Monday, 20 February 2012

Debat MCA-DAP bangkitkan persoalan hukum Hudud

Debat antara presiden MCA, parti gabungan Barisan Nasional, dan setiausaha-agung DAP, parti perkongsian Pakatan Rakyat, tidak menghasilkan apa-apa yang kukuh selain membangkitkan isu-isu yang merupakan perbalahan politik di kalangan masyarakat Cina. 

Debat yang dilangsungkan dalam bahasa Mandarin itu tidak mampu diikuti secara langsung atau sepenuhnya oleh majoriti rakyat Malaysia yang tidak faham sama sekali bahasa Mandarin, iaitu bahasa kebangsaan Republik Rakyat China dan bukan bahasa 'rasmi' di Malaysia.

Mungkin menyedari bahawa perdebatan mereka tidak mendapat liputan seluas-luasnya, maka SU Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng minta diadakan debat kedua sama ada dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan Malaysia atau bahasa Inggeris.

Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek yang terkenal dengan rakaman 'CD' tertentu, harus sedar bahawa selaku pemimpin politik peringkat kebangsaan, mereka sepatut dan semestinya mengutamakan bahasa kebangsaan. 

Seperti majoriti rakyat Malaysia, saya hanya mampu mengikuti laporan media berkaitan perdebatan yang dikatakan tidak menepati tajuk sepenuhnya itu. Oleh itu, ulasan yang mampu saya lakukan juga terbatas kepada topik tertentu. Saya memilih topik hukum Hudud yang dibangkitkan oleh Soi Lek.

Apabila memperkatakan hukum Hudud, bukan sahaja orang bukan Islam yang tidak tahu atau samar-samar mengenainya tetapi sejumlah besar umat Islam pun keliru. Oleh kerana itu, apabila disebut hukum Hudud maka timbul  bantahan dan tentangan termasuk oleh pemimpin-pemimpin politik, sama ada yang membentuk kerajaan peringkat negeri mahupun pusat atau yang bergelar pembangkang.

Soi Lek menjadikan hukum Hudud peluru hidupnya untuk memusnahkan hujah Guan Eng. Sedikit sebanyak dia berjaya kerana Guan Eng gagal menyahut cabaran tersebut. Mungkin Guan Eng terbayang akan wajah pengerusi DAP Karpal Singh yang berkata "langkah mayat saya  dahulu" jika  hendak melaksanakan hukum Hudud. Kita tidak tahu selama mana  hayat Karpal Singh untuk membolehkan mayatnya dilangkahi.

Perlu diingatkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Namun begitu, pelaksanaan hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan selagi Kerajaan Persekutuan tidak memberi kebenaran.  Inilah kenyataan yang mesti diketahui. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pernah berkata perbezaan pandangan antara PAS dengan DAP dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Namun begitu, sehingga sekarang Kerajaan Negeri Kelantan tidak dapat melaksana hukum Hudud.

Saya ingin merujuk kepada Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Walaupun Malaysia mengamalkan dwi-sistem kehakiman,   iaitu undang-undang lazim dan undang-undang Syariah,  tafsiran dibuat bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, ia hanya meliputi atau berkuatkuasa  ke atas umat Islam. Pada hakikatnya, ia meliputi persoalan undang-undang keluarga seperti pernikahan, pewarisan harta dan isu murtad. Walaupun ada negeri yang memperuntukkan kesalahan jenayah Syariah, ia  terbatas  kepada hukuman denda yang tidak melebihi RM5,000.00 dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kita sedar bahawa mencuri, merompak, membunuh, berzina, rogol dan  sumbang mahram, sebagai contoh, adalah antara kesalahan mengikut undang-undang Islam,  tetapi,  semuanya jelas berada di bawah kuasa undang-undang lazim (kuasa Kerajaan Persekutun). Oleh itu, ia tidak boleh dilaksana diperingkat negeri melalui undang-undang yang berlawanan.

Ini kerana semuanya termasuk dalam Kanun Keseksaan atau Penal Code, iaitu undang-undang kesalahan jenayah utama yang mengandungi tidak kurang daripada 511 seksyen  meliputi banyak kesalahan jenayah yang boleh dijatuh hukum oleh mahkamah. 

Selain Kanun Keseksaan, terdapat undang-undang khusus dan tertentu seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Senjata Api (hukuman lebih berat) 1971,  untuk memperluas kawalan dan penguatkuasaan ke atas kes-kes jenayah tertentu.

Oleh itu, hukum Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana kesalahan jenayah seperti yang terkandung dalam senarai kesalahan jenayah Syariah di bawah hukum Hudud, sudahpun berada dalam senarai di bawah Kanun Keseksaan. Ia adalah bidang kuasa Persekutuan, bukan negeri dan  ia hanya boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan suara majoriti dua-pertiga ahli Dewan Rakyat.

Jika Pakatan Rakyat berhasrat untuk melaksanakan hukum Hudud, ia perlu terlebih dahulu memenangi pilihan raya dengan majoriti melebihi dua-pertiga. 

Persoalan yang harus difikirkan oleh PAS terutamanya, mahukah DAP ataupun PKR  menyokong pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat jika Pakatan menguasai Parlimen? Tanpa sokongan DAP dan PKR, sudah tentu sukar bagi PAS untuk melaksana hukum Hudud. 

Saya tidak yakin DAP mahupun PKR akan menyokong PAS dalam isu hukum Hudud. 

       

  

Wednesday, 15 February 2012

Hassan Marican diketepikan di Malaysia, amat berharga bagi Singapura

Tan Sri Hassan Marican, anak Melayu yang begitu sinonim dengan industri petrolium bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia, semakin mendapat tempat dalam industri berkaitan di Singapura.

Anak Melayu kelahiran Kedah Darul Aman yang menerajui Petronas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dari 1995 hingga 2010, akan dilantik Pengerusi Singapore Power Ltd. (SP), menggantikan Ng Kee Choe yang akan bersara pada 12 Jun.

Hassan adalah anak Melayu pertama dilantik ke jawatan tersebut walaupun dia bukan warga negara Singapura bahkan tiada anak Melayu Singapura yang begitu dihargai oleh republik tersebut.

Selepas bersara dari Petronas, Hassan dilantik oleh beberapa buah syarikat gergasi berkaitan kerajaan Singapura untuk menduduki lembaga pengarah. Antara GLC berkenaan adalah SembCorp Industries Ltd., SembCorp Marine Ltd dan SP sendiri.

Selain syarikat gergasi Singapura, kepakaran dan pengalaman luas Hassan dalam industri petrolium turut dihargai oleh gergasi minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips, yang melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah dan oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang melantik beliau menduduki kerusi lembaga pengarah Sarawak Energy Bhd.

Kepakaran dan pengalaman insan bernama Hassan Marican dilihat, dihargai dan digunapakai oleh Kerajaan Singapura dan syarikat gergasi minyak Amerika Syarikat. Bukan senang bagi pentadbiran Singapura untuk melantik seorang anak Melayu seperti yang dilakukan ke atas Hassan Marican, lebih-lebih lagi dia adalah rakyat Malaysia.  Tetapi, oleh kerana Singapura melihat kepada merit seseorang itu dan sedar  betapa pentingnya dia kepada industri tertentu, maka mereka terus melantiknya.

Singapura nampak kelebihan yang dimiliki oleh Hassan Marican. Malaysia tidak, kenapa?

Saya mempunyai jawapan yang mungkin tidak tepat tetapi boleh dikatakan itulah kenyataan. Jawapan saya mudah, iaitu Kerajaan Malaysia mengutamakan pelantikan politik daripada profesional. Lihat saja GLC yang ada di Malaysia, siapa pengerusinya dan siapa pula yang dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah?

Gergasi ekonomi Malaysia dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby, Felda, Felcra, Risda dan banyak lagi dipengerusikan oleh orang politik, selalunya yang dah bersara, kalah pilihan raya atau Yang Berhormat yang tidak dapat jawatan sedangkan mereka boleh dikatakan bukan golongan profesional yang ada kaitan dengan GLC yang dipengerusikan itu.

Oleh kerana Hassan Marican bukan orang politik tetapi seorang profesional, maka dia tidak mendapat tempat di Malaysia walaupun sebagai Pengerusi Petronas atau Penasihat Ekonomi (berkaitan industri minyak dan gas) kepada Perdana Menteri.

Singapura mengutip permata yang digilap di Malaysia kerana ia masih bersinar dan bergemerlapan sedangkan Malaysia melihatnya sebagai permata yang mulai pudar. 

Singapura sedar bahawa Hassan Marican memiliki begitu banyak maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan industri minyak dan gas bukan sahaja di Malaysia bahkan menjangkaui batas serantau. Apa yang dimiliki oleh Hassan Marican sudah tentu diterokai  oleh Singapura kerana republik itu tidak perlu untuk "mencari gali" sesuatu yang sudah jelas wujud. 

Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mesti keluar daripada amalan melantik orang politik menerajui GLC atau sebagai ahli lembaga pengarah. Bidang tersebut seharusnya diberi kepada golongan profesional yang ahli  atau mahir dalam industri berkenaan. 

Kita tidak ingin melihat lagi orang seperti Hassan Marican diambil oleh negara lain semata-mata kerana negara sendiri mengamalkan pelantikan berkepentingan politik murahan.