah rejim yang kejam. Dia menuju ke Qatar dan di sana dia menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan kemudian Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi.

Dr Yusuf al-Qaradawi melalui pengalaman pahit dipenjarakan seawal usianya 23 tahun kerana terlibat dalam  Ikhwanul Muslimin pada 1949,  pada 1956 semasa revolusi Jun dia dipenjara selama dua tahun oleh rejim tentera.

Dia ditakuti kerana keberaniannya berkhutbah mengakibat dia dilarang sebagai khatib kerana isi khutbahnya yang menyentuh soal ketidak adilan rejim yang memerintah Mesir pada waktu itu.

Dr Yusuf al-Qaradawi adalah seorang Mujtahid zaman semasa, seorang ketua majlis fatwa dimana  banyak fatwanya dijadikan bahan rujukan atas permasalahan yang dihadapi walaupun banyak juga yang mengkritik fatwanya.

Namun begitu, adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak adil untuk menuduh  Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai seorang pengganas, atau seorang yang menyokong dan mewajarkan keganasan. Mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian sebanarnya terpengaruh atau dipengaruhi oleh pemikiran pihak-pihak tertentu yang amat takut akan kebangkitan Islam.