Tuesday, 26 May 2009

Demokrasi tak semestinya demokratik

DEMOKRASI bermaksud hak rakyat untuk memilih, melalui proses pilihan raya yang adil dan bebas, sebuah pentadbiran atau kerajaan yang mereka kehendaki, tak kira ideologi apa sekalipun. Sekiranya sesebuah pentadbiran itu tidak disukai rakyat, maka melalui pilihan raya, mereka berpeluang untuk menyingkir pentadbiran tersebut.

Itulah cara dan kaedah terbaik untuk memilih pentadbiran sesebuah negeri yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Jika cara atau kaedah lain digunapakai, ia bakal menimbulkan masalah termasuk kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Dalam sistem demokrasi, para menteri datang dan pergi tetapi urusan pentadbiran hari ke hari tetap dan mesti berjalan lancar, di sinilah peranan dan tanggungjawab perkhidmatan awam.

Perkhidmatan awam diamanah untuk menjalankan tugas seharian dengan adil dan saksama dan dimestikan ta'at dan setia serta membantu pentadbiran yang dipilih rakyat, sama ada parti yang memerintah sebelum itu atau sebuah parti yang membangkang dan kini bertukar menjadi pemerintah.

Pengkhidmat awam atau pegawai kerajaan tidak boleh sama sekali terlibat secara peribadi dalam kegiatan politik kepartian. Dia mesti dengan penuh setia melaksanakan semua dasar yang ditetapkan oleh ketua pentadbir politiknya, iaitu pentadbiran yang dipilih rakyat termasuk Perdana Menteri dan Kabinetnya di peringkat Persekutuan dan Menteri Besar/Ketua Menteri dan Exco masing-masing di peringkat Negeri, sama ada dia setuju atau tidak dengan dasar berkenaan.

Pengkhidmat awam tidak boleh menggunakan kedudukan rasminya untuk kepentingan sendiri atau keluarga terdekatnya. Walau betapa tinggi dia mendaki tangga jawatan perkhidmatan awam seperti ketua jabatan, setiausaha kerajaan negeri atau ketua setiausaha kementerian, sikapnya terhadap orang awam tetap sebagai pengkhidmat awam atau "hamba rakyat" dan bukan sebagai tuan.

Saya membangkitkan persoalan ini kerana sejak setahun lalu ada perkara yang berlaku yang seolah-olah membelakangkan amalan demokrasi. Mereka yang terlibat mendakwa bahawa apa yang berlaku adalah amalan demokrasi walaupun ia kelihatan tidak demokratik.

Di negeri-negeri yang dikuasai oleh parti yang berlawanan dengan parti yang berkuasa di peringkat persekutuan, ada arahan atau larangan tertentu yang menafikan hak pentadbir negeri untuk terlibat dalam kegiatan rasmi di sekolah-sekolah termasuk kegiatan Persatuan Ibu-bapa dan Guru, ada pula "arahan" melarang pentadbiran awam daerah daripada berurusan dengan sama ada penghulu/ketua kampung mahupun Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang dilantik oleh pentadbiran negeri dan ada juga pengkhidmat awam yang engkar arahan.

Apa yang sedang berlaku di Perak pun sedemikian rupa. Rakyat tidak memilih BN tetapi pakatan parti-parti pembangkang untuk mentadbir negeri itu. Masalah timbul apabila berlaku perbuatan melompat parti, mula-mula oleh ADUN Bota yang lompat dari BN ke Pakatan dan tak sempat duduk kerusi bertentangan, melompat kembali ke kerusi BN, kemudian tiga orang ADUN (dua dari PKR dan seorang dari DAP) melompat keluar Pakatan tetapi tidak pula memasuki BN. ADUN yang tiga ini mengisytihar bahawa mereka adalah ADUN Bebas "mesra BN" dan BNpun ambil kesempatan itu untuk "mengambil alih" pentadbiran negeri melalui kuasa Istana. Ia adalah satu amalan demokrasi, kata BN.

Begitu juga dengan pentadbiran Persekutuan, rakyat memilih BN dan BNlah yang berkuasa. Oleh itu sebarang usaha untuk menjatuhkan pentadbiran Persekutuan melalui perbuatan melompat parti adalah bertentangan dengan pilihan rakyat, sama seperti yang berlaku di Perak. Tidak seharusnya wujud dua "amalan" berhubung perbuatan melompat parti. Ia semestinya dilarang melalui peruntukan undang-undang.

Jika seseorang ADUN atau Ahli Parlimen (MP) yang dipilih atas tiket parti tertentu, sekiranya dia melompat parti, maka kerusinya mesti diisytihar kosong dan satu pilihan raya kecil wajib diadakan. ADUN atau MP berkenaan mesti dihukum termasuk melarang dia daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya untuk satu tempoh yang difikirkan sesuai dan dia harus didenda yang jumlahnya sama banyak dengan jumlah wang pertaruhan pilihan raya.

Tanpa peruntukan undang-undang, perbuatan melompat parti dan percubaan menjatuhkan sesebuah pentadbiran melalui amalan itu, akan berlaku dan ia hanya menjejas kelicinan pentadbiran sama ada negeri terbabit ataupun pentadbiran persekutuan.

DEMOKRASI tidak semestinya DEMOKRATIK.

Dalam apa jua urusan pentadbiran politik duniawi, rakyatlah hakim sebenar, bukan mahkamah atau pihak ketiga yang lain.



Aminah Abdullah dah glamor sekarang

Nampaknya calon bebas yang dikatakan mantan ketua wanita Parti KeADILan Rakyat Pulau Pinang, Aminah Abdullah, dah berjaya mengglamorkan dirinya melalui tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaannya.

Aminah, yang menggelar dirinya Kak Min, sudah tiga hari berturut-turut "muncul" melalui kaca tv dan wajahnya terpampang di dada-dada akhbar menjelang hari mengundi pilihan raya kecil DUN Pulau Pinang kawasan Penanti.

Saya tidak tahu sama ada apa yang didakwa dan dituduhnya itu benar atau tidak, yang pasti dia mendapat liputan yang mungkin tidak termimpi atau dijangka sama sekali. Inilah kehebatan pilihan raya kecil yang tidak disertai oleh Barisan Nasional. Jika BN bertanding, Kak Min mungkin tidak dilayani oleh media.

Walaupun pilihan raya, sama ada umum ataupun kecil, adalah proses perlembagaan dan satu perkara yang serius, namun masih ada pihak yang cuba menjadikan proses itu sebagai gelanggang untuk tujuan-tujuan tertentu dan tuduh-menuduh semasa berkempen menjadi sesutu yang biasa sahaja.

Kita tunggu sama ada pengundi di DUN Penanti mempercayai atau tidak dakwaan dan tuduhan Kak Min pada 31 Mei ini.