Saturday, 26 January 2013

Gelandangan terus menagih simpati

Kebelakangan ini banyak berita dan cerita yang tersebar sama ada melalui media rasmi, separuh rasmi mahupun media alternatif atas dan dalam talian mengenai nasib yang menimpa masyarakat gelandangan atau yang tiada tempat tinggal (rumah). Banyak pihak  tampil memberi bantuan, khususnya makanan, dan ada yang cuba dapatkan pekerjaan kepada mereka yang kurang bernasib baik itu.

Gelandangan yang menjadi sebahagian kecil warga kota raya atau bandar raya Kuala Lumpur adalah berbilang bangsa dan anutan agama. Pihak yang mengagih bungkusan atau kotak makananpun terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. 

Bantuan yang diberikan itu amat dihargai tetapi ia adalah bersikap jangka pendek. Pepatah lama Cina mengingatkan kita bahawa adalah lebih baik mengajar memancing ikan daripada memberi ikan.

Kita tahu bukan semua yang bergelar gelandangan itu benar-benar 'gelandangan' kerana ada yang ambil kesempatan atas keprihatinan masyarakat. Ada yang kaki botol dan 'tahi ganja' atau 'kaki dadah'.

Mereka tidak mahu berusaha atau malas untuk berdikari seperti seorang tua di bawah ini yang berusaha menggali sehingga ke paras pinggang  mencari cacing untuk dijual sebagai umpan kepada pemancing. Orang tua ini ada maruah dan harga diri dan tidak mahu menadah tangan menagih simpati masyarakat untuk sesuap nasi. (Foto dirakam di pantai Persiaran Gurney, Pulau Pinang).


Di Kuala Lumpur, kerajaan menyediakan "Anjung Singgah" sebagai tempat berteduh buat sementara kepada golongan yang tiada tempat tinggal. Selain tempat tidur mereka juga diberi makanan. Tetapi ia bukan satu penyelesaian namun begitu kita hargai usaha dan tindakan kerajaan yang prihatin akan masalah berkaitan kemiskinan dalam bandar.

Bercakap mengenai isu gelandangan, kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda dan anak gadisnya yang merempat selama dua minggu kerana tiada tempat untuk berteduh. Ibu tunggal bernama Rokiah Husin, 32 tahun, dan anak gadisnya Nur Asyikin, 13 tahun, hidup di jalanan sehinggalah sebuah persatuan kemasyarakatan Cina menawar buat sementara tempat yang selamat untuk mereka tinggal. (Lihat laporan akhbar Sunday STAR ms 5  - 27 Januari)

Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada persatuan Cina itu yang membenarkan Rokiah dan Nur Asyikin tumpang berlindung di sebuah stor bangunan persatuan itu. Sesungguhnya sikap dan keprihatinan persatuan Cina itu membuka mata dan hati kita sedangkan agensi dan jabatan kerajaan yang diwujudkan untuk membantu tidak pula berbuat demikian.

Rokiah masih menaruh harapan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantunya mendapatkan rumah pangsa kos rendah. 

Kita berdoa agar JKM dapat membantu kerana kita bimbang akan keselamatan Rokiah, yang masih muda, dan anak gadisnya itu sekiranya mereka terpaksa menjadi penghuni jalanan atau gelandangan. Setiap hari ada saja jenayah berat sama ada yang dilapor atau tidak di kota-kota besar seperti rogol, bunuh dan culik.

Kita juga ingin tahu di mana Lembaga Zakat dan pihak Baitul-mal yang seharusnya membantu insan yang kurang bernasib baik seperti Rokiah.  Kita dimaklumkan bahawa Lembaga Zakat mengutip beratus juta ringgit daripada umat Islam yang membayar sama ada zakat harta, zakat perniagaan atau  zakat fitrah. Apa dah jadi dengan wang yang sebegitu banyak sedangkan kita masih lihat kekafiran dan kemiskinan tegar di kalangan umat Islam.  Kita kagum melihat kehebatan pejabat Lembaga Zakat dan Baitul-mal dan berharap kehebatan itu diterjemahkan dalam tugas yang diamanahkan. 

Kita tidak ingin melihat umat Islam terpaksa menagih simpati daripada pihak lain sedangkan ada pihak yang diamanahkan untuk membantu. 




Tuesday, 22 January 2013

Isu pendatang di Sabah - Mahathir nampaknya tersepit

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya   tersepit dengan apa yang didedahkan melalui  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pemberian taraf kerakyatan kepada 200,000 pendatang asing di Sabah ketika beliau menjadi PM.

Seolah-olah sebagai usaha untuk menegak benang basah, Dr Mahathir mencadangkan agar ditubuh RCI bagi menyiasat isu pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta 'pendatang asing'  di Persekutuan Tanah Melayu sebelum Malaya mencapai kemerdekaan.

Nampaknya Dr Mahathir, seorang pemimpin yang dikatakan bijak dan berwawasan, terbukti salah apabila dia membandingkan kedua-dua isu yang amat jauh berbeza itu.

Dr Mahathir lupa atau sengaja buat-buat lupa bahawa UMNO dan PERIKATAN (UMNO, MCA dan MIC) sepakat mengenai isu kerakyatan atau kewarganegaraan untuk membolehkan pihak Inggeris memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. PM pertama almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak boleh sama sekali dipersalahkan.  

Apakah Dr Mahathir tidak tahu bahawa Tunku melaksanakan syor-syor yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Reid yang kemudiannya dimasukkan dalam Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya Dr Mahathir sedar yang PERIKATAN turut menghantar memorandum yang dipersetujui oleh Majlis Kebangsaan Perikatan (Alliance National Council) kepada Suruhanjaya Reid termasuk mengenai kelayakan untuk menjadi rakyat atau warganegara, iaitu melalui perjalanan undang-undang, melalui jalan pendaftaran atau dengan jalan memohon bagi mereka yang ada pada tarikh pengisytiharan  kemerdekaan patut diterima menjadi warganegara. 

Penubuhan Suruhanjaya Reid dituntut oleh PERIKATAN dan direstui oleh Kerajaan British dan Raja-Raja Melayu. Ia adalah sebuah suruhanjaya bebas yang dilantik pada bulan Mac, 1956 dengan keahliannya terdiri daripada Lord Reid, seorang hakim British  selaku pengerusi, Sir Ivor Jennings (United Kingdom), Sir William MacKell (Australia), B. Malik (India) dan Abdul Hamid (seorang hakim dari Pakistan).

Antara tugas utama suruhanjaya itu ialah memeriksa susunan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang ada dan mengambil timbangan atas kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan membuat syor-syor bagi suatu corak Perlembagaan Persekutuan dan soal kerakyatan (rupa bangsa bagi seluruh Persekutuan).

Pada 28 Mac 1957, UMNO telah mengadakan Persidangan  Agung Tergempar untuk mengkaji dan menghalusi Syor Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid.

Almarhum Tunku memaklumkan para perwakilan bahawa garis-garis dan perkara-perkara besar yang telah disetujui oleh ketiga-tiga pertubuhan politik yang membentuk PERIKATAN (UMNO, MCA dan MIC), iaitu soal Agama Rasmi Persekutuan, Bahasa, Kerakyatan, Hak-hak Istimewa Orang Melayu dan Takhta Kerajaan PersekutuanTanah Melayu (Malaya).

Mengenai Suruhanjaya Reid, almarhum Tunku berkata: "Penyata Reid ini adalah satu Penyata yang telah digubal oleh sebuah Suruhanjaya di dalam makna bebas yang sepenuhnya. Suruhanjaya ini telah menimbangkan dengan sama rata dan dengan tidak berat sebelah. Di dalam pada itu, Suruhanjaya ini telah memberikan pertimbangan yang berat kepada orang-orang Melayu sebagai tuan punya negeri ini.  Kalau ada apa-apa kekurangan di dalam Penyata dan Syor Perlembagaan itu, terpulanglah kepada kita untuk membetulkan mana-mana perkara yang patut dibetulkan. Di dalam Syor Perlembagaan itu ada beberapa perkara yang mustahak diperbaiki supaya orang Melayu tidak hilang haknya dan lain-lain tidak teraniaya".

Almarhum Tunku amat teliti dan jauh sekali bersikap "ikut cakap saya" kerana dia memberi peluang kepada semua pihak memberi pandangan dan syor-syor yang bukan sahaja melindungi hak dan kepentingan orang Melayu tetapi menjamin yang rakyat atau bakal rakyat bukan Melayu tidak teraniaya.

Syor Suruhanjaya Reid mengenai kerakyatan atau kewarganegaraan diterima oleh PERIKATAN dan Raja-Raja Melayu dan ia dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian 3 KEWARGANEGARAAN - antara lain kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang, dengan cara pendaftaran (isteri dan anak warganegara) dan dengan cara pendaftaran (orang-orang yang lahir di Persekutuan sebelum hari Merdeka.

Oleh itu, apa yang dilakukan oleh almarhum Tunku dan pentadbirannya adalah selari dengan undang-undang dan tidak boleh disamakan dengan apa yang dilakukan di Sabah semasa pentadbiran Dr Mahathir.

Cadangan Dr Mahathir agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu pemberian taraf kerakyatan kepada sejuta 'pendatang asing' (lebih tepat pemastautin) di Tanah Melayu sebelum Malaya merdeka bukan sahaja aneh tetapi seolah-olah untuk melepaskan tanggungjawabnya atas pemberian kerakyatan kepada pendatang asing dari Filipina dan Indonesia di  Sabah.

Satu demi satu 'pekung' didedahkan apabila mereka yang terlibat dalam 'operasi' di Sabah itu, termasuk beberapa orang pegawai Imigresen yang pernah ditahan di bawah ISA,  memberi keterangan kepada RCI berkenaan. Mungkin pihak RCI perlu memanggil Dr Mahathir untuk memberi keterangannya pula.