Wednesday, 11 January 2012

Mufti WP kata tak salah guna wang zakat

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh  berkata wang zakat boleh diguna bagi perbelanjaan undang-undang di bawah asnaf fisabilillah.


Kita hormati dan akur akan pendapat mufti yang arif lagi bijaksana itu. Tetapi, ia bukan bererti kita tidak boleh persoalkan kebijaksanaan dan kewarasan berkaitan perkara itu, walaupun kita bukan bertaraf mufti atau ulama yang waraq dalam segi hukum-hakam agama.

Mufti, melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menegaskan bahawa penggunaan wang zakat untuk kos guaman dalam kes qazaf yang difailkan oleh ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom dan dua pegawai jabatan berkenaan, adalah mengikut hukum syarak dan selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.

Fisabilillah, hujah mereka adalah segala yang menyentuh kepentingan umat Islam dalam menegakkan urusan agama dan pemerintahan.

Kita ingin bertanya kepada yang bijaksana mufti sama ada kes qazaf yang difailkan itu tidak bertujuan menegakkan urusan agama, mencari kebenaran dan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam? 

Keadilan dan kesaksamaan dalam mentadbir undang-undang Islam dan hukum syarak tidak seharusnya memihak kepada orang yang didakwa gagal atau tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes yang difailkan itu.

Kita sedar akan pengertian fisabilillah atau fi sabil Allah yang diamalkan di Malaysia adalah luas dan tidak hanya merangkumi soal jihad atau perang kerana Allah. Di Malaysia ia bersifat umum dan merangkumi semua kebajikan untuk jalan Allah

Jika dihayati akan pengertian fisabilillah, kita akan dapati bahawa keempat-empat imam mazhab sepakat bahawa jihad itu perang kerana Allah, oleh itu penyaluran wang zakat terhadap tentera yang terlibat dengan jihad adalah harus. Mereka juga sepakat bahawa zakat tidak harus untuk tujuan maslahah umum.

Mazhab Syafie sendiri memfokuskan makna fisabilillah hanyalah untuk jihad (perang kerana Allah) walaupun pengertian jihad kini diperluaskan untuk mencakupi urusan-urusan lain di jalan Allah dengan mengharuskan pembahagian zakat kepada semua bentuk kebaikan seperti mengkafankan mayat dan pembinaan  masjid.

Kita dapat fahami bahawa fisabilillah bermaksud maslahah-maslahah umum umat Islam bagi tujuan agama dan negara tetapi bukan untuk persendirian.

Dari kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, kita dapat ertikan bahawa jihad fisabilillah secara umumnya merujuk kepada perjuangan di jalan Allah, melindungi dan memelihara agama serta meninggikan kalimat tauhid seperti berdakwah dan berusaha menerapkan hukum Islam.

Bukankah sepatutnya Jamil Khir Baharom selaku menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam menjalankan tugas yang diamanahkan untuk memelihara agama serta meninggikan kalimat tauhid dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes qazaf berkenaan?

Apa yang berlaku ialah wang zakat digunakan untuk mempertahan apa yang tidak dilakukan dan inilah yang menjadi tanda tanya (?).

Kita ingin dengar dan tahu apa pula kata para mufti di negeri-negeri lain. Adakah mereka sekata dan sehaluan dengan pendirian Mufti Wilayah Persekutuan?


  

Jamil Khir Baharom dan wang zakat

Ada pemimpin Umno yang menyifatkan kes NFC yang membabitkan suami menteri kabinet yang juga ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, seperti peribahasa Melayu 'mendukung biawak hidup' [bukan memikul]. Ini kerana kes NFC boleh menggugat kedudukan dan kepercayaan rakyat kepada Umno.

Sebenarnya, banyak lagi kes yang serupa yang terpaksa dihadapi Umno. Parti kebangsaan Melayu itu sedang mendukung beberapa ekor  biawak hidup. Bukan NFC sahaja. Kes  melibatkan seorang lagi menteri kabinet PM Datuk Seri Najib Tun Razak,  iaitu insan yang bertangungjawab ke atas hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom, adalah sebagai contoh. 

Mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera [KAGAT] berpangkat Mejar-Jeneral itu dikatakan telah mengguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] untuk membayar kos guaman kepada sebuah firma guaman berkaitan kes qazaf yang difailkan oleh ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim [DSAI].

Ini  dibuktikan melalui dokumen yang didedahkan oleh pengarah komunikasi Parti KeAdilan Rakyat [PKR], Nik Nazni Nik Ahmad, di ibu pejabat parti itu hari ini. Nik Nazni berkata wang itu diambil dari kumpulan wang zakat.

Nik Nazni berkata sebagai bukti penggunaan wang zakat ialah baucer bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150 manakala bayaran pertama dibuat pada 9 Feb 2010 berjumlah RM31,500. Ini bermakna wang dari kumpulan wang zakat MAIWP sebanyak RM63,650 telah digunakan untuk bayaran guaman.

Bukti kedua yang ditunjukkan oleh Nik Nazni ialah surat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Laporan Ketua Audit menyebut bahawa MAIWP hanya memulangkan wang tersebut pada Disember 2010, kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP.

Selain Jamil Khir, kes qazaf itu turut melibatkan pengarah JAWI Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa syarie Wilayah Persekutuan Shamsudin Hussain.

Kita hairan kenapa Jamil Khir Baharom awal-awal lagi tidak memberi penjelasan dan pengakuan bahawa wang yang diambil untuk membayar kos guaman adalah dari kumpulan wang zakat. Oleh kerana Jamil Khir tidak berterus terang, maka dia terpaksa 'mendukung biawak hidup'.  

Saya cuba cari di mana letaknya hikmah dan tujuan Allah mensyariatkan zakat untuk membayar kos guaman sedangkan zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Kita ingin tahu ke mana perginya pengertian zakat dari segi bahasa iaitu 'bersih, suci, subur, berkat dan berkembang'.   

Adakah kos guaman itu tertakluk kepada hikmah dan tujuan syariat Allah berkaitan zakat,  adakah ia membawa pengertian bersih, suci, subur, berkat dan berkembang ....

Jika benar, saya ulang, jika benar apa yang dikemukakan oleh Nik Nazni, maka Jamil Khir Baharom telah menyalah guna kedudukannya sebagai orang yang diamanahkan ke atas hal ehwal agama Islam apabila membenarkan wang zakat dikeluarkan untuk membiayai kos guamannya, tidak kiralah sama ada sebagai pinjaman atau pendahuluan kerana ia tidak termasuk dalam asnaf-asnaf yang dibenarkan oleh syarak.

Kita tunggu dan lihat apa tindakan Polis Di-Raja Malaysia [PDRM] apabila menerima laporan kelak dan apa pula tindakan Jabatan Peguam Negara selepas itu.