Sunday 8 March 2009

Maulidur Rasul



Alhamdulillah, segala puja dan puji bagi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang telah mengutus hamba dan rasul-Nya : Muhammad; sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Selawat dan salam atas junjungan kita : Nabi Muhammad dan keluarganya, serta para sahabatnya yang setia dan mengikuti jejaknya.

Muhammad adalah hamba Allah yang diutus
kepada penghuni alam seluruhnya,
pembawa berita gembira di samping ancaman derita,
maka ia pun menyampaikan risalah
dan menunaikan amanah;
sehingga umat dalam jumlah besar
beroleh hidayah Allah dengan perantaraannya.

Limpahkan ya Allah
Semulia-mulia selawat dan salam,
Atas junjungan dan Nabi kami ; Muhammad;
Yang amat penyantun, amat penyayang ...

Dan limpahkanlah selawat dan salam
Atas Nabi Muhammad, yang dicintai dan dikasihi
oleh jasad, ruh dan jiwa kami.

"Wa'l hamdu lillahi Rabbi'l 'Alamiin"

Thursday 5 March 2009

Wujudkah pentadbiran (kerajaan) di negeri Perak?

Kemelut politik Perak yang tidak berkesudahan semata-mata kerana 'perebutan kuasa' antara Barisan Nasional (BN) dan kerajaan campuran Pakatan Rakyat (PR) menimbulkan tanda tanya sama ada wujud sebuah pentadbiran atau kerajaan yang sah.

Dalam negeri yang beraja seperti Perak, ketua pemimpin parti yang memerintah adalah Menteri Besar. Dia dilantik oleh Raja mengikut peruntukan Perlembagaan. Kedua-dua Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang perkara itu.

Peruntukan-peruntukan dan fasal-fasal yang lebih terperinci diperjelaskan dalam Perlembagaan Negeri.

Dalam negara yang bercorak Persekutuan seperti Malaysia, wujud perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Negeri yang masing-masing menentukan garis kasar peranan dan kuasa-kuasa yang ada pada tiga unsur atau cabang amalan demokrasi iaitu kuasa dan tanggungjawab perundangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri), kuasa dan tangungjawab Eksekutif (Jemaah Menteri dan Exco) dan kuasa dan tanggungjawab Kehakiman (bermula dari Mahkamah Majistret hinggalah ke Mahkamah Persekutuan). (llihat Abdullah Sanusi Ahmad - Kerajaan dan Pentadbiran Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Raja mempunyai kuasa-kuasa tertentu dalam perjalanan kerajaan dan pentadbiran sesuatu negeri. Satu-satunya kuasa besar yang ada pada Raja ialah hak baginda bertindak menurut budibicaranya menjalankan tugas melantik seorang Menteri Besar. Lazimnya Menteri Besar yang dilantik ialah ketua parti yang menang dalam pilihan raya negeri. Beliau mestilah seorang, yang pada pendapat Raja, yang akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Raja juga melantik ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengikut nasihat Menteri Besar.

Perlembagaan hanya menyebut budibicara Raja melantik seorang Menteri Besar dan tidak menyentuh sama ada Raja mempunyai kuasa untuk menyingkir atau memecat Menteri Besar. Oleh itu, "pemecatan" Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak telah dipersoalkan kesahihannya oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Maka wujudlah "dua kerajaan" negeri di Perak apabila Raja melantik seorang Menteri Besar baru sedangkan Raja tiada kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memecat Menteri Besar sedia ada. Hanya Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk 'memecat' Menteri Besar melalui usul undi tidak percaya.

Apa yang sedang berlaku di Perak juga mengaitkan soal pengasingan kuasa antara tiga cabang demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Perkembangan ini merumit dan mencelarukan lagi keadaan.

Kemelut politik Perak sesungguhnya tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat yang jelas menjadi mangsa ketidaktentuan sekarang.

Sekiranya kedua-dua pihak yang bertelagah, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, benar-benar merasai bahawa merekalah yang betul, kenapa tidak pulangkan kepada rakyat? Rakyatlah yang mempunyai kuasa pemutus sama ada mereka mahukan pentadbiran Pakatan Rakyat atau pentadbiran Barisan Nasional.

Pihak Pakatan Rakyat telah memohon perkenan Raja supaya membubarkan DUN, kenapa pihak BN tidak mahu? Apakah BN takut mereka akan ditolak oleh rakyat dengan kekalahan yang lebih teruk?

Sudah tiba masanya bagi BN untuk tidak 'berselindung' kepada pihak Istana semata-mata untuk mempertahankan kuasa. Jika BN betul-betul yakin yang rakyat menyokong mereka, jangan takut untuk menghadapi 'mahkamah rakyat' melalui satu pilihan raya baru.

Saya percaya dengan adanya 'tokoh besar' BN Perak termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak atas sifatnya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, "Ustaz" Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, wanita keluli Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Kamilia Ibrahim serta 'panglima-panglima perang' UMNO seperti Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, BN sudah pasti tidak gentar untuk menghadapi rakyat.

Kejor Yob, kejor!