Sunday, 6 January 2013

Insan disebalik nama Jalan Haji Hashim Imam

Jika anda melalui Jalan Sungai Pinang, George Town, Pulau Pinang, sudah pasti akan temui sebatang jalan yang mengambil sempena nama Haji Hashim Imam. Anda tentu tertanya-tanya siapakah Haji Hashim Imam sehingga namanya disebati pada sebatang jalan? 

Haji Hashim Imam atau nama penuhnya Haji Muhammad Hashim bin Muhammad Salleh bin Jaafar bin Muhammad Salleh adalah  seorang guru, pemimpin masyarakat dan imam Masjid Sungai Pinang. 

 

(Keterangan gambar yang dirakam pada tahun 1920 - Haji Hashim Imam dan dua orang anak saudaranya Sayed Ahmad dan Sharifah Noor, iaitu zuriat Alsayed Alshariff  Muhammad bin Alsayed Hashim (asal Shubaika, Makkah) dan Hajah Mahzum binti Muhammad Salleh (adik Haji Hashim Imam).
.
Moyang Haji Hashim Imam, Haji Muhammad Salleh, yang dikenali sebagai Muhammad Salleh Brunei atau Pengiran Muhammad Salleh,  adalah seorang menteri Kesultanan Melayu Brunei yang berasal dari Kadayan. Allahyarham meninggalkan Brunei dan berhijrah ke Pulau Pinang berikutan perbalahan mengenai waris Kesultanan Brunei. 

Haji Muhammad Salleh Brunei dikatakan membuka penempatan di Permatang Damar Laut dan kemudian Kampung Masjid, Bayan Lepas. 

Haji Hashim Imam dilahirkan pada 10 Julai 1870 di Bayan Lepas dan meninggal dunia pada 8 April 1948 di Sungai Pinang dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Bayan Lepas. Ibunya bernama Hajah Fatimah binti Haji Kasa, asal Teluk Intan, Perak. 


Monday, 12 November 2012

MCA dan GERAKAN ditolak masyarakat Cina?

Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir tiba dan semua parti politik dah pun bersiap siaga untuk bertarung dalam gelanggang rakyat. Macam-macam muslihat dan propaganda oleh semua pihak yang berminat sudah dan terus menghiasi dada-dada akhbar dan saluran media elektronik ataupun media baru. 

Barisan Nasional (BN) yang berkuasa diperingkat Persekutuan dan sembilan  buah negeri pasti akan sedaya upaya dan dengan apa jua cara akan cuba mempertahan dan jika boleh menawan semula empat buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR). 

 Di Semenanjung, BN bukan sahaja bergantung kepada UMNO tetapi kepada tiga rakan politiknya iaitu MCA, Gerakan dan MIC. UMNO amat mengharapkan rakan-rakan politiknya itu membantu calon BN di kawasan-kawasan undi dalam bandar ataupun yang mempunyai sejumlah besar pengundi bukan Melayu. 

 Walaupun UMNO sendiri tidak terjamin untuk memenangi semua kawasan undi majoriti Melayu, ia amat memerlukan kemenangan calon-calon MCA, Gerakan dan MIC untuk terus berkuasa. 

 Mampukah MCA, Gerakan dan MIC membantu BN berkuasa semula? Persoalan ini yang perlu dicari jawabannya oleh pucuk kepimpinan UMNO kerana hidup-mati atau masa depan mereka bergantung kepada sama ada pengundi bukan Melayu, khasnya Cina, akan terus menyokong BN. 

 Saya sempat bertanya mengenai persoalan ini kepada beberapa orang sahabat dari masyarakat Cina dan hampir semua berkata majoriti pengundi Cina akan menolak MCA dan Gerakan. Mereka akan memberi sokongan kepada DAP dan parti-parti sekutunya termasuk PAS. 

 Jika betul apa yang dikatakan itu, maka harapan BN untuk menang besar ataupun menawan semula negeri-negeri yang ditadbir oleh PR termasuk mempertahankan Perak yang diperolehi melalui saluran istana/mahkamah, amat tipis. 

 Bahkan ada pihak, termasuk dari luar negara seperti Singapura, yang meramalkan PR akan menawan Negeri Sembilan selain memberi tentangan hebat kepada BN di peringkat Persekutuan. 

 Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN dan walaupun BN mampu berkuasa semula di kedua-dua negeri itu,  ia akan mengalami kekalahan beberapa kerusi Dewan Rakyat.

 Yang pasti, pihak mana  akan memenangi pilihan raya akan datang ini akan ditentukan oleh penggundi bukan Melayu dan peranan mereka tidak boleh diperkecilkan sama sekali. Undi Melayu sudahpun berpecah-belah manakala undi bukan Melayu semakin kukuh untuk PR. 

 PM Najib Razak mungkin disukai ramai tetapi ia tidak memberi jaminan bahawa rakyat akan menyokong BN. Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pengundi Cina yang saya temui, kerajaan bagi wang kami terima, undi lain cerita.