Kita akan menyaksikan tiga pilihan raya kecil (PRK), dua di Semenanjung dan satu di Sarawak, itu yang pasti, yang berkemungkinan menjadi pasti satu di Sabah manakala di Selangor belum pasti.
Yang menarik perhatian umum adalah PRK untuk mengisi kerusi Dewan Rakyat bagi Bukit Gantang di Perak dan kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah. Kedua-duanya boleh memberi isyarat jelas sama ada rakyat menyokong BN atau PR. Yang nyata sekarang, perebutan untuk menjadi calon agak hangat di Bukit Selambau terutama di kalangan orang India Malaysia sedangkan majoriti pengundi adalah Melayu. Undi golongan minoriti (pengundi India) boleh menjadi penentu dengan syarat ia tidak berpecah kepada calon-calon bebas.
Di Bukit Gantang, jelas antara BN (UMNO) dan PR (PAS) walaupun akan wujud calon bebas tajaan pihak tertentu untuk "kacau daun".
Apa yang dapat saya katakan mengenai Bukit Gantang hanyalah satu, setakat ini, iaitu UMNO masih belum belajar daripada kesilapan lampau. Sebagai contoh, awal-awal lagi dah sebut atau membuat dakwaan kononnya sebilangan "ahli PAS" keluar parti untuk menyokong UMNO.
Taktik atau muslihat sedemikian sudah busuk dan tidak mudah dipercayai oleh rakyat. Kenapa pemimpin UMNO masih belum sedar? Saya pasti menjelang hari mengundi "berita" sedemikian akan disebarkan melalui media elektronik yang dikawal atau dikuasai oleh parti-parti tertentu.
Para pemimpin UMNO harus sedar bahawa berita-berita sedemikian bukan satu kelebihan kepada mereka untuk meraih sokongan rakyat. Soal keluar bulatan masuk barisan sudah basi, sudah tidak laku dan akan menikam diri sendiri. Carilah isu-isu lain yang begitu dekat dengan kehidupan seharian rakyat jika berhendakkan sokongan mereka.
Satu lagi perkara yang perlu dimaklumkan kepada UMNO dan BN semasa berkempen sama ada di Bukit Gantang atau Bukit Selambau - jangan turunkan mantan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mantan ketua angkatan muda PKR, Ezam Mohamad Nor. Dia bukan aset tetapi liabiliti. Dia memang pandai berpidato sama seperti mantan bosnya itu, tetapi isinya kosong dan tidak diterima rakyat. Rakyat dah muak dengan isu-isu yang dibangkitnya. Jika UMNO/BN nak kalah seperti yang dialami di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, turunkan Ezam untuk berkempen.
Satu lagi topik yang akan dijadikan isu oleh UMNO adalah soal "derhaka" kepada Raja. Tidak tahu pula sama ada pada zaman sarwajagat tanpa sempadan sekarang perkara itu boleh terus dijadikan isu. Jangan samakan dengan zaman Kesultanan Melaka. Apakah UMNO lupa akan tindak-tanduk ahlinya sendiri di Selangor, Perlis dan Terengganu terhadap Istana?
Buat masa kini, BN nampaknya menghadapi jalan yang agak sukar untuk menang di Bukit Selambau dan Bukit Gantang dan soal pokok bagi UMNO, terutamanya, adalah calon yang benar-benar kena dan tepat untuk menawan Bukit Gantang, kubu kuat UMNO selama berpuluh-puluh tahun.
Kita rakamkan ucap selamat kepada BN dan PR dalam mengharungi pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan seterusnya di mana-mana sahaja yang berkaitan.