Tuesday, 10 May 2011

Ahli politik Singapura undur pabila kalah, ahli politik Malaysia lain ceritanya

Saya menghormati sikap ahli politik Singapura yang kalah pada pilihan raya republik itu baru-baru ini yang bukan sahaja menerima kekalahannya dengan tenang tetapi mengambil keputusan untuk terus bersara daripada politik.

Brig-Jen George Yeo, Menteri Luar Singapura dan salah seorang yang pernah disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri republik itu, gagal mempertahan kerusi GRC Aljunied yang diwakilinya.

Kekalahan beliau dan rakan-rakan GRCnya adalah yang pertama membabitkan seorang menteri kanan dan turut memeranjatkan kepimpinan PAP yang memerintah. Sebelum memegang portfolio Kementerian Luar, beliau menerajui Kementerian Penerangan dan Kebudayaan.

Mantan panglima tentera Singapura itu dilihat sebagai seorang 'gentleman' dalam politik Singapura dan ada ketikanya dikatakan mampu menggugat kedudukan PM Lee Hsien Loong. Mungkin itulah antara sebab kenapa Lee Kuan Yew enggan bersara kerana dia mahu mempertahankan kedudukan anaknya itu.

Tindakan BG Yeo bersara daripada politik melambangkan sikapnya yang tegas menerima penghakiman rakyat atau pengundi. Jika rakyat sudah tidak menerimanya, maka diapun berundur sebagai tanda menghormati kehendak rakyat.

Sebaliknya di Malaysia, ahli politik yang kalah pada pilihan raya atau pemilihan parti, amat sukar untuk berundur apatah lagi bersara terus daripada politik. Ia seolah-olah harta warisan yang tidak boleh dilepakan ke tangan orang lain.

Mereka akan menunggu peluang untuk dilantik sebagai Senator atau pengerusi mana-mana agensi, syarikat berkaitan kerajaan atau badan-badan berkanun seperti MARA, RISDA, FELDA, PERDA, KEDA, MADA, KADA, DARA, PETRONAS, SIME DARBY, FINAS, MAS dan banyak lagi.

Perkataan bersara atau berundur tidak berada dalam perbendaharaan kata mereka. Yang ada hanyalah 'habuan, habuan dan habuan' untuk meneruskan keselesaan hidup  yang dinikmati menerusi kegiatan politik.

Sebab itulah saya hormati sikap BG George Yeo yang terus bersara apabila kalah pada pilihan raya. Sikap sedemikian tiada pada ahli-ahli politik 'cari makan' di Malaysia.

Monday, 9 May 2011

Perlantikan PM mesti diperkenan oleh Agong

Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.

Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum.

Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan.

Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah.

Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan.

Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda.

Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.

Dua perkara yang jelas adalah  kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''

Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.

Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau  upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang  bukan beragama Islam.

Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.