Isu hukum Hudud terus menjadi perdebatan dan perbincangan bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi yang bukan Islam. Orang politik yang berada dalam pertubuhan siasah bermajoriti bukan Islam seperti DAP, MCA, MIC dan Gerakan kelihatan begitu takut dengan Hudud sedangkan mereka tidak faham sepenuhnya apa itu Hudud dan hukum tersebut hanya akan dikenakan ke atas umat Islam.
Hudud adalah Syariat Islam dan oleh itu ia adalah Syariat Allah. Harus diingat bahawa orang Islam yang menentang atau enggan menerima hukum Hudud dengan sendirinya menolak Syariat Allah. Inilah hakikat yang mesti disedari oleh umat Islam.
Manusia, terutamanya mereka yang bukan beragama Islam, selalunya ditakut-takutkan dengan hukum Hudud seperti memotong tangan kerana mencuri, direjam sampai mati atau disebat 100 kali kerana berzina, atau potong tangan dan kaki secara bersilang kerana merompak. Itu yang sering ditekankan untuk menakut-nakutkan orang terhadap Hudud.
Penentang hukum Hudud tidak pula menyebut bahawa Islam menuntut supaya berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman jenayah. Ia seharusnya dibuat menerusi pencegahan dengan menyatakan hukuman yang berat terhadap sesuatu kesalahan jenayah dan berusaha sedaya upaya untuk mengelak dalam mensabitkan sesuatu kes.
Perkara ini jelas diterangkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah dan dikeluarkan oleh Termidzi yang bermaksud:-
"Elakkan Hudud dijatuhkan ke atas orang-orang Islam sekadar yang kamu upaya. Dan sekiranya seseorang itu mempunyai jalan keluar maka biarkanlah ia pergi mengikut jalannya kerana pemerintah itu, sekiranya tersalah dalam mengampunkan sesuatu perkara, masih perbuatan itu lebih baik daripada menghukum dengan salah".
Ada beberapa contoh yang menunjukkan pentingnya diusahakan supaya dapat dielak daripada dikenakan hukum Hudud disebabkan oleh beberapa keadaan. Antara contoh-contohnya:-
Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah menyatakan bahawa beliau telah didatangi oleh seorang perempuan yang melakukan zina dan diakuinya, lalu dibenarkan supaya dikenakan hukum Hudud ke atasnya.
Sayidina Umar kemudian menyatakan mungkin perempuan itu mempunyai sebab-sebab yang tertentu yang menyebabkan perbuatan zina. Beliau bertanya perempuan tersebut mengenainya dan diberitahu bahawa dia [perempuan itu] mempunyai seorang tanggungan yang memerlukan makanan. Pada masa itu, seorang lelaki yang melakukan zina dengannya, mempunyai seekor unta dan air serta susu, sedangkan unta perempuan itu tidak mempunyai air dan susu.
Ketika itu perempuan berkenaan teramat dahaga dan memerlukan seteguk air daripada lelaki tersebut. Lelaki itu enggan memberi air kecuali jika perempuan itu menyerah diri kepadanya. Permintaan itu dibuat berulang kali sehingga akhirnya perempuan itu terpaksa beralah dan menyerahkan dirinya kepada lelaki itu.
Sayidina Ali r.a. yang ada bersama ketika itu berkata, yang bermaksud:- "Allah berfirman, maksudnya: Barangsiapa yang terpaksa sedang ia tidak bertujuan sedemikian maka tidaklah ia menanggung dosa". Dalam peristiwa ini, perempuan tersebut dilepaskan.
Hukum mencuri dalam Syariat Islam ialah hukuman yang telah ditetapkan, iaitu dipotong tangan. Perkara ini selalu dijadikan alasan dan hujah mereka yang menentang hukum Hudud termasuk oleh segelintir umat Islam. Mereka harus sedar akan hakikat bahawa ia bukan semudah itu kerana Syariat Islam amat adil dan saksama.
Ini dapat dibuktikan oleh tindakan Sayidina Umar Al-Khattab yang menggugurkan hukuman itu daripada dijatuhkan ke atas pencuri pada tahun kesukaran mendapat makanan. Disebabkan oleh keadaan tersebut, hukuman yang dikenakan oleh Sayidina Umar dipersetujui oleh Ulama Fekah secara ijmak.
Ini membuktikan bahawa Islam tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum Hudud tanpa memberi pertimbangan terhadap keadaan semasa, perubahan-perubahan cara pelaksanaannya berdasarkan suasana, tempat dan masa.
Hudud adalah hukuman pembalasan kerana kesalahan jenayah. Jenis-jenis kesalahan yang boleh dikenakan hukuman Hudud hanya tujuh, iaitu:- 1. Mencuri, 2. Berzina, 3. Qazaf, iaitu membuat tuduhan terhadap seseorang melakukan zina tanpa saksi bagaimana yang disyaratkan, 4. Minum arak, 5. Merompak, 6. Bughaat atau menderhaka kepada negara, dan 7. Murtad.
Dalam sejarah Islam peristiwa-peristiwa hukum Hudud boleh dikatakan semuanya berasaskan kepada pengakuan bukan kerana penyiasatan atau paksaan untuk membuat pengakuan. (Perkara ini pernah berlaku dalam penyiasatan sistem sivil dimana orang yang dituduh dipaksa membuat pengakuan).
Kita harus sedar bahawa sebarang pelaksanaan hukum yang berbeza dengan sesuatu pelaksanaan yang dibuat pada masa lain di tempat lain bukan bermakna ia telah mengubah Nas hukuman. Sesuatu Nas yang terdapat dalam Al-Quran atau sunnah tetap suci dan tidak boleh diubah sama sekali. Tetapi apa yang berlaku semasa zaman Sayidina Umar adalah perubahan tentang pelaksanaan hukum berdasarkan kepada suasana yang memerlukan ia diubah. Ia menjamin kedudukan Islam sebagai agama yang sesuai dengan perubahan masa, tempat dan zaman.
Oleh yang demikian, persoalan Hudud memerlukan maklumat yang mendalam mengenai sistem pelaksanaannya kerana ia melibat 'hakim' yang hendak menjatuhkan hukuman. Pengetahun 'hakim' berkenaan amat penting untuk menentukan kesahihan keputusan yang dibuat. Selain itu, suasana masyarakat yang menjalankan pelaksanaannya, sistem pemerintahan negara dan keutamaan dalam menghayati Syariat Islam.
Tanpa perkara-perkara tersebut, sudah tentu persoalan Hudud akan terus menjadi bahan kajian akademik serta perbalahan masyarakat dan politik yang pada akhirnya boleh merosak imej Islam dan seterusnya melemahkan masyarakat Islam itu sendiri.
Persoalan Hudud akan terus timbul dan tenggelam sebagai bahan atau alat dalam kumpulan tertentu untuk meraih simpati rakyat termasuk mereka yang menentangnya dengan harapan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Islam.
Di Malaysia, yang paling utama ialah Perlembagaan dan dalam Perlembagaan, Islam disebut sebagai agama Persekutuan, bukan agama rasmi negara. Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, bukan negara Islam.
Perlembagaan juga menetapkan bahawa hukuman berkaitan kesalahan jenayah terletak dalam undang-undang sivil iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah, bukan diletak di bawah Mahkamah Syariah. Inilah hakikat yang mesti difahami.
''Negara Islam [Darul Islam] ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam makna kekuatan dan pertahanannya berada di tangan Islam''. [Sheikh Muhammad Abu Zuhrah]
''Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya''. [Imam al-Fahastani, seorang ulama mazhab Hanafi]
Hukum Hudud adalah Syariat Islam dan jika sesebuah negara itu mengaku sebagai negara Islam, maka negara tersebut seharusnya mematuhi dan mengamalkan Syariat Islam.
''Negara Islam adalah negara yang hukum pemerintah Islam berkuatkuasa ke atasnya''. [Imam al-Fahastani, seorang ulama mazhab Hanafi]
Hukum Hudud adalah Syariat Islam dan jika sesebuah negara itu mengaku sebagai negara Islam, maka negara tersebut seharusnya mematuhi dan mengamalkan Syariat Islam.