Saturday 28 March 2009

PRK Bukit Selambau catat rekod penyertaan

Satu rekod dalam sejarah pilihan raya, terutama pilihan raya kecil, dicatatkan hari ini apabila 15 orang calon disahkan bertanding untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah bagi kawasan undi Bukit Selambau.

Calon Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Rakyat (PR) akan berdepan dan bertaruh untung nasib dengan 13 orang calon bebas (CB).

Sukar untuk membuat andaian kenapa mereka beitu berminat ingin menjadi wakil rakyat atau ADUN Bukit Selambau.

Hanya satu perkara yang mungkin boleh diandaikan iaitu ada calon-calon bebas yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu untuk memecah undi tetapi perbuatan sedemikian tidak menjamin kemenangan kepada sama ada calon BN atau PR.

Walau bagaimanapun, amalan demokrasi tetap wujud.


DI BUKIT GANTANG pertandingan tiga penjuru menyaksikan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dicabar oleh calon UMNO (BN) Ismail Safian dan calon beba Kamarul Ramizu Idris. Kehadiran calon bebas sedikit sebanyak 'mengganggu' ujian sokongan sama ada kepada PKR atau BN - iaitu pertandingan proksi antara Kerajaan Negeri PKR pimpinan Ir Nizar atau Kerajaan Negeri BN.

Saya tidak menolak yang calon bebas ditaja pihak ketiga.

DI BATNG AI pertandingan adalah satu lawan satu antara calon Parti Rakyat Sarawak yang mewakili BN dan calon PKR Jawah Gerang. Pertandingan di Batang Ai akan memberi isyarat sama ada kaum Dayak menyokong BN atau PKR.




Friday 27 March 2009

Pemulihan kepercayaan terhadap UMNO?

(Foto The Star)

Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa syahdu dan pilunya hati ribuan anggota perwakilan dan pemerhati ke Persidangan Agung UMNO ke-59 dan jutaan lagi yang menonton televisyen di seluruh negara, apabila Negarawan Ulung Tun Dr Mahathir Mohamad turun dari Aras 5 untuk ke pentas persidangan sambil bersalaman dengan barisan kepimpinan UMNO, terutama sekali mantan Presiden dan penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad dan presiden semasa Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suasana yang penuh bermakna itu disambut dengan tepukan dan titisan air mata oleh sebahagian besar mereka yang berada dalam Dewan Merdeka. Ia adalah satu detik bersejarah yang tidak kurang pentingnya kepada UMNO.

Peristiwa itu jelas akan membawa perubahan besar kepada UMNO yang akan melihat parti itu kembali bersatu dan memulihkan kepercayaan orang Melayu.

Saya percaya sekiranya apa yang diucapkan oleh Datuk Seri Najib semasa menggulung perbahasan dijadikan kenyataan dan semua ahli UMNO benar-benar menyokong dan melaksanakannya dengan hati yang jujur dan ikhlas, UMNO dapat mengembalikan kekuatannya dan mendapatkan semula sokongan rakyat.

Seperti yang dikatakan oleh Pak Lah, yang perlu diubah atau berubah bukanlah UMNO, tetapi pemimpin dan ahli UMNO itu sendiri. Jika mereka boleh berbuat demikian, terutama menolak rasuah politik, perebutan jawatan semata-mata untuk mendapat kedudukan, pangkat dan kuasa dan kontrak/projek serta mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri, maka apa yang diharapkan boleh dicapai.

Semuanya terpulang kepada ahli dan pemimpin UMNO.

Satu perkara yang terpaksa ditegaskan ialah saya tetap tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang didapati bersalah sama ada oleh Lembaga Disiplin UMNO atau mana-mana badan pengawas lain sebagai pemimpin termasuk bagi sayap UMNO seperti Pergerakan Pemuda.

Jika UMNO serius hendak menangani dan menghapuskan (sesuatu yang bukan senang) rasuah politik, maka UMNO tidak seharusnya menerima mereka yang bersalah sebagai pemimpin di mana-mana peringkat kepimpinan parti. Orang sedemikian tidak boleh diberi jawatan dalam struktur pentadbiran negara.