Ada pemimpin Umno yang menyifatkan kes NFC yang membabitkan suami menteri kabinet yang juga ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, seperti peribahasa Melayu 'mendukung biawak hidup' [bukan memikul]. Ini kerana kes NFC boleh menggugat kedudukan dan kepercayaan rakyat kepada Umno.
Sebenarnya, banyak lagi kes yang serupa yang terpaksa dihadapi Umno. Parti kebangsaan Melayu itu sedang mendukung beberapa ekor biawak hidup. Bukan NFC sahaja. Kes melibatkan seorang lagi menteri kabinet PM Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu insan yang bertangungjawab ke atas hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom, adalah sebagai contoh.
Mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera [KAGAT] berpangkat Mejar-Jeneral itu dikatakan telah mengguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] untuk membayar kos guaman kepada sebuah firma guaman berkaitan kes qazaf yang difailkan oleh ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim [DSAI].
Ini dibuktikan melalui dokumen yang didedahkan oleh pengarah komunikasi Parti KeAdilan Rakyat [PKR], Nik Nazni Nik Ahmad, di ibu pejabat parti itu hari ini. Nik Nazni berkata wang itu diambil dari kumpulan wang zakat.
Nik Nazni berkata sebagai bukti penggunaan wang zakat ialah baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 manakala bayaran pertama dibuat pada 9 Feb 2010 berjumlah RM31,500. Ini bermakna wang dari kumpulan wang zakat MAIWP sebanyak RM63,650 telah digunakan untuk bayaran guaman.
Bukti kedua yang ditunjukkan oleh Nik Nazni ialah surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.
Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP.
Selain Jamil Khir, kes qazaf itu turut melibatkan pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan Shamsudin Hussain.
Kita hairan kenapa Jamil Khir Baharom awal-awal lagi tidak memberi penjelasan dan pengakuan bahawa wang yang diambil untuk membayar kos guaman adalah dari kumpulan wang zakat. Oleh kerana Jamil Khir tidak berterus terang, maka dia terpaksa 'mendukung biawak hidup'.
Saya cuba cari di mana letaknya hikmah dan tujuan Allah mensyariatkan zakat untuk membayar kos guaman sedangkan zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.
Kita ingin tahu ke mana perginya pengertian zakat dari segi bahasa iaitu 'bersih, suci, subur, berkat dan berkembang'.
Adakah kos guaman itu tertakluk kepada hikmah dan tujuan syariat Allah berkaitan zakat, adakah ia membawa pengertian bersih, suci, subur, berkat dan berkembang ....
Jika benar, saya ulang, jika benar apa yang dikemukakan oleh Nik Nazni, maka Jamil Khir Baharom telah menyalah guna kedudukannya sebagai orang yang diamanahkan ke atas hal ehwal agama Islam apabila membenarkan wang zakat dikeluarkan untuk membiayai kos guamannya, tidak kiralah sama ada sebagai pinjaman atau pendahuluan kerana ia tidak termasuk dalam asnaf-asnaf yang dibenarkan oleh syarak.
Kita tunggu dan lihat apa tindakan Polis Di-Raja Malaysia [PDRM] apabila menerima laporan kelak dan apa pula tindakan Jabatan Peguam Negara selepas itu.