Sunday, 5 September 2010

Pembaziran berbuka puasa mencemar erti perintah berpuasa

Terperanjat besar apabila membaca laporan Berita Minggu yang memetik sumber rasmi sebagai berkata bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia ini, pembuangan sisa makanan mencecah 9,000 tan sehari. Bayangkan jumlah sebesar itu boleh memberi makanan kepada beribu-ribu insan yang kelaparan dan tidak cukup makan.

(Foto di atas diharap dapat menginsafkan kita, terutama mereka yang suka membazir makanan)

Dari mana datangnya sisa makanan tersebut? Sekali lagi memeranjatkan kita, iaitu daripada sikap membazir rakyat Malaysia yang semakin kerap berbelanja mewah membeli makanan untuk berbuka puasa.

Makanan yang tidak habis dibuang dalam tong sampah  dan perbuatan itu cukup ketara di kawasan bandar. Apakah mereka tidak tahu atau tidak faham akan hikmah amalan puasa seperti yang diperintah Allah? Bukankah pembaziran dilarang oleh Islam?

Selain itu, majlis-majlis berbuka puasa anjuran badan-badan korporat, kementerian dan  syarikat-syarikat berkaitan kerajaan  di hotel-hotel mewah turut menyumbang kepada pembaziran, Memberi makan kepada orang yang berpuasa digalakkan tetapi biarlah kepada mereka yang benar-benar  dan sewajarnya dijamu seperti fakir miskin, anak yatim, ibu-ibu tunggal dan golongan daif, bukan golongan yang mampu serta kumpulan elit yang hidup mewah.

Seperkara lagi yang dapat dilihat pada majlis seperti itu ialah kehadiran wanita Islam yang tidak menghormati kesucian Ramadhan iaitu mereka yang tidak menutup aurat mengikut ajaran Islam. Kita tidak mahu pula mempersoalkan sama ada selepas berbuka puasa mereka menunaikan solat maghrib atau tidak?

Inilah sesuatu yang menjadi budaya kita setiap kali tibanya Ramadhan, seolah-olah ia satu kemestian untuk mengadakan majlis mewah di hotel-hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Saya turut menerima jemputan untuk berbuka puasa di hotel berkenaan tetapi menolaknya atas faktor yang disebutkan di atas.

Lain pula di Uzbekistan

Laporan Berita Minggu di halaman lain menyebut bahawa pihak berkuasa agama di Uzbekistan telah mengharamkan atau melarang majlis berbuka puasa secara terbuka atas alasan ia mendorong kepada perbuatan membazir makanan.

Selain pembaziran, pihak berkuasa Uzbekistan juga mendapati bahawa dalam majlis-majlis seperti itu, pihak yang menganjur lebih cenderong kepada menunjukkan kemewahan mereka, iaitu golongan kaya. Bukankah perkara yang sama berlaku di Malaysia?

Acara berbuka puasa secara besar-besaran sudah menjadi cara golongan berada di Uzbekistan bermegah dengan kekayaan mereka, kata jurucakap Lembaga Islam Uzbekistan.

Sebelum ini,  Lembaga tersebut telah melarang majlis berbuka puasa di restoran, iaitu sesuatu yang mewah di negara bekas Kesatuan Soviet itu.

Nampaknya, pihak berkuasa agama di Uzbekistan lebih peka daripada pihak berkuasa agama di Malaysia.


Friday, 3 September 2010

Fakta adalah fakta

Saya tertarik membaca tajuk dan laporan berita media tempatan mengenai ucapan PM DS Najib Tun Razak pada majlis berbuka puasa dengan media semalam, Yang menarik perhatian saya adalah perkataan fakta.

Fakta amat jelas bermaksud kenyataan peristiwa yang benar-benar terjadi, yang pasti dan yang benar. Oleh itu fakta adalah fakta.

Dalam bahasa Inggeris fakta disebut "fact" yang membawa maksud "certainty" atau sesuatu yang pasti, "reality" atau kenyataan sebenar, dan "truth" iaitu yang benar.

Dalam ucapannya, DS Najib menyebut bahawa laporan berita oleh media arus perdana berasaskan fakta, manakala laporan media alternatif (iaitu media internet, blog, dan mungkin juga Facebook dan Twitter)  tidak menyediakan laporan berdasarkan fakta. Kenyataan Najib  boleh dipertikai dan diperbahaskan, tetapi tiada gunanya.

Saya tidak tahu sama ada DS Najib berucap dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi berdasarkan laporan media, saya agak ianya dalam bahasa Inggeris. 

Akhbar The Star dan NST melaporkan DS Najib sebagai menggunakan perkataan "fact-based" dan begitu juga dengan Utusan Malaysia yang melaporkannya sebagai "berasaskan fakta".

Seperti yang saya ulas, fakta adalah fakta. Ia sesuatu yang benar-benar berlaku, satu kenyataan yang pasti. Oleh itu adalah tidak betul jika kita katakan sesuatu laporan itu mempunyai fakta yang salah atau fakta yang tepat kerana fakta sudah tentu bukan sesuatu yang salah atau sesuatu yang tidak tepat, jika demikian maka bukanlah fakta namanya.

Oleh itu, saya tertanya-tanya kenapa dalam laporannya, Bernama menyebut "berasaskan fakta yang tepat"?
Akhbar lain menyebut "berasaskan fakta" atau "fact-based" dan rujukan itulah yang betul kerana fakta adalah fakta, tidak timbul sama ada tepat atau tidak. Facts are facts,  no such thing as "accurate facts" or "wrong facts".